Angan2 untuk buku

Salam, apa khabar. Sihat? Mak ayah sihat? Kirim salam kat diaorang ye.

Kita cerita tentang buku hari ni.

Selain dari abah, makhluk kaku lain yang mampu mempengaruhi tingkah laku dan fikiran saya adalah buku. Tanpa berkata2, membebel dan memekik secara vokal, ternyata kebanyakan buku yang saya temui mempunyai jiwa yang besar. Lebih besar dari saiznya.

Kamu tahu tak, menurut kata si pakcik Google yang rajin mencari tu, sehingga Ogos 2010, jumlah buku yang diterbitkan di seluruh dunia ialah 129, 864, 880 buah. Macam mana nak sebut tu? ok, kita mudahkan; hampir 130 juta buah! Mari kita bandingkan dengan buku yang kita miliki atau yang kita baca. Saya hanya dapat merekod 115 buah buku dalam Goodreads. Jumlah itu kebanyakannya buku yang saya miliki sekarang. Campur buku yang saya telah baca tetapi tidak memilikinya atau yang telah lupa untuk di recall (pelupa tak dapat diampun) yang saya baca dari mula kenal ABC termasuk buku teks sekolah dan rujukan universiti, paling banyak mungkin 400 buah buku. Seumur hidup! Ok, mari bandingkan dengan jumlah buku yang ada di dunia yang fana ini. 400 daripada 130 juta buku adalah 0.000307…..%. Menyedihkan!

kredit : mariewinnaturenews

Ok, katalah kita anggap ada sebahagian buku2 itu, mati hidup semula pun kamu tak mahu baca. Katalah industri perbukuan di muka bumi ini parah benar yang mana terkandung separuh darinya adalah buku2 murahan yang tak memberi apa2 faedah melainkan merugikan masa emas kamu. Kalau separuh, maka jumlahnya jadi 65 juta buah. Ok, katalah kamu menolak buku2 romen, buku2 cinta gaduh baik gaduh baik akhirnya happilly ever after. Ok, tolak separuh lagi maka jadi 32.5 juta buah. Katalah kamu tak ada kekuatan iman nak membaca buku2 agama2 lain, ajaran2 sembah matahari atau pokok. Ok, kita tolak lagi separuh, tinggal 16.25 juta buah. Ok, cukup2. Jangan nak ditolak2 lagi dah. Sekarang bandingkan jumlah 400 dengan 16.25 juta buah buku. Nilainya 0.002461…%. Masih menyedihkan! Dan katalah, apa yang telah kamu baca, tak pandai2 pula mahu melekat di otak. Kalau separuh dari yang kita baca, kita lupa pula, maka tinggal 0.001230..%. Memang hidup ini agak menyedihkan, jika difikir2 dengan cara begini.

Itu lah agaknya peratus ilmu yang saya dapat setakat ini. Itupun jika berdasarkan bilangan buku. Ilmu bukannya terletak pada buku sahaja. Sudah tentu. Tuhan letakkan ilmu pada setiap inci alam semesta. Pada setiap helai2 daun atau pada setiap butir tanah yang dipijak juga mungkin tersembunyi ilmu. Tak terkira betapa jauuuuuhnya kita dengan pengetahuan Tuhan.

Jadi, kawanku! Apa yang harus kita lakukan? Kita akan lakukan sedaya yang mungkin. Kita mulakan dengan menambah bilangan buku yang akan dibaca. Saya dengan rendah hatinya ingin menjemput sesiapa sahaja yang ditakdirkan Tuhan terbaca entri ini, menetapkan azam cita2 untuk membaca lebih banyak buku pada tahun ini berbanding tahun lepas. Saya menetapkan sasaran 50 buku setahun untuk tahun ini. Ini semua jasa rakan2 Goodreads Malaysia. Kalau tak kerana mereka yang pung pang pung pang dalam group discussion mungkin saya tak sekuat 50 buah buku! Oh ya! Jemput juga menyertai Goodreads Malaysia jika masih belum menjadi ahli. Percuma! Lagi banyak faedah rasanya dari mabuk berfesbuk. Gitu!

Cita2 satu hal, nak melaksanakannya satu hal kan? Saya telah merancang beberapa strategi untuk memaksa saya membaca 50 buku tahun ini. Kemudianlah saya ceritakan. Cerita panjang2 pun, nanti kamu bosan kan?

Sekurang2nya jika ada 10 orang yang membaca entri ini, masing2 akan membaca 50 buah buku, kita akan dapat 500 buah buku setahun! Kalau ada 100 orang (berangan!), tahun ini ada 5000 buah buku akan dibaca kerana entri blog ini! Cun meletop kaaaw mantap tak hengat kan!

Inilah angan2 saya yang terkini. Sekian, terima kasih.

Bila si ayah menangis

Sumpah, seumur hidup saya tak pernah nampak abah menangis. Pernah saya ceritakan, abah adalah seperti batu yang keras, dingin dan tidak berganjak. Saya kira, abah adalah manusia yang paling kebal kepada sebarang dugaan. Malahan saya tak pernah tahu bila abah dalam kesusahan atau kesedihan. Mustahil abah tak pernah merasa kesusahan dan kesedihan hati yang amat sangat. Tapi bila? Saya tak pernah tahu bila. Abah tak pernah memberi wajah yang berekasi penuh emosi. Melihat wajah abah seperti melihat permukaan tasik yang tidak pernah berkocak,  ya, begitulah abah. Sentiasa.

Kerana itu, saya tak pernah bersedia kalau2 abah menangis di hadapan mata saya. Saya tak pasti sejauh mana kekuatan saya menanggung hibanya.  Semantelah abah semakin lemah. Pergerakannya semakin perlahan. Pada usia begini, abah mungkin tak akan mampu menahan kalau2 dia dihina, di herdik dan dicaci oleh orang lain, Pemandangan abah menangis kerana di hina, di herdik atau di caci, semuanya belum pernah berlaku di hadapan saya. Saya tak bersedia menghadapi semua ini.

Tetapi, hari ini. Saya seperti sudah merasai saat2 itu. Saat2 bila melihat abah menangis, kalau2 dia menghadapi dugaan hidup yang teramat kejam. Hari ini saya menangis melihat ayah orang lain. Ini adalah lambang penghinaan kepada ayah seseorang.

Jika kamu tak kenal, namanya Abdullah Hussain, penulis buku Interlok. Buku yang dituduh berbau rasisma. Yang dibakar dan disepak2 kemudiannya.

Ya, kawan, saya menangis tak tertahan. Air mata terasa meresap masuk sehingga seluruh jiwa. Hibanya sukar diganti2 dengan perasaan lain. Di satu saat yang lain, marah dendam tak terluah meraja membentak2. Mungkin marah membara kepada diri sendiri kerana saya seperti tak mampu membantu si ayah ini. Mungkin begini rasanya bila melihat ayah menangis. Rasanya seperti mahu berlari terus sekuat hati ke arahnya dan memeluknya, dan mendengarnya menangis sampai bila2 yang dia mahu. Kemudian membawanya ke tempat yang jauh, jauh, jauhhhhh.

Jika kamu sudah membaca bukunya, membacanya dengan hati terbuka tanpa prasangka kamu akan lihat keikhlasan, kebijaksanaan dan keindahan yang Tuhan anugerahkan untuk si ayah ini. kamu tahu kenapa kamu tidak dapat melihat anugerah Tuhan itu? Kerana kamu itu telah buta. Mata kamu telah disimbah air longkang kotor yang berbau busuk dan hamis! Air itu namanya politik.

Ok, kita lupakan tentang sastera. Tentang poltik. Tentang perjuangan bangsa (kan saya dah kata, perjuangan atas dasar bangsa adalah perjuangan yang membuang masa!).

Kali ini, saya hanya mahu kamu berfikir tentang hati seorang ayah.

Seorang ayah yang jujur, bekerja keras untuk berlaku jujur, bekerja keras untuk membantu semua orang lain menerima kejujuran itu. Kemudian di cerca, dihina. Sehingga si ayah menangis kepiluan. Si ayah mungkin kecewa dengan aturan sebegini. Si ayah mungkin putus asa kemudiannya. Si ayah berkeputusan untuk berhenti sahaja setelah apa yang dilakukannya tidak dilihat jujur. Maka kamu nanti akan kehilangan senyum si ayah. Mungkin.

“Seorang ayah yang tua patut tersenyum setiap masa” – kata seseorang

p/s: Rindu abah. Rindu sangat.