Kemaafan itu kupu2 indah

(walaupun entri ini di paparkan pada 13 hb dis, tetapi sebenarnya saya menulis pd tarikh semalam. Atas sebab yang menyakitkan hati, saya tidak dpt, ‘publish’ semalam)
_____________________________

Saya perlu menulis sesuatu pada hari ini.

Semasa saya masih hingusan lagi, saya sudah mula kenal erti bergusti. Makhluk pertama yang saya tumbuk adalah adik saya yang tembam seperti kuih apam. Kami bergaduh, bertumbuk hampir setiap masa atas sebab apa pun. Mungkin kerana berebutkan pemadam yang besarnya hanya seinci atau berebut tempat strategik untuk main nyorok2 (belakang jamban, sudah tentunya).

Tapi yang indahnya, setiap kali habis sahaja bergaduh, mungkin kurang dari 5 minit, saya dan adik sudah berlari bagai nak gila, ketawa mengilai bersama2 menuju ke parit di pinggir kampung. Main nyorok2 dalam air, gedebush! gedebush! bertepuk tampar dan berpeluk di bawah pokok kekabu gergasi.

Kami berkelakuan seperti tidak pernah melakukan kesalahan antara satu sama lain. Bergaduh adalah seperti acara rutin yang biasa seperti acara makan2. Seperti lepas kenyang, lupa lapar. Lepas gaduh, baik semula. Tak ada masa nak ingat siapa salah, siapa yang kena minta maaf, apatah lagi nak simpan dendam.

Apa itu dendam? Tak tahu. Kasih pada adik agaknya begitu tulus suci murni. Oh, mungkin bukan suci murni sangat. Tapi, saya rasa, saya fikir masa tu, kalau saya berdendam atau memendam perasaan tak mahu bermain dengan adik semula, saya banyak menanggung kerugian. Saya rugi masa bermain. Saya rugi kurang kawan ketawa. Saya tak ada kawan curi tebu, saya tak ada kawan nak berlawan main terjun tiruk dalam parit. Tak ada kawan main jentik2 sumbu pelita diwaktu malam. Jadi, saya fikir menyimpan dendam untuk adik saya amatlah rugi.

Bila besar panjang begini, saya fikir apa yang saya lakukan dahulu adalah satu perlakuan yang menunjukkan saya boleh memaafkan adik. Atau adik juga telah belajar apa itu memaafkan. Kami tidak pernah meminta maaf secara vokal, tapi bila adik ketawa mengilai macam pontianak, kemerah-merahan pipinya seperti apam mahu pecah, saya tahu dia sudah memaafkan saya. Bila saya tolong sapukan kapur kasut sekolah adik, saya tahu, saya sudahpun memaafkannya.

Memaafkan adalah satu perbuatan yang ringan seperti mengangkat kelopak mata sahaja.

Itu semasa kecil.

Bila saya membesar, menempuh rencah hidup tak terduga, banyak peristiwa yang menuntut kekuatan untuk memaafkan seseorang. Semakin kuat cabaran hidup, semakin berat untuk saya memberikan kemaafan. Ada masanya, memberi kemaafan seperti mengangkat batu besar yang tumpat (dah batu, mestilah tumpat dek non!).

Jadi bagaimana harus kita mencari kekuatan untuk memaafkan seseorang? Saya teringat pesan seorang kawan apabila saya menyumpah2 kepada seorang professor yang hampir menggagalkan tesis saya. Pesannya, ‘janganlah kita terlalu membenci seseorang sehingga meletakkan darjat tanpa kemaafan kepada orang tersebut. Kita belum tahu takdir hidup kita. Manalah kita tahu, di suatu masa hidup kita dalam kesusahan dan tiada siapa yang mampu menolong kita, kecuali orang yang kita benci itu. Kerja Tuhan dalam menterbalikkan nasib manusia adalah sangat misteri. Jangan kita merendahkan kuasa Tuhan atas kemampuanNya melakukan apa sahaja yang tak terduga. Tidakkah kita seperti ditampar malu bila Tuhan menghantar orang itu untuk membantu kita?’

Jadi, apa masalahnya lagi jika kita ini sukar benar memaafkan orang lain? pesan seorang ustaz, jika kita gagal memaafkan seseorang, sedar atau tak sedar, kita seperti meletakkan diri kita lebih baik daripada orang tersebut. Kita rasa kita tak akan melakukan kesalahan seperti yang telah dilakukan oleh orang tersebut. Kita yakin kita tidak akan melakukan kesalahan apa2 kepada orang tersebut, sememangnya orang itu sahajalah satu2nya manusia yang paling teruk di dunia ini. Jika begitulah keyakinan kita, tidakkah kita takut Tuhan akan menterbalikkan nasib dan perasaan kita?

Hari ini, pada 12.12.12, saya sudah bersama dengan separuh lagi jiwa saya selama 1 tahun 1 bulan dan 1 hari. Selama tempoh perkahwinan setahun jagung ini, saya telah banyak belajar tentang kemaafan. Separuh jiwa saya itu banyak benar mengajar saya tentang kemaafan. Kemaafan berjaya menyuburkan kasih sayang kami berdua. Doakan kesuburan kasih sayang ini, kawanku. Terima kasih ucapan pendahuluan.

Indah, kawanku. Indah rupanya bila kita berjaya memaafkan seseorang, rasanya seperti batu besar itu pecah kecil2.. tiba2 bertukar menjadi kupu2 putih yang banyak berterbangan gembira mengelilingi kamu. Kupu2 itu seperti menyampaikan rahmat Tuhan yang tak terhingga. Segala saraf yang berselirat di dalam kepala kembali tersusun mengikut aturan yang benar. Fikiran tenang, jiwa aman.

Mari kita belajar memaafkan sesiapa sahaja. Atas sebab apa sahaja. Walau di mana sahaja dan bila2 sahaja. Semoga hidup kita sentiasa dirahmati Tuhan, Allah yang Maha Pengasih.

Sekian, sehingga berjumpa lagi.

3 thoughts on “Kemaafan itu kupu2 indah

  1. Dari rekod penulis-penulis ternama,ramai yang telah sembuh dari penyakit kronik yang lama dihidapi sesudah memaafkan saja semua orang.Kini bebas hidupnya dengan bahagia bersama hampirnya dengan tuhan.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s