Aku Mahu Jadi Senja

 

Aku mahu menjadi senja
Merenung dan menyentuh kamu

Setiap kali siang menyuluhmu
Setiap kali malam memelukmu

Aku ada di situ
pada kedua2 waktu

Dengan sedikit kasih matahari
Dengan sedikit cinta bulan
Kamu adalah keajaiban Tuhan

Aku mahu menjadi senja
Meraikan kamu, cinta dan Tuhan

Advertisements

Hari untuk berdoa

Bukan hari lain tidak boleh berdoa. Tapi hari ini adalah istimewa.

Pada hari ini usia saya secara rasminya bertambah lagi setahun. Hari ini hari jadi saya. Yey! (Tepuk tangan semua sambil tiup trompet!).

Saya sudah off tarikh harijadi saya di fesbuk. Tidak akan ada sesiapa yang ingat harijadi saya jika fesbuk tidak menjerit2. Hari ini hari jadi saya yang sunyi. Saya mahu raikan kesunyian ini bersama pembaca blog saya sahaja. Entah kenapa saya rasa hati saya lebih dekat dengan pembaca blog daripada rakan2 di fesbuk.

Takut tua? Tidak. Saya tidak takut tua. Kerana kata Prof Morrie kepada anak muridnya dalam buku Tuedays With Morrie; penuaan bukanlah proses mereput. Ia adalah proses pertumbuhan. Ia menandakan kita semakin bijak menangani hidup. Jika kamu bermati-matian tidak mahu menjadi tua, kamu akan menjadi orang yang tidak gembira. Kerana tua akan sampai kepada kamu juga.

Apa yang saya takutkan adalah tua dan keseorangan.

Tapi!!!!!!!

Saya ok! Mari ramai2! Tolong pijak perkataan “tua dan keseorangan”! Hidup mesti terus!

——————-

Saya nak hadiah boleh?

Doakan kebahagiaan saya.

Doakan kesejahteraan saudara Palestin

Doakan keselamatan rakyat Jepun

Doa daripada tuan dan puan didahului dengan ucapan jutaan terima kasih.

(Oh ya! Jika mahu berhubung dengan saya, sila follow twitter saya. Jangan cari saya di fesbuk. Jiwa saya hampir hilang di fesbuk).

Tahun lepas juga bunga anemone ini ada juga semasa entri harijadi saya. Ingat tak? Kamu tahu kan makna anemone itu adalah “harapan”?

Catatan untuk FT

Fernando Torres? Bukan.. Faizal Tahir? Bukan… Federal Territory? Laaaaagi bukan.

Ya, betul. Faisal Tehrani.

Lantaklah korang nak kata dia taksub syiah ke, taksub Iran ke wahabi ke apa ke, ada aku kesah? Seorang rakan berfahaman pluralisme berpendapat FT seorang yang judgmental. Ye lah! dilihat dari sudut pluralisme sudah tentu FT dilihat seperti seorang pemberontak dan tak sporting langsung. Apa pun pandangan orang, tak pernah menurunkan darjah kecintaan dan kekaguman saya kepadanya (tulisannya, maksud saya).

Ya, janganlah layan bebelan saya. Dijemput membaca laporan ringkas saya terhadap pembacaan 3 buah buku FT ini:

MAAF DARI SORGA (2003)

Buku ini berkisar tentang kehidupan sepasang anak muda yang baru berkahwin, Sarah dan Hakiki. Hakiki adalah seorang graduan dari Sydney dan Sarah pula baru memeluk Islam. Tinggal di sebuah rumah bernombor 33 yang terkenal sebelumnya dengan cerita2 misteri tidak terselesai. Seperti penghuni yang sebelumnya, mereka juga mengalami kejadian2 pelik dan menakutkan.

Buku ini sebenarnya tentang penyesalan dan peluang kedua. Tidak begitu ditekankan sangat tentang misteri rumah tersebut, walaupun pada mulanya pembaca diajak berdrama dengan gangguan aneh. Awal2 lagi FT memberitahu pembaca bahawa buku ini adalah hasil tulisannya semasa dibangku sekolah. Maka tidak lah saya merasa terkejut sangat bila merasakan kadang2 beberapa bahagian penulisannya memang berbau remaja. Percubaannya memasukkan perdebatan agama dalam dialog diantara Pak Idi, Ustaz Wan dan Tuarno adalah permulaan yang baik. Isu rasuah, riba dan ketauhidan disentuh sederhana tetapi memadai.

Jika ini adalah tulisan seorang pelajar yang masih dibangku sekolah, saya harus bangun berdiri dan bertepuk tangan. Kerana, saya ketika di bangku sekolah hanya tahu mencari lirik lagu sahaja.

ADVENCER SI PENIUP NEY (2005)

Naskhah ini pula tentang pengembaraan dakwah seorang ustaz muda dan kacak bernama Sulaiman. Bukan calang2 tempat dia berdakwah. Dia dijemput oleh 40 makhluk Allah yang lebih halus nun jauh dari penglihatan kita. Dunia jin. Di negeri Fantasia, dimana semua jin2 mabuk dengan dunia hedonisme. Berhibur kegila2 an dan hidup tanpa tujuan.

Betul kata rakan2 saya juga pembaca FT sekelian! Sepatutnya buku ini dibaca semasa demam AF. Pada masa bangsa Malaysia (Melayu) begitu takjub dengan karakter islami Mawi tanpa sedar terjerumus ke dalam dunia hedonisme yang konon2 kelihatan berhalatuju! Buku ini menterjemahkan hujah FT tentang peranan hiburan terutamanya muzik dalam Islam. FT membentangkan teori yang munasabah dan berbukti bahawa muzik pada asasnya bukanlah dilarang bahkan ianya sebenarnya berpunca dari Islam. Beberapa bukti pada kisah zaman kegemilangan Islam dahulu seperti penggunaan gitar, nota-nota muzik dan asal usul jazz begitu mengujakan saya.

Saya pernah terfikir, bahawa kekurangan FT ialah dia gagal membawa unsur humor ringan untuk menyeimbangkan tulisannya yang selalu berat. Sebagai contoh, beberapa percubaan humor dalam buku Bahlut, adalah gagal bagi saya. Oh! Rupanya FT menyimpan bakat humornya dalam buku tertentu sahaja! Jarang saya membaca buku FT sambil ketawa terbahak2 kecuali buku ini. Dan, ini membuktikan FT adalah penulis yang hampir sempurna!

Kewujudan AF bukanlah sia2. Ia telah mendesak FT menulis buku ini! Besar sumbangannya tu! (Itupun jika remaja2 kita membacanya!). Baguslah ini adalah tahun terakhir bagi AF (ambil port juga tu :-)). AF memulakan kegilaan hedonisme di Malaysia, dan ia juga harus dihentikan terlebih dahulu!

RAHSIA UMMI (2003)

Ini pula berkenaan tentang kisah cinta dua darjat di antara Faizah dengan Syed Hassan (generasi pertama) dan Sharifah Aini dengan Syed Hairi (generasi kedua). Kisah cinta terhalang kerana satu pihak terlalu takjub dengan keturunannya yang baik2. Keturunan arab, keturunan nabi2. Lagu2 Sharifah Aini bertaburan dalam buku ini.

Betul sangat apa yang telah diakui oleh FT bahawa buku ini adalah hasil tulisannya yang aneh. Dan beberapa pendapat mengatakan buku ini adalah lambang FT pernah gagal dalam penulisannya. Bagi saya tidak lah begitu gagal, tetapi benar2 aneh. Tidak kena pada budaya penulisan yang diperjuangkannya. Saya ketawa terbahak2 bila FT melakarkan saat2 perdebatan romantis diantara Aini dan Hairi dimana akhirnya Hairi meluahkan perasaan cintanya kepada Aini dan, FT banyak kali mengeluarkan ayat2 cinta klise dalam beberapa monolog karakter2 buku ini. Tidak! Penceritaannya tidak kelakar. Cuma, cinta asyik masyuk dan FT adalah satu kombinasi yang janggal. Jadi, tiba2 saya rasa lucu.

Kalau tidak kerana saya bersetuju dan teruja dengan perdebatan tentang obsesi bangsa arab terhadap keturunannya dan pengetahuan FT tentang senibina dan rekaan dalaman, saya hampir meletakkan 1 bintang sahaja untuk buku ini (berlagak kan saya? Macamlah pernah menulis buku!).

Oh! Tapi saya termakan juga dengan ayat yang diulang berkali2 dalam buku ini;  ” Cinta dan jodoh adalah dua perkara yang berbeza” (Macam pernah dengar lah! Tapi di mana ye).

——————-

OK, siaplah laporan pembacaan saya setakat ini. Awak tau tak saya belum habis baca Tunggu Teduh Dulu? Adakah saya akan kecewa selepas membacanya ?

Salam cinta!