Ultraman nan perkasa

Di zaman dahulu kala, ketika saiz badan dan otak aku masih kecil dan sangat pendek, cerita di tv yang berjaya membuatkan aku berlari meninggalkan pondok pokok pisang ialah satu-satunya cerita yang paling hebat di abad itu : ULTRAMAN. 

 

Seronok sangatlah kalau dapat tengok Ultraman. Walaupun dirumah ada juga tv, tapi lebih mengujakan  bila menonton siri Ultraman secara jamaah dengan kanak2 hingusan yang lain di rumah Pakcik Abu yang ada tv warna yang paling besar di kampung. Semua anak2 sangat jakun dengan tv warna tersebut, yang saiz kepala Ultraman kadang-kadang kelihatan lebih besar dari kepala kami sendiri. Ini sangat hebat!  Setiap siri menjadi acara mesti tonton. Sesiapa sahaja yang gagal menonton siri Ultraman pada minggu itu, maka musnahlah reputasinya dan akan merasa rendah diri yang teramat besar kerana tidak dapat bercerita tentang kehebatan perlawanan diantara Ultraman dan raksaksa. Saat-saat yang paling aku gemari ialah bila Ultraman kehabisan tenaga. Maka butang diperutnya akan menyala warna merah berkelip-kelip. Pada masa itu, anak2 semuanya memberikan pose wajah yang serupa. Serius tahap langit ketujuh. Kadang-kadang berpeluh-peluh, dan sekejap-sekejap berdiri dan duduk  tak tentu arah, walaupun yakin selepas itu.. tiba-tiba entah apa sebab warna merah tu akan hilang dan Ultraman kembali berkuasa dan akhirnya berjaya membunuh raksaksa durjana. Yey!

 

Satu hari warna merah berkelip-kelip diperutnya sangat lama. Aku menjadi sangat hairan dan ketakutan. Dan tiba-tiba episod hari tu habis begitu sahaja. Akan bersambung pada minggu depan. Tuhan sahaja lah yang tahu betapa merananya hidup aku selama seminggu menunggu sambungan Ultraman.  Ada masa nasi rasa kelat dan ikan kembung goreng rasa pahit. Sangat risau dengan kesihatan Ultraman. 

ultraman5 

Ultraman sangat perkasa. Aku sangat cemburu dengan rakyat Jepun. Mereka sangat bertuah kerana Ultraman berada di negara mereka. Jika terjadi serangan dari raksaksa yang besar-besar, Jepunlah negara pertama yang berjaya diselamatkan oleh Ultraman. Aku sangat risau kalau-kalau raksaksa yang besar-besar dengan wajahnya yang sangat tidak rupawan itu berminat dengan keindahan Malaysia. Malaysia tidak ada Ultraman. Kalau raksaksa datang ke Malaysia, habislah aku dan kuncu-kuncu aku. Di Malaysia tidak ada hero macam Ultraman. 

 

Ultraman sangat memberi makna dalam hidup aku. Sehingga sekarang, kadang-kadang setiap kali ada orang yang aku sangat kagumi muncul dalam hidup aku, aku mesti teringat Ultraman dan butang merahnya. Kerana, orang yang aku kagumi selalunya orang yang perkasa dalam segala hal dan sentiasa berterusan perkasa dan berkuasa.

 

Hari ini aku bertemu dua Ultraman. Bila mereka bercakap sahaja, aku ternganga, seperti aku ternganga menonton adegan Ultraman mem’fire’ raksaksa.

 

Tidak sabar sekali menghadiri kuliah mereka berdua yang seterusnya pada minggu hadapan.

 

Aku tak dapat !

crying.baby

Macam teringin sangat nak terjun dari bumbung rumah. Kalau tak berkecai, nak panjat bumbung balik dan terjun balik. 

 

Tiba-tiba datang satu lembaga yang berjanggut panjang, uban putih penuh dikepala dan bercermin mata. Maca pernah ku kenal. Tapi dimana ya?..

 

Duduk sebelah aku, diatas bumbung rumah. Dia membebel seorang diri. Katanya :

 

“Segala yang dihajat tapi tak dapat adalah nikmat yang paling padat”

 

dan terus mengetuk kepalaku dengan seliparnya.

 

Adui! 

 

kredit gambar : gurbet ruzgari

Aku dan raksaksa

Pada satu ketika dahulu kala, ketika aku masih dihalalkan  memakai seluar pendek, dan singlet, bertebaranlah aku di muka bumi yang fana bersama sahabat baik ketika itu yang suka menafikan jantinanya kerana tidak suka memakai baju. Namanya Salmah. Berkubang di parit kumbahan bendang ketika musim menuai adalah acara paling ngetop  dalam carta mengisi masa lapang gerombolan anak-anak hingusan kampungan setiap petang dan hujung minggu. Pada masa itu, air parit dilimpahkan dengan air yang  sungguh menggoda. Warnanya seperti teh susu yang pekat manis di kedai mamak yang tidak kedekut.  Pekat melekat dengan lumpur dan rumpai parit. Pada waktu inilah, saat dan ketika yang paling afdhal berendam dan berkubang didalamnya. Pelbagai permainan direka dengan sangat kreatif dan berinovasi sekali. Main nyorok-nyorok paling mengujakan. Banyak tempat boleh jadi tempat bersembunyi. Diatas pokok kekabu ditepi parit, dibawah kiambang bertaut selepas biduk berlalu, di belakang batu belah batu bertangkup, dicelah pokok-pokok  tumbang dan paling  berani menyelam sahaja dibawah kunci air dihujung parit yang mengerikan. Kemudian berjemur mengeringkan daki lumur dan pasir dibadan. Kemudian terjun semula ke dalam parit. Berendam lama-lama sambil bersembang tentang pelbagai topik semasa termasuk mengutuk cikgu sekolah. Sungguh indah dunia. Satu hari tidak mahu pulang. Tidak ingat langsung mencari nasi. 

 

Matahari seperti berkata ” wahai manusia, aku mahu tidur! “. Sudah maghrib. Aku masih tidak mahu pulang. Tiba-tiba, datanglah seseorang umpama raksasa lagaknya membawa kayu api yang berduri. Menjerit memanggil aku naik dari parit. Tidak pernah aku melihat sebegitu singa wajahnya. Anak-anak sekongkol yang lain sudah lari bertempiaran. Salmah juga tiba-tiba hilang. heh! tidak mahu sehidup semati denganku!  Benci!  Aku naik dari parit dengan lambat-lambat. Tidak sabar raksaksa itu. Menarik aku dengan sekuat hati. Kemudiannya memukul aku dengan penuh bertenaga, sepenuh jiwa raga. Bertabur-tabur kata-kata amarahnya. Aku tidak ingat lagi apa kata-katanya. Tapi aku masih ingat kesakitan duri kayu api tercucuk di badan. 

 

Aku benci dia! Sakit tau tak ..

 

Itulah kali pertama dan terakhir dia mengamuk. Itulah kali pertama dan terakhir aku mendengar dia berkata-kata dengan baris ayat yang panjang-panjang. Selepas itu dia tidak pernah melakukan perbuatan semega itu. Cubit satu milimeter pun tidak pernah. 

 

Oh! Ada lagi. Lagi satu ayat yang paling panjang yang aku dengar darinya ialah bila dia bersyair. Masa tu dia sedang cuba-cuba merakam suaranya dengan radio kaset yang baru dibeli dengan wang penat lelah meracun bendang. Aku macam terdengar-dengar lagi sebaris terakhir syairnya : 

 

‘Biar pandai sampailah  ke universiti’…

 

Syair untuk aku. Yang selalu menangis tersedu-sedan bila terpaksa berjalan kaki pulang dari sekolah. Huh! Dia ingat senang ke nak masuk universiti!

 

Dia tidak banyak karakter. Mudah sahaja dijelaskan. Pendiam dengan kadar satu perkataan per kilometer. Tenang tenang tahap dewa. Tidak suka memerintah dan meminta.

 

Aku sayang dia. Tau tak ..

 

Selamat Hari Bapa, abah.

abahkenduriedited600

Jauh benar dari rupa raksasa, dan suaranya sangat merdu bila memanggil orang sembahyang

 

Edensor

Akhir-akhir ini aku dapati hati aku ini bermata berkeranjang. Mula-mula aku jatuh cinta kepada dia itu, kemudian yang sinun, kemudian yang sanun. Kemudian tidak sampai sejengkal bersama, aku mahu mabuk kepayang pula dengan yang satu lagi ini. Tetapi dia ini ternyata gagah benar merompak jiwa sampai tidak keruan. Capek aku! 

 

Sambil menjamah nasi dan mata terpejam pedih menahan penderitaan menikmati sambal belacan, mataku sekejap-sekejap bulat-bulat memandang kepadanya. Penuh sabar menunggu aku untuk dibelai. Tidak tahan aku. Berhenti menjamah nasi. Tiba-tiba tenaga untuk aku terus hidup bukanlah nasi penentunya, tetapi dia yang sedang menanti dengan sungguh bongkak itu.

 

Aku tiba-tiba senang menjadi perempuan gatal murahan yang terhegeh-hegeh. Gilakan dia. Aku sentuh dadanya yang panas suam. Dia biarkan sahaja. Sambil terus bercerita kepadaku. Handal teramat dia bercerita. Bercerita tentang kisah hidupnya jauh di rantauan. Ceritanya tentang lembaga hitam tinggi dan besar yang bernama  Eiffel Tower itu tersangatlah bongkak kerana hanya mahu bercakap-cakap dengan langit sahaja. Ceritanya tentang penderitaan menahan kedinginan negatif 19 celcius di Brugge itu sangat mengesankan.  sehingga tidak sanggup lagi aku mendengarnya. Mahu saja aku terus memeluknya tidak mahu kulepas hingga hujung nyawa. Supaya dia tidak berpergian sia-sia.

 

Aku menjadi sakit hati tak terhingga bila dia bercerita tentang kecantikan Katya.  Katanya Katya itu primadona. Jelitawan yang terhimpun padanya sipu sipu malu bila digoda, bercahaya matanya jika terkejut, kata-kata cerdas bila dia berbahas. Kemudiannya aku perasan dia melihat diriku yang kalah dan mundur dari segala segi. Aku merajuk. Berhenti menyentuhnya. Tidak dipedulikannya. Terus sahaja dia bercerita. Huh! Egois tahap terlampau! Bertukar topik pula. Kemudian, dia meluahkan rindunya pada A Ling. Bersama Arai sahabatnya yang tidak kenal erti perkataan ‘penolakan’ , dia mengembara ke negara-negara Eropah bermimpikan magis pada perjalanan dan pencarian. Katanya ingin mencari A ling belahan jiwanya yang satu. Aku menjadi terlopong mendengar mimpinya yang aku kira gila dan kadang-kadang amat tolol. Dia juga bersetuju yang dia itu seorang yang gila dan tolol. Aku menjadi sangat cemburu meluap-luap kepada orang yang dinamakan A Ling itu. Begitu gila dia melawan dugaan yang tak tercapai akal sepanjang pengembaraan ‘backpaking’ dari Paris, Sepanyol, Rusia dan Afrika! Hanya untuk ketemu manusia itu. Kemudian dengan tidak semena-mena, aku seperti merestui A Ling dihatinya dengan bersiap siaga  untuk menjadi madunya.

 

Beberapa kali dia menyebut tentang sebuah desa dimana rumah berselang seli di antara jerjak anggur yang terlantar dan jalan setapak yang berkelok-kelok. Dimana ada gerbang desa berukir ayam jantan, pohon-pohon willow diperkarangan, dengan bangku-bangku batu, dengan jajaran bunga daffodil dan astuaria dipagar penternakan. Itulah Edensor, desa idamannya dan Ah Ling.

 

Dia bertutur dengan bahasa yang mudah-mudah sahaja. Bersepah disana sini analogi yang moden dan selapis sahaja maknanya. Kelucuan juga bertabur-tabur dimerata cerita. Tidak perlu kamus dewan bahasa dan pustaka duduk di sebelah. Juga kata-katanya tidaklah mendayu-dayu seperti lagu-lagu zaman kumpulan yang suka menamakan kumpulan mereka bermula dengan huruf S. Jadi dengan itu aku senang dan tidak geli. 

 

Beberapa kali dia mengingatkan aku bahawa kita haruslah menerima kehidupan dengan menerima kenyataan bahawa tidak ada hal sekecil apapun yang terjadi kerana secara kebetulan. Oh, itu dipinjamnya dari kata-kata seorang pemikir agung bernama Harun Yahya.

 

Dia ini keturunan Iskandar Zulkarnainkah kah apa? Satu lembaga yang kuat benar menakluk. Aku terkurung didalam bilik bersamanya. Tidak mahu keluar. Tidak puas-puas.

 

Selepas ini, mungkin aku akan jatuh cinta kepada lembaga-lembaga yang lain. Tetapi buat masa ini aku mahu meraikan kecintaan aku kepadanya dengan memejam mata lama-lama sambil memeluknya. Adakah kau merasai panas pelukanku wahai Andrea Hirata?

cover-depan-edensor

Ada dalam bilik aku

 

Pergi

Hari ni genap dua tahun kau pergi. Tadi aku bermimpi melihat kau membulatkan mata memerhatikan mesin basuh berputar-putar. Jika kau tidak pergi, sudah pasti kau akan ketawa menerima hadiah harijadi tahun ini. Tapi, kau pergi juga.

 

Alfatihah.

Kisah anjing melarat menjadi jutawan II

Di sebuah pekan kecil  dinegeriku yang tercinta dan suka benar bersalin ganti menteri besar ini, tidak ada pula si apek yang menjual dvd cetak rompak. Kemanakah semuanya mereka. Sudah bertaubatkah mereka? 

Ohhh… rupanya beroperasi dengan gigih disebalik kedai-kedai bukunya. Terjumpa juga aku dengan dvd cetak rompak Slumdog Millionaire. Terasa bangga pula kerana berjaya menyumbangkan nilai tiga pinggan nasi campur kepada anaknya yang masih bersekolah. Tidak mengapalah. David Boyle sudah berselimutkan wang dolar Amerika.

Walaupun berdasarkan buku Q&A tulisan Vikas Swarup itu, didalam pengiraan aku, hanya hampir 60% sahaja dibawa ke filem. Yang paling utama, nama watak ditukar dari Ram Mohamad Thomas kepada Jamal Malik. Mudah sahaja untuk dijelaskan. Nama Ram Mohamad Thomas itu sendiri kononnya secara metaforanya menggambarkan keharmonian agama di India, aku yakin akan menimbulkan pelbagai provokasi yang tidak menyenangkan bagi masyarakat negara India.

Tidak seperti yang aku jangkakan sebelum ini. Aku jangka aku akan kecewa. Aku tidak kecewa sepenuhnya. Kekecewaan aku hanyalah kerana tidak wujud beberapa watak yang sama didalam buku ke dalam filem. 

Tidak wujud watak Father Timothy, maka tiada kisah paderi yang homoseksual dan mempunyai anak di dalam gereja. Tidak wujud watak Neelima Kumari, maka tiada kisah keagungan filem bollywood. Tidak ada watak Salim yang menjadi sahabat baiknya (didalam filem sebagai abangnya), maka hilanglah kisahnya tinggal sebumbung dengan pembunuh upahan. Tiada watak Balwant Singh maknanya tiada kisah peperangan dramatik diantara Pakistan dan India. Tiada watak Smita bermakna tiada kisah kepahitan hidup seorang ahli astronomi yang membuta mabuk mendera anaknya Ghudiya. Watak Nita sebagai pelacur di dalam buku dijelmakan sebagai Latika sebagai cinta hati Jamal Malik dari kecil hingga selamanya. Lihat! Sesungguhnya orang yang tidak membaca itu dalam kerugian!

Paling mengecewakan pada mulanya aku dapati soalan kuiz telah ditukar kesemuanya. Kecuali yang paling hampir dengan soalan berkenaan penciptaan revolver. Tapi akhirnya aku faham. Jika aku yang sudah membaca buku dan mengetahui semua jawapan soalan kuiz tersebut, dimana pula mahu diletakkan keterujaan menonton filem. Maka ditukar kesemuanya. Tunggang langgang sekemua kisah. Tapi aku tidak kisah. Peduli apa tentang kreativiti plot ke apa ke didalam filem. Itu biarlah dikritik oleh yang pakar sahaja. Itu bukan tugas orang kebanyakan seperti aku. Yang aku peduli, terjemahan buku dibuat dengan seadilnya. Kehidupan tetap digambarkan penuh dengan kekejian, kotor dan tidak indah. Dan akhirnya seperti biasa, sama sahaja dimana-mana cerita. Fantasi atau realiti, cintalah akhirnya jawapan kepada semua persoalan. 

Aku  lebih cintakan versi bukunya, tetapi aku merestui  kesemua oscar yang  dimenangi filem ini.


Kisah anjing melarat menjadi jutawan

Lebih kurang dua tahun yang lalu, sang sahabat baik mencadangkan kepadaku sebuah buku yang sangat bijak pada kiraanya. Tajuk buku tersebut Q&A. Aku tidak mahu mengumpul tenaga untuk mencari buku tersebut kerana masih lagi banyak buku bahasa asing yang masih belum kusentuh setelah dibeli dengan sangat tamak pada beberapa ketika. Setelah kisah buku tersebut dibawa ke layar perak oleh seorang filemis barat dan kemudiannya tiba-tiba menarik semua bola mata kearah anugerah yang banyak benar sinarnya, barulah aku ingat semula kepada saranannya satu ketika dahulu. Dvd cetak rompak filem tersebut yang baru sahaja kubeli, dirampas oleh sahabat baik dengan sangat kejam dan kemudiannya mencadangkan aku membaca buku yang dicadangkannya dulu terlebih dahulu.

Jadi, aku berkeputusan untuk membaca bukunya terlebih dahulu sebelum menghayati versi filemnya. Agak mengecewakan kerana tajuk dan muka hadapan buku telah ditukar kepada bentuk yang lebih komersil, bersamaan dengan rupa filem. Supaya lebih banyak kaut untung. Itu sudah tentu.

cover asal

yang aku dapat

yang aku dapat

 

Kisah buku ini dimulakan dengan penangkapan watak utama yang bernama Ram Mohamad Thomas setelah disyaki menipu untuk memenangi sebuah pertandingan kuiz yang dinamakan ‘Who Will Win a Billion?’. Pertandingan ini sememangnya versi negara India bagi ‘Who Want To be a Millionaire?’ yang digunapakai di banyak negara yang mana pengamal rancangan hiburannya memang malas berfikir idea baru. Mengenangkan latar belakang Ram Mohamad Thomas yang tidak berpelajaran dan miskin, kemustahilan untuk menjawab semua soalan berprofil tinggi agak munasabah pada pandangan umum. Pada ketika Ram Mohamad Thomas (aku suka betul kisah bagaimana namanya jadi begini) hampir menyerah kalah untuk mengaku bersalah setelah diseksa dan diugut dengan hebatnya oleh sang polis, dia didatangi oleh seorang peguam bernama Smita yang tidak dikenalinya langsung. Smita menawarkan diri untuk membela nasib Ram Mohamad Thomas. 

Bagi memudahkan tugas Smita, Ram Mohamad Thomas bercerita  tentang kisah hidupnya. Drama hidupnyalah yang menyumbang kepada semua jawapan bagi setiap soalan yang terkandung dalam pertandingan tersebut. Kisahnya disusun berputar tunggang terbalik oleh penulis bagi memenuhi susunan peringkat soalan dalam pertandingan. Sekejap kisahnya semasa remaja dengan sahabat baiknya, Salim. Kemudian berpatah balik kepada kisah hidupnya semasa kecil yang dibesarkan di sebuah gereja oleh Father Timothy. Kemudian kisahnya di perumahan setinggan, menjadi orang gaji kepada pegawai diplomat Australia, dan pelakon wanita yang semakin dilupakan, menjadi pemandu pelancong di Agra dan pelbagai lagi kisah dan tragedi yang lebih tragedi dari tragedi. Menarik! Selalunya aku terganggu dengan cara penulisan sebegini. Tapi tidak pada buku ini. Setiap bab kisahnya diakhiri dengan babak Ram Mohamad Thomas disoal didalam pertandingan. Aku menjadi semakin teruja bagi setiap cerita dalam setiap bab untuk meneka inti pati yang manakah yang akan disoal bagi setiap peringkat pertandingan. Ada soalan yang mengena jangkaanku dan ada juga soalan yang langsung tidak langsung aku terfikir untuk disoal. Selain dari keterujaan meneka soalan pertandingan, sepanjang pembacaan aku dibawa menyelurusi kehidupan yang sangat benar di India. Kehidupan sebenar tidaklah seindah kisah Bollywood yang penuh gelang berkilau dan padang bunga yang kembang penuh warna warni. India digambarkan dengan begitu kotor, jahat, keji, geli dan penuh ketakutan. Tetapi masih terselit di sana-sini insan mulia penyelamat kisah duka. 

Dari mana pula munculnya penulis yang bernama Vikas Swarup ini? Kenapa aku tidak sedar kewujudannya? Sungguh bijak menyusun cerita. Sungguh realistik. Pembacaan buku ini berakhir dengan kepuasan yang berpanjangan.

Aku tidak pasti, adakah aku akan puas menikmati versi filemnya. Maklumat lebih awal yang aku perolehi sudah mula membuatkan aku kecewa. Nama watak telah ditukar daripada Ram Mohamad Thomas kepada Jamal Malik. Tiada nama watak Ghudiya, Nita dan Smita tetapi Latika. Salim pula ditukar posisi sebagai adiknya Jamal. Nampaknya kisah yang sebenarnya benar tidak habis diceritakan didalam filem. Aku perlu menonton dahulu filem tersebut untuk mengutuk secara berlebihan. Nampaknya esok kena menjengah ke kedai apek cetak rompak untuk membeli semula dvd Slumdog Millionaire yang telah dirampas.