Ulas buku gaya ikut suka hati

Teng! Teng! Teng! Mari sini! Aiskrim! Aiskrim!  ….. Eh, bukan. Buku! Buku!

Half of a Yellow Sun – Chimamanda Ngozi Adichie (2006)

Kenapa beli: Saya beli buku ini semata-mata kerana kagum dengan ucapan penulis ini dalam acara Ted bertajuk The Danger of Single Story. Bagus benar ucapannya. Terngaga masuk lalat mendengarnya. Oh ya, sila google tentang acara Ted, jika belum pernah tahu tentangnya. Sangat bagus untuk membuka tempurung2 otak.

Sinopsis: Kisah Olanna seorang wanita kulit hitam meninggalkan hidup mewahnya untuk bersama cintanya si profesor berjiwa revolusionar. Kisah Ugwu seorang miskin yang menjadi pembantu rumah kepada si profesor, menagih rezeki kerana kemiskinan yang menggigit. Dan juga tentang Richard si kulit putih yang ter’sesat’ dalam dunia perjuangan si kulit hitam. Berjuang dalam keinginannya menulis dan tagihan cinta kepada kembar Olanna. Hidup berkecamuk, bersilang dan bertemu cinta sayang secara sengaja atau kebetulan di tengah2 waktu perang sivil di Nigeria.

Suka: Kisah fiksyen tentang Olanna, Ugwu atau Richard, tetapi penulis menyampaikan cerita yang lebih dari itu. Kisah cinta dan pengkhianatan hanyalah kecil jika dibandingkan dengan kisah marah amuk semangat membara rakyat Biafra terhadap kuasa barat. Penulis menunjukkan sisi baik dan buruk setiap suku bangsa atau agama pada sudut yang  hampir adil. Rakyat Biafra sangat kuat jiwanya. Saya dapat rasakan.

Tak suka: Penceritaan meleret, menyimpang2 kepada plot2 yang remeh. Contohnya cerita Ugwu berfikir bagaimana mahu memasak makanan kegemaran tuannya. Sebut herba tu sebut herba, siapa tanam herba tu , bubuh ini sikit, itu sikit.. bla-bla…. boring!

Kesimpulan: Oleh kerana penulis tidak lahir lagi dalam era masa yang ditulisnya, buku ini kelihatan benar2 hebat. Kerana penulis mampu menyelami kepayahan hidup di zaman perang dengan baik sekali. Tapi kan.. saya susah nak suka bab2 perang ni. Kalau tengok cerita perang kat tv saya boleh tidur lena mimpi pergi kayangan lagi. Seperti yang telah diwar2 kan di Goodreads’ review, buku ini bukan ‘my cup of tea’.

Hebat2 pun, bagi 3 bintang je lah.

Tentang – Saharil Hasrin Sanin (2011)

Kenapa beli: Kerana Saharil Hasrin Sanin. Seorang penulis yang sakarstik, artistik dan sewel.

Sinopsis: Buku ini adalah kumpulan tulisan untuk entri blog beliau dari tempoh tahun 1997 hingga 2008. Beberapa entri telah di terbitkan semula di dalam beberapa majalah tempatan.

Suka: Kenapa saya suka tulisan Saharil? Bila kamu baca tulisannya kamu dapat rasakan ada seperti jam berdetik penanda masa satu bom akan meletup, dalam hati kamu. Kamu baca, mula2 rasa berdebar, pelik, berkerut dahi, sedih, terharu, … kemudian pada hujung ayatnya.. ada terdengar bunyi bom meletup. Hati kamu meletup. Meletus perasaan tak menentu. Ada entri yang membuatkan saya menangis teresak2 ( macam biasa, cengeng!). Entri pilihan saya ialah Tentang Perasaan, bila beliau mengaku di akhir cerita betapa dia adalah orang tak berperasaan paling bangsat di dunia setelah dia tidak tahu mahu memberi reaksi apa kepada  bekas penjaganya semasa kecil yang lumpuh menangis2 teresak2 menagih belaian dan kasihan. Oh Tuhan! Betapa saya rindukan catatan jujur sebegini.

Tak suka: Penulis ini memang agak sewel dan merapu dalam beberapa keadaan. Mula2 kamu fikir kamu dapat berfikir dengan apa yang ditulisnya. Mungkin ada lapis2 lain yang harus difikirkan. Akhirnya kamu dapati ianya hanyalah catatan kebosanan tanpa tujuan, hanya melepaskan perasaan. Di situ kamu akan kecewa.

Kesimpulan: Saharil patut buat novel. Tak puas baca entri pendek2!

4 bintang!!!

Kentang – Saharil Hasrin Sanin (2011)

Kenapa beli: Ah! sungguh saya tak percaya bahawa saya sanggup membeli buku yang dipenuhi dengan contengan merapu. Kenapa beli? Sebab Saharil Hasrin Sanin adalah penconteng sewel yang berfikir.

Suka: Ok, jadi kamu sebenarnya begitu jarang akan jumpa situasi ini. Seorang yang berbakat menulis, mempunyai tangan yang berseni. Orang yang suka berfikir mungkin cari contengan yang artistik, mudah tapi pelbagai makna. Lepas tu paksa otak fikir apa yang difikir oleh Saharil (Tak ada kerja aku). Saya lebih terpikat kepada contengan yang menyentuh tentang perasaan sahaja. Saya begitu teruja, lukisan dan cerita nya tentang kucing dan cinta itu diletakkan di awal helaian buku. Tentang bagaimana kucingnya selalu disepak dan dibuli olehnya, tetapi terus mahu dekat dan manja dengannya. Kemudian Saharil menulis ” cinta adalah ini. Cinta adalah perasaan tak kisah yang orang tu dah lukakan kita banyak mana kalipun”.

Tak suka: Mungkin trademark Saharil. Suka memberikan pandangan pertama pembaca kepada contengannya kepada elemen2 seks. Nampak satu gambar, terus orang akan nampak “tut” “tat” “tit”.. apa2 entah. Bila orang fikir merapu mencarut, katanya semua contengannya mempunyai lapisan lain yang harus difikirkan. Aduhai! Orang seni sangat memang begini agaknya. Buku ini bukan untuk tontonan umum. Yang belum akhil baligh tak payah la diberi buku ni. Pembaca marhaen biasa2 sepatutnya harus ditarik kepada penilaian yang mudah tetapi bermakna (bagi sesetengah contengan). Bagi saya, seni dan intelek itu lain. Ada masa saya merasakan, Saharil berniat menanam intelektualiti ke dalam otak pembacanya tetapi dengan cara seni yang terlalu halus. Jiwa seni bukan semua orang ada en. Saharil oi.

Kesimpulan: Eh, kualiti kertasnya best lah!

Walaupun ada bahagian yang saya kutuk, tapi nak bagi 4 bintang!!!!!

———————-

Mana entri buku FT ni? hehe

Ulasan buku gaya malas

Saya harap saya dapat tulis banyak2. Tapi saya malas. Tapi saya rindu melihat statistik kunjungan ke sini dengan banyak. Tapi saya malas. Tapi saya rindu. Seperti monyet rindukan bunga. Tak layak dan tak malu.

Ini adalah ulasan buku gaya malas2.

For One More Day (2008, 2011) – Mitch Albom

Sinopsis : Kisah Charles Benetto, seorang ahli sukan yang pernah di puncak, kemudian gagal dalam hidup lalu hampir membunuh diri. Kisah bagaimana seseorang telah mengabaikan pengorbanan dan kasih sayang seorang ibu. Ini kisah halunisasinya mengalami hidup sehari bersama ibunya yang telah meninggal dunia.

Suka: Kisah tentang ibu. Siapa tak terkesan? Orang gila pun boleh menangis kerana kisah ibu. Bagaimana jalan penceritaannya pun, oleh kerana ianya tentang ibu, maka buku ini layak mendapat penghormatan dan diulang bacaannya.

Tak suka: Macam biasa, baca buku terjemahan. Terganggu sedikit dengan pemilihan perkataan dan aliran ayat.

Implikasi: Saya sayang mak saya!

Bintang: 3 (kerana bagi saya buku Tuesdays With Morrie lebih baik)

Pecah (2011) – Khairulnizam Bakeri

Sinopsis: Ini adalah kisah rencah hidup orang urban. Kisah tentang rompakan bank oleh 4 peran utama : Herman, Alan, Radi dan Don. Mereka merompak kerana mahukan wang sudah tentu, kecuali Herman. Rompakan Herman adalah kerana dendam dan sayang. Duit dia tak mahu.

Suka: Bahasa yang segar, ada unsur puitis yang dikawal kerana mahu mengekalkan gaya urban dan moden. Jika buka kerana tema urban, saya fikir penulis mampu menayangkan puisi tentang bintang dan bulan. Unsur suspens & misteri tak terjangka dan mengujakan. Penulis ada potensi besar dalam karya bergenre ‘crime’.

Tak suka: Penulis tiada tanggungjawab sosial (tanpa sedar, mungkin). Ok, urban dan moden mungkin perlu ada aksi seks. ok, dimaafkan. Penceritaan kelakuan seks secara metafor yang baik dalam beberapa keadaan tetapi menjelikkan dalam beberapa keadaan. Ada satu plot aksi seks yang berlebihan tetapi tidak penting untung menyambung mana2 plot. Jika dibuang pun plot tersebut, tidak menganggu langsung aliran penceritaan. Penulis hampir ‘memurahkan’ karyanya tanpa sebab yang jelas.

Implikasi: Berminat untuk membaca buku tulisannya pada masa akan datang

Bintang: 3 (kerana ini novel pertama penulis, ini adalah tahap bintang yang paling baik saya beri. Walaupun ada bab2 yang tak suka)

Tukcai (1991, 2007) – Azizi Abdullah

Sinopsis: Tentang penderitaan tukcai seorang ayah tua, yang baru kehilangan isteri tercinta. Yang hidup susah senang dengannya sejak jiwa muda berkobar2. Sejak perjuangan Tukcai sebagai puak haluan kiri. Sebelum merdeka. Provokasi, menentang kepada sebarang ikatan dan usaha berbaik2 dengan penjajah. Sehingga kulit kendur tapi jiwa tak luntur. Nekcai meninggalkannya. Hidup kosong dan mengurung diri dalam bilik begitu lama. Anak2 yang pelbagai sifat menentang dan risau. Tiba2 Tukcai keluar dari bilik, meminta untuk kahwin baru.

Suka: Ayahanda Azizi, tak pernah gagal bercerita tentang kisah orang tua2. Tentang hidup sunyi bila tua. Penceritaannya benar2 jujur tentang sifat buruk dan baik orang 2 tua. Saya teringat buku Sangeetha tulisannya. Sunyi yang memikat.

Tak suka: Ini adalah karya OTAI okey! Tak ada komen.

Implikasi: Saya sayang abah saya!

Malaysian Politicians Say the Darndest Things Vol. 1 ( 2007) – Amir Muhammad

Sinopsis: Kumpulan kata2 ahli politik Malaysia yang menarik, pelik dan kelakar diambil dari mana2 penerbitan. Paling banyak adalah dari Tun M (kamu tahu kan, suka atau tidak, makhluk ini adalah makhluk yang mampu menekan2 jantung kamu selalu).

Suka: Surat yang ditulis oleh Tun M kepada seorang kanak2 dari Britain yang meminta tidak menebang pokok di Malaysia kerana dia mahu belajar tentang binatang dan hutan tropika apabila dia besar nanti:

it is disgraceful that you should be used by adults for the purpose of trying to shame us.. The timber industry helps hundreds of thousands of poor people in Malaysia. Are they supposed to remain poor because you want to study tropical animals? If you don’t  want us to cut down our forests, tell your father to tell the rich countries like Britain to pay more for the timber they buy from us”

Bang!

Tak suka: Bila beberapa quotation diletakkan begitu sahaja tanpa pembelaan dan justifikasi dari yang empunya, mungkin menimbulkan prejudis tak terkawal. Terutamanya quotation berkaitan agama oleh ahli agama. Memanglah, tujuan buku ini untuk kita berfikir, tapi.. kadang2 timbul rasa malu dan sedih (ok, ini mungkin masalah saya sahaja)

Implikasi: Ahli politik adalah orang yang berfikiran waras sekali sekala sahaja. Selebihnya, mereka gila.

Bintang: 4 ( sebab ayat sikit, kesan kepada pemikiran besar)

Sebongkah Batu di Kuala Berang (2011) – Faisal Tehrani

Ops! ini tak boleh tulis di sini. Ulasan buku ini perlu ruang khas. Tunggu entri Cinta untuk FT III.

———-

(eh! eh! Banyak juga aku tulis ni!)

bye, sayang kamu setengah mati.

Catatan untuk FT II

Haruslah saya menulis tentang buku semula. Jika dilayan jiwa kacau saya ni, entri blog asyik disampahkan dengan surat dan puisi2 gila lagi meroyan. Mungkin pembaca blog ini asyik termuntah2 sahaja membaca tulisan saya walaupun tidak mengandung.

Wahai sekelian pembaca blog yang mulia lagi bermutu tinggi,

Adapun, tidak ada buku lain lah yang mahu saya ulas melainkan buku2 tulisan si Mohd Faizal Musa a.k.a Faisal Tehrani. Mohon sekelian pembaca bertahan dengan nama ini. Saya mungkin berhenti menyebutnya sehingga saya habis membaca kesemua bukunya seperti saya sudah habis meroyan menyebut nama Andrea Hirata.

Tunggu Teduh Dulu (2004)

Buku ini adalah tentang perjuangan seorang perempuan bernama Salsabila mengusahakan tanah pusaka arwah ayahnya dengan membuka ladang betik. Bersama seorang sahabat sejati, Teh Sofia, menjadi usahawan wanita muda mencabar iman dan kesabaran. Lebih bingung, muncul cinta silam yang memaksanya memilih di antara Kamil atau Lam Ping Hai. Lebih bingung bila Teh Sofia berada di tengah2nya. Kemudian ada muncul cinta aneh tapi nyata.  Bingung! Lebih bingung dengan kejelikan adik tirinya Shahruzzaman.

Oh! ini plot cerita biasa. Sudah dinyatakan oleh FT melalui monolog Salsabila. Kisahnya hanya cerita biasa. Sekali imbas seperti plot cerita novel islamik pop. Tiada provokasi dan perdebatan agama di dalam buku ini seperti buku2nya lain. Hanya tarbiah agama ringan yang menusuk kalbu. Selain dari buku Rahsia Ummi yang pelik tu, ini adalah buku FT yang paaaaaling ringan. Tetapi paaaaaling tebal. Jadi, apakah yang saya perolehi dari buku FT yang paaaaaling tebal ini? Fakta biologi dan pertanian berkaitan buah betik begitu memikat. Selepas ini, saya  melihat buah betik dari sudut yang berbeza. Melihat bunga betik di waktu senja mungkin boleh timbul puisi pantun gurindam (ok, ini berlebihan!). Saya cuba mengurangkan bacaan buku cerita cinta asyik masyuk, tetapi saya terkantoi juga bila tersengih sorang2 macam kerang busuk ketika bab  Salsabila dan *ehem2* di Mekah. Tapi! Tapi! Macam ada plot yang tak lengkap. Tak tahu apa niat FT. Terlupa atau memang mahu buat sambungan. Tentang pandangan Lam Ping Hai yang khas kepada isteri Shahruzzaman. Tidak ada kesinambungan. Tidak dapat dikesan apakah kesignifikan pandangan itu.

Jika dibandingkan buku ini dan buku cinta islamik pop dari Indonesia yang bukan main dipromosi kedai buku di Malaysia, buku ini jauh lebih baik. Tulisan FT kuat dengan fakta selain hanya agama dalam pelbagai pembolehubah. Buku Ini adalah lambang bakat dan usaha! Saya dapat merasakan, buku dengan tema cinta begini tidak akan ditulis lagi oleh FT. Buku ini akan menjadi satu kenangan yang sentimental kepada peminatnya. Saya optimis, buku ini akan lestari.

Ini adalah buku yang saya cadangkan kepada sesiapa yang mahu mula berjinak2 dengan buku2 FT. Sila dengar nasihat saya, kerana jika kamu salah memilih buku pertama FT, kamu mungkin akan berpuasa membaca buku selama setahun selepas membacanya atau sekurang2nya boleh migrain.

Nama Beta Sultan Alauddin (2007)

Buku ini adalah tentang kisah kebijaksanaan seorang sultan yang kuat agamanya dan adil pemerintahannya. Kisah riwayat hidup seorang raja hasil perkahwinan Sultan Mansur Syah dan Raden Galoh dari Majapahit. Bermula dari kisah baginda hampir dibunuh oleh adiknya sendiri, Raja Ahmad hingga kepada kisahnya kewafatannya. Beberapa kisah penting dalam riwayat dimasukkan dalam buku senipis 144 mukasurat ini. Tentang pembelajaran silat,  tasawuf, pembinaan kereta lembu, menyamar di malam hari menangkap pencuri dan tentang kewafatannya yang tragedi. Ini adalah kesan politik istana dan kekeringan agama.

Buku ini dikisahkan oleh seorang datuk kepada cucu2nya pada zaman ini. Karakter lucu cucu2nya bertanyakan hal riwayat Sultan Alauddin ada unsur2 sinis terlindung. Dari segi isi dan fakta, siapa boleh persoalkan. Mungkin ada unsur2 fiksi di situ, tetapi tidak berapa berani nak komen sebab masih belum arif tentang sejarah kesultanan Melaka. Harus mencari buku lama Sulatus Salatin dalam usaha memahami sejarah melayu terutamanya zaman masyhur Kerajaan Melaka. Rasanya, pembaca sasaran buku ini adalah untuk kanak2 atau awalan remaja. FT nampaknya berusaha begitu keras untuk mengubah gaya penulisan kepada ayat dan frasa kata yang mudah2. Hampir berjaya. Ok, berjaya. Kita andaikan kanak2 akan belajar perkataan yang lebih sukar dan dalam maksudnya.

Dikatakan Sultan Alauddin naik tahta ketika berumur di antara 19 hingga 20 tahun. Sebaya dengan pelajar2 saya. Ketika mereka terkekeh ketawa bermain fesbuk di dalam kuliah dan menyanyi lagu Justin Bieber, saya terasa seperti mahu membaling kerusi kepada mereka apabila terkenangkan kematangan Sultan Alauddin.

Buku ini harus dibaca oleh ibu bapa kepada anak2 kecilnya. Mereka harus tahu, dahulu ada pemerintah yang muda, bijak, adil dan kuat mempertahankan agama.

1511H [kombat] (2004)

Ini adalah buku bergenre sai-fi. Tentang apa yang akan berlaku pada tahun 1511 Hijrah bersamaan tahun masehi 2087. Apa akan terjadi lagi 76 tahun dari sekarang? Ok. Ini kisahnya. Amerika mahu menawan Kaabah dan memusnahkan masjid Nabawi tempat makam Rasullulah SAW. Hebat! Ini idea yang hebat wahai FT!

Penggerak kepada kisah ini ialah Hajah Syarifah Nusaybah. Karakter ini adalah pameran karakter Osama bin Laden, jika kamu mahu mudah faham. Kaya dan perencana kepada satu kumpulan rahsia berasaskan futuwwah. Ianya adalah paduan kekuatan pemuda islam terpilih dari seluruh negara Islam dunia. Mereka menggunakan segala dimensi teknologi dari besi kepada laser dan hologram kepada biologi kepada sekecil2 cip yang dibenam di dalam kepala. Di antara beberapa wira terpilih itu, dialah bernama Muhammad Ameen, dari Kuala Lumpur, Malaysia (Malaysia yo!). Hajah Syarifah Nusaybah seorang arab, memilih Muhammad Ameen, melayu yang bukan berasal dari titik permulaan Islam, daripada petanda2 dan petunjuk ghaib yang diperolehinya. Maka pemilihannya bukanlah sia2 belaka. Komander Muhammad Ameen adalah perancang kepada penawanan Islam ke atas Washington DC. Yang telah di bantu oleh komander2 Islam lain seperti Emrullah, Zinnera, Salim, Habib dan lain2. Kamu akan tahu bagaiman presiden Amerika mati dengan teknologi bio. Ini idea yang lebih canggih dari idea saya. Saya fikir, kenapa tak santau je semua Presiden Amerika dan Israel, memandangkan orang melayu begitu maju ilmunya dalam hal2 begini! Ini, pergi santau artis. Apa faedahnye mak cik bedah oi!

Teknologi dan gaya peperangan pada tahun 2087 digambarkan dengan logik dan berasas. Gambaran kota Mekah dan Madinah pada tahun itu sungguh MasyaAllah! Ok, penggunaan piring terbang tu agak kurang jelas. Saya mungkin lebih puas hati jika dijelaskan sedikit bagaimana lalu lintas piring terbang itu diurus selia. Lagi satu, FT ada menulis satu teknologi yang seakan2 twitter. Dua tahun setelah buku ini diterbitkan, twiiter wujud. Begitu cepat. Jadi saya bayangkan teknologi seakan2 twitter itu agak ketinggalan jika berlaku pada tahun 2087 (amboi! pandainya komen orang!). Tapi, teknologi komunikasi melalui cip di dalam otak itu, hebat wahai tuan FT!.

Saya tak suka perang. Ok, siapa pula yang suka perang kan? Tapi, saya sangat bersetuju, peperangan dalam Islam adalah satu perbuatan defensif. Kita berperang kerana kita ditindas. Tetapi FT mengingatkan kita dalam Islam, peperangan juga adalah ofensif (Saya belum cukup ilmu untuk memberi komentar tentang ini). Jadi, pendekatan peperangan ofensif digunakan bagi memusnahkan keangkuhan Amerika menjadi tuan dunia. Sesuka hati meletakkan label kepada siapa pengganas siapa yang bukan. Itu bodoh sombong!

Saya tak suka buku sai-fi. Tak suka kisah perang. Tapi saya suka buku ini. Sudah saya katakan dulu lagi, cinta memang aneh! Ia akan datang dalam keadaan kita tak suka pun.

p/s: Buku ini telah menang tempat pertama Pertandingan Novel Remaja Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2003. (Buku remaja? haih!)

——————

Sekian, terima kaseh sayang.

Catatan untuk FT

Fernando Torres? Bukan.. Faizal Tahir? Bukan… Federal Territory? Laaaaagi bukan.

Ya, betul. Faisal Tehrani.

Lantaklah korang nak kata dia taksub syiah ke, taksub Iran ke wahabi ke apa ke, ada aku kesah? Seorang rakan berfahaman pluralisme berpendapat FT seorang yang judgmental. Ye lah! dilihat dari sudut pluralisme sudah tentu FT dilihat seperti seorang pemberontak dan tak sporting langsung. Apa pun pandangan orang, tak pernah menurunkan darjah kecintaan dan kekaguman saya kepadanya (tulisannya, maksud saya).

Ya, janganlah layan bebelan saya. Dijemput membaca laporan ringkas saya terhadap pembacaan 3 buah buku FT ini:

MAAF DARI SORGA (2003)

Buku ini berkisar tentang kehidupan sepasang anak muda yang baru berkahwin, Sarah dan Hakiki. Hakiki adalah seorang graduan dari Sydney dan Sarah pula baru memeluk Islam. Tinggal di sebuah rumah bernombor 33 yang terkenal sebelumnya dengan cerita2 misteri tidak terselesai. Seperti penghuni yang sebelumnya, mereka juga mengalami kejadian2 pelik dan menakutkan.

Buku ini sebenarnya tentang penyesalan dan peluang kedua. Tidak begitu ditekankan sangat tentang misteri rumah tersebut, walaupun pada mulanya pembaca diajak berdrama dengan gangguan aneh. Awal2 lagi FT memberitahu pembaca bahawa buku ini adalah hasil tulisannya semasa dibangku sekolah. Maka tidak lah saya merasa terkejut sangat bila merasakan kadang2 beberapa bahagian penulisannya memang berbau remaja. Percubaannya memasukkan perdebatan agama dalam dialog diantara Pak Idi, Ustaz Wan dan Tuarno adalah permulaan yang baik. Isu rasuah, riba dan ketauhidan disentuh sederhana tetapi memadai.

Jika ini adalah tulisan seorang pelajar yang masih dibangku sekolah, saya harus bangun berdiri dan bertepuk tangan. Kerana, saya ketika di bangku sekolah hanya tahu mencari lirik lagu sahaja.

ADVENCER SI PENIUP NEY (2005)

Naskhah ini pula tentang pengembaraan dakwah seorang ustaz muda dan kacak bernama Sulaiman. Bukan calang2 tempat dia berdakwah. Dia dijemput oleh 40 makhluk Allah yang lebih halus nun jauh dari penglihatan kita. Dunia jin. Di negeri Fantasia, dimana semua jin2 mabuk dengan dunia hedonisme. Berhibur kegila2 an dan hidup tanpa tujuan.

Betul kata rakan2 saya juga pembaca FT sekelian! Sepatutnya buku ini dibaca semasa demam AF. Pada masa bangsa Malaysia (Melayu) begitu takjub dengan karakter islami Mawi tanpa sedar terjerumus ke dalam dunia hedonisme yang konon2 kelihatan berhalatuju! Buku ini menterjemahkan hujah FT tentang peranan hiburan terutamanya muzik dalam Islam. FT membentangkan teori yang munasabah dan berbukti bahawa muzik pada asasnya bukanlah dilarang bahkan ianya sebenarnya berpunca dari Islam. Beberapa bukti pada kisah zaman kegemilangan Islam dahulu seperti penggunaan gitar, nota-nota muzik dan asal usul jazz begitu mengujakan saya.

Saya pernah terfikir, bahawa kekurangan FT ialah dia gagal membawa unsur humor ringan untuk menyeimbangkan tulisannya yang selalu berat. Sebagai contoh, beberapa percubaan humor dalam buku Bahlut, adalah gagal bagi saya. Oh! Rupanya FT menyimpan bakat humornya dalam buku tertentu sahaja! Jarang saya membaca buku FT sambil ketawa terbahak2 kecuali buku ini. Dan, ini membuktikan FT adalah penulis yang hampir sempurna!

Kewujudan AF bukanlah sia2. Ia telah mendesak FT menulis buku ini! Besar sumbangannya tu! (Itupun jika remaja2 kita membacanya!). Baguslah ini adalah tahun terakhir bagi AF (ambil port juga tu :-)). AF memulakan kegilaan hedonisme di Malaysia, dan ia juga harus dihentikan terlebih dahulu!

RAHSIA UMMI (2003)

Ini pula berkenaan tentang kisah cinta dua darjat di antara Faizah dengan Syed Hassan (generasi pertama) dan Sharifah Aini dengan Syed Hairi (generasi kedua). Kisah cinta terhalang kerana satu pihak terlalu takjub dengan keturunannya yang baik2. Keturunan arab, keturunan nabi2. Lagu2 Sharifah Aini bertaburan dalam buku ini.

Betul sangat apa yang telah diakui oleh FT bahawa buku ini adalah hasil tulisannya yang aneh. Dan beberapa pendapat mengatakan buku ini adalah lambang FT pernah gagal dalam penulisannya. Bagi saya tidak lah begitu gagal, tetapi benar2 aneh. Tidak kena pada budaya penulisan yang diperjuangkannya. Saya ketawa terbahak2 bila FT melakarkan saat2 perdebatan romantis diantara Aini dan Hairi dimana akhirnya Hairi meluahkan perasaan cintanya kepada Aini dan, FT banyak kali mengeluarkan ayat2 cinta klise dalam beberapa monolog karakter2 buku ini. Tidak! Penceritaannya tidak kelakar. Cuma, cinta asyik masyuk dan FT adalah satu kombinasi yang janggal. Jadi, tiba2 saya rasa lucu.

Kalau tidak kerana saya bersetuju dan teruja dengan perdebatan tentang obsesi bangsa arab terhadap keturunannya dan pengetahuan FT tentang senibina dan rekaan dalaman, saya hampir meletakkan 1 bintang sahaja untuk buku ini (berlagak kan saya? Macamlah pernah menulis buku!).

Oh! Tapi saya termakan juga dengan ayat yang diulang berkali2 dalam buku ini;  ” Cinta dan jodoh adalah dua perkara yang berbeza” (Macam pernah dengar lah! Tapi di mana ye).

——————-

OK, siaplah laporan pembacaan saya setakat ini. Awak tau tak saya belum habis baca Tunggu Teduh Dulu? Adakah saya akan kecewa selepas membacanya ?

Salam cinta!

Mengulas buku secara berkumpulan

Salam semua,

Selamat pulang bercuti. Saya juga baru pulang bercuti bersuka ria. Duit telah melompat dari poket dengan banyaknya! Yey! Lepas ni, boleh duduk diam2 baca buku banyak2 dan makan nasi lauk ikan kering hari2.

Entri kali ini adalah ulasan buku secara berkumpulan. Pada awalnya saya mahu menulis entri setiap satu bagi setiap buku. Tapi apakan daya, tuntutan kerja lebih bermaharalela!

DEAR JOHN – NICHOLAS SPARKS

Ini adalah pertama kali pengalaman saya membaca buku Nicholas Sparks walaupun sudah banyak saya tonton filem2 adaptasi novelnya. Berdasarkan filem2 yang saya tonton, saya sudah menjangka Encik Sparks adalah penulis buku chic-lit tetapi lebih matang. Meneliti makna hidup dengan lebih teliti. Penceritaan yang mudah, tak berbelit dan terjangka. Saya dapat menjangka pengakhiran kisah ini walaupun penulis melakukan twist. Tetapi pengakhiran yang agak drama. Pengakhiran yang diubah dalam filemnya pula agak terlalu bagus untuk menjadi benar. Yang menarik perhatian saya ialah bukan kisah cinta antara John dan Savannah tetapi tentang hubungan kasih-dingin antara John dan ayahnya yang menghidap sindrom aspeger. Kalau cerita bab2 ayah yang pendiam ni memang saya cepat tersentuh (cengeng!).

TUESDAYS WITH MORRIE – MITCH ALBOM
(Terjemahan oleh PTS)

Saya sepatutnya membaca buku ini dalam versi Bahasa Inggeris, kerana tak terasa berapa feel membacanya dalam bahasa ibunda. Terjemahan yang agak kaku, tetapi tak apalah. Sekurang2nya ada usaha menterjemah buku ke bahasa yang paling indah ni!

Buku ini adalah tentang pengalaman sebenar seorang bekas pelajar (penulis) bersama profesornya yang menunggu saat kematian apabila disahkan menghidap penyakit saraf amyotrophic lateral sclerosis. Buku Ini adalah pendapat sekular tentang kematian. Hampir sama sahaja dengan pendapat islami. Tidaklah disentuh tentang ilmu ketauhidan. Sudah tentu. Beberapa falsafah hidup yang lain sangat menyentuh dan menyedar. Tentang dunia, mengasihi diri sendiri, penyesalan, keluarga, perasaan, takut akan tua, duit, cinta, perkahwinan, budaya, kemaafan, hari yang sempurna dan perpisahan.

(Ah! kalaulah saya banyak masa untuk bercerita tentang buku ini dengan lebih panjang!)

PADANG BULAN – ANDREA HIRATA

Sungguh saya tak percaya saya membuat ulasan tentang buku Andrea Hirata ini bersama2 dengan buku2 lain! Cinta ku telah berbelah bahagi!

Buku ini adalah berkenaan kisah perit hidup Enong @ Maryamah di kampung Belitong dan kisah lanjutan Ikal dengan usaha gilanya mengejar cinta A ling. Entah kenapa saya rasa cerita ini bergerak lambat. Entah kenapa metafora Andrea kali ini gagal meraih kasih saya sepenuhnya. Tetapi, kisah kesengsaraan dan kekuatan Enong menyentuh hati, dan Detektif M.Nur memang gila. Saya hampir mual dengan kisahnya merebut cinta A Ling. Saya tak merasai cinta, melainkan kebodohan dalam keazaman. Adakah ini cemburu? Ah! ah!

CINTA DALAM GELAS – ANDREA HIRATA

Saya sepatutnya akan teruja untuk minum kopi dan belajar main catur bila membaca buku ini. Tetapi tidak. Apa yang lebih mengujakan saya bagaimana Andrea telah mengangkat martabat wanita melalui kisah lanjutan Enong @ Maryamah yang lebih fokus. Perjuangannya melawan bekas suaminya dalam acara catur adalah aturan cerita yang sangat masterpiece dalam buku ini. Dalam kekolotan orang2 kampung Belitong terhadap hak wanita dalam Islam dan budaya mereka, Andrea berjaya memberikan sisi manis bagi setiap karakter manusia2 di kampungnya.

Saya membaca buku ini semasa demam Piala AFF, ketika ada rakyat Indonesia mendoakan rakyat Malaysia masuk neraka, tetapi saya tetap terus membaca bukunya dengan penuh rasa cinta. Cinta itu memang aneh.

TIGA KALI SEMINGGU – FAISAL TEHRANI

Buku ini adalah antologi cerpen2 FT yang terbaru. Ada 15 cerpen kesemuanya. Secara keseluruhan, FT menulis tentang betapa hebat apa sahaja yang dimilik kita (beliau). Ini termasuk Bahasa Melayu, Bangsa Melayu, Seni pembuatan Rumah Melayu, dan Islam tentunya. Kebanyakan cerpen berkaitan Islam adalah cubaan membetulkan tanggapan terhadap Islam. Sedikit kelainan, ada beberapa cerpen mempunyai unsur seks yang ditulis dengan cara yang unik, tidak ghairah dan menyedar.

Yang paling melekat di hati adalah cerpen Rindu Ini Luar Biasa (tentang perjuangan Bahasa Melayu) dan Kegawatan (tentang kemungkinan berlaku bencana di Malaysia). Imaginasi FT dalam Kegawatan sangat tak terkawal sebagai metafora kepada kekuasaan Allah. Imaginasi melampau dan begitu terperinci! Sangat terkejut saya membacanya tetapi semuanya boleh berlaku!

FT adalah antara aset sastera Malaysia yang sangat berharga! Oh Tuhan, rahmatilah kehidupannya sentiasa!

———–

Ok. jumpa lagi!