Hati yang bertelanjang

Kata si Paulo yang sukar difahami itu, menulis adalah satu cara bertelanjang yang terhormat. Hey! Keji kelihatannya tapi betul agaknya. Mendedahkan yang mana patut, yang mana tak patut, dengan sedar atau tanpa sedar, yang mahu disembunyi juga terdedah terbelah.

Kamu telah menelanjangkan hati kamu.  Begitulah metaforanya mungkin. Mungkin kamu sememangnya orang yang tidak punya malu. Mengharapkan orang faham akan hati kamu. Orang kasihan pada hati kamu. Atau sebenarnya kamu naif, tidak sengaja telah berbuat demikian untuk tatapan umum. Ya, seperti kamu tidak sengaja bercerita tentang kebencian kamu kepada si kucing yang suka mengulit2 atau kecintaan kamu kepada buku2 pelik atau tentang mimpi kamu terhadap seseorang yang tak layak kamu mimpikan atau menyebut2 berulangkali tentang bunga Daffodil dan Anemone yang begitu jauh untuk disentuh. Sepertinya kamu menulis dengan harapan.

Sengaja atau tidak kamu membenarkan orang2 melihat hati kamu. Kalaupun kamu bercerita tentang orang lain,  tentang si zionis yang degil, tentang pemimpin yang korup atau tentang bangsa yang malas. Kamu menulis dengan harapan, bukan?

Orang2 itu akan tetap meneliti hati kamu. Akan berbalik kepada rupa paras hati kamu yang sengaja kamu telanjangkan. Mungkin berbaloi. Mungkin tidak. Jika kamu menulis untuk mengintai harapan, hajat hati kamu mungkin tertunai atau ditolak mentah2. Hati orang mungkin tersentuh, mungkin juga sakit perit. Paling neutral, kamu mungkin dianggap seperti orang gila yang meroyan keseorangan di tepi jalan. Tiada fungsi dan tidak mengubah hidup sesiapa.

Ye lah, seperti orang yang bertelanjang, tidak tahu malu.

(Mungkin lebih baik jadi seperti abah, seorang yang malu dan pendiam seumur hidup. Memilih untuk tidak menelanjangkan hatinya kepada umum. Dia seperti batu besar di tepi sungai. Dingin tidak berganjak. Tidak! Aku tidak merungut. Abah adalah ciptaan Tuhan yang sangat indah).

Oh tidak. Aku perlu menulis. Mungkin aku memang jenis yang tak tahu malu. Mungkin yang perlu diperbetulkan ialah niat menulis.

Menulis tanpa harapan.

Untuk mengurangkan rasa malu ketika menelanjangkan hati.

Aduh, hati buat aku lapar! kredit : winosanfoodies

* Saya mungkin akan memadam entri ini bila saya tak tahan blog ini menjadi begitu hit kerana carian perkataan ‘telanjang’ seperti saya sedang berkira2 untuk memadam entri tentang ‘Ultraman’. Kita lihat apa akan berlaku.

Si juara dunia!

Sepohon pokok berembang yang gigih hidup di paya yang hanyir baunya
daun2nya yang rimbun berebut2 jatuh satu persatu
dia setia di situ bertahan selagi mampu
malamnya dia tahu dia perlu ada
untuk si kunang2 bermain
terbang dan berlindung
di sisinya

seperti itulah kamu, abah
si juara dunia!

kredit : azizan kamaruddin

“A” – Ayam, “B” – Bola

Kamu masih ingat tak sekolah tadika kita dulu? Dimana aku, kamu dan si budak hodoh yang suka cari pasal tu mula bertemu? Di tingkat bawah satu ketul bangunan surau yang tidak pernah dipeduli orang untuk dicat dindingnya. Di dalam bangunan itulah tempat kita terlompat2 dan tergolek2 seperti orang gila, menjerit memekik tanpa sebarang sebab. Seorang perempuan dewasa yang selalu  memakai skaf nipis berbunga2 besar adalah ‘mem’ besar sekolah itu. Namanya agak pelik. “Cikgu” katanya. Cikgu menconteng bentuk2 yang aneh pada papan hitam. Yang kemudiannya barulah kita tahu itu rupanya huruf “A”. Dan kemudian dia melukis sesuatu lagi di sebelah huruf “A”. Cikgu tu tidak berbakat langsung melukis. Rupanya sukar kita kesan tapi seakan2 hampir sama dengan makhluk yang kita paling benci di kampung. Yang suka berak merata2 sesedap rasa. Itu lah ayam jantan. Maka belajarlah kita huruf “A” itu berminggu2. Kemudian minggu lain “B”, Kemudian minggu seterusnya “C”…

“A”   “Ayam”
“B”   ” Bola”
“C”   “Cawan”

Sehinggalah sampai kepada huruf “Z” yang kita sebut sambil tersembur2 air liur masing2.  Menyusahkan betul belajar benda yang pelik2 ni!

Itu sahajalah yang kita pandai sehingga hujung tahun. Sebenarnya tak seronok langsung belajar ABC. Apa yang seronok? Ingat tak kita baling2 buku, main nyorok2 belakang kain cikgu, menunggu dan melahap makanan yang dihidang. Mi goreng, nasi goreng, mi goreng lagi dan nasi goreng lagi. Hari2 begitulah! Kita makan ramai2 dalam bulatan besar. Cikgu kata lepas makan boleh keluar main. Wah! kita makan laju2. Sampai tercekik. Budak hodoh yang suka cari pasal tu bila tercekik suka menggolekkan badannya mempamerkan wajah kemerahan yang membencikan. Kemudian kita main zero point. Ingat tak lagi permainan tu? Ala.. yang kita lompat pakai gelung getah belacan yang panjang tu. Cikgu pun lompat sama2 dengan kita. Sejak hari tu, aku bercita2 nak jadi macam cikgu. Kan seronok boleh main gelung getah sampai bila2. Walaupun dah besar macam dia?

Cikgu selalu suruh macam2. Siram bunga la, cuci pinggan la, cabut rumput la, buang sampah la. Cikgu kata kalau kita nak sihat kita mesti buat kerja2 tu (saja la tu, dasar cikgu pemalas. Benci!). Hey, ingat kan kita ada tanam pokok tembikai di belakang kelas, kemudian kita kehairanan kenapa tangkainya tak pernah mahu membesar dan berdiri tegak seperti pokok kelapa. Kita melompat seperti katak gila bila suatu hari kita nampak sebiji buah tembikai sudah keluar dari tangkainya yang kurus kedengking tu. Tapi esoknya buah tembikai yang sebesar penumbuk tangan kita itu sudah hilang. Cikgu kata mungkin ada satu lagi makhluk yang jahat di dunia ini selain daripada ayam jantan. Namanya tupai. Benci tupai!!!

Dengan berbekalkan satu buku tulis, dua tiga batang pensel, pemadam dan sekotak pensel warna jenama Luna, aku sentiasa gembira pergi ke sekolah. Bertemu kamu, cikgu dan budak hodoh yang suka cari pasal tu, menyiram bunga dan menunggu buah tembikai membesar. Aku pernah merajuk tak mahu makan seharian kerana emak lambat kejut pergi sekolah. Aku malu ke sekolah kalau dah lambat. Kelalaian emak  seperti telah mencabut kenikmatan hidup aku selama-lamanya!

Dihujung tahun, kita ingat2 lupa tentang huruf yang pelik2 yang kita belajar, tapi kita ingat betul bagaimana mahu menanam tembikai dan jumlah kemenangan kita mengalahkan cikgu dalam arena permainan lompat gelung getah.

Belasan tahun kemudian, walaupun hanya ingat tanam tembikai masa tadika, kamu masuk universiti, aku pun masuk universiti. Si budak hodoh yang suka cari pasal tu aku tak tau lah masuk universiti ke tidak.

  • Anak2 kecil sekarang ada lapan subjek semasa di tadika untuk dihabiskan silibusnya.
  • Ada peperiksaan yang markahnya akan direkod pula untuk kementerian bagi seluruh negara.
  • RMK10 – Kementerian menimbang untuk memulakan pendidikan formal seawal umur 5 tahun

kredit : veryfunnypics.com

*Sungguh kasihan, kamu, kamu dan kamu wahai si kecil, tak akan tahu betapa nikmatnya menanam pokok tembikai dan melihat tangkai dan daunnya menjalar naik hingga ke tingkap kelas!