Maryamah Karpov

Saya mahu bercerita tentang Andrea Hirata lagi. Jika anda rasa ingin muntah, boleh segera ke tandas dan tidak perlu menyambung bacaan 🙂Andrea kuat berangan. A Ling itu sangat cantik

Saya terpaksa mengambil masa yang sangat lama untuk menghabiskan bacaan buku terakhir Andrea Hirata ini. Ada beberapa kejadian yang berlaku yang akhirnya membuatkan pembacaan saya berkadar kelajuan pergerakan si kongkang. Pertama, saya terjumpa di youtube tentang pengakuan bekas isteri Andrea yang mendakwa dirinya pernah dipukul olehnya. Kedua, saya berkecil hati dengan kemarahan sebilangan rakyat Indonesia yang menuduh Malaysia sebagai maling Tarian Pendetnya. Ketiga, saya terperangkap dengan tugasan keperluan sarjana yang sifat utamanya memang pendengki tak ingat dunia dengan keamanan fikiran.

Dan akhirnya saya dapati ketiga2 sebab musabab itu adalah tidak munasabah untuk dilayan sehingga menyumbang kepada fikiran yang tak rasional. Saya rasa menyesal, kerana prejudis dan pengendalian diri yang tidak sistematik, menyebabkan saya asyik terlepas mengakui perkara yang baik2. Pertama, bila saya teringat tentang cerita Chimamanda tentang “The Danger of Single Story” (Jika anda ada masa lihat di sini), kedua, saya rasa adalah tidak bertamadun memikirkan karenah orang yang tidak bertamadun (Saya mempunyai hubungan yang baik dengan rakan pelajar Indonesia di sini. Mereka itu terbuka, dan baik2 belaka dan tidak mencerminkan rakyat Indonesia yang mahu ‘sweep’ orang Malaysia). Ketiga, tentang gangguan tugasan sarjana, itu hanya helah semata2. Semasa tugasan masih tidak siap, sebenarnya saya selalu bergembira membeli belah dan menonton wayang dengan tak ada langsung sekuman rasa bersalah.

Maryamah Karpov adalah buku terakhir dari tetralogi Langkar Pelangi yang sangat fenomenal di Indonesia. Buku ini menceritakan tentang kisah hidup Andrea selepas beliau menghabiskan pengajian di peringkat sarjana. Beliau pulang ke kampung tercinta di Belitong. Berjumpa dengan ahli-ahli kampung yang aneh dan unik, kisah usaha ketua Karimun memujuknya memeriksa gigi dengan doktor gigi kerajaan yang telah setahun tidak laku, kisah akhir hubungan Arai dan Zakiah Nurmala. Kisah tentang usaha beliau mencari kembali A ling merentas gelora samudera. Kisah tentang teori dan amali penciptaan kapal dan kuasa penolakan menimbulkan kapal lama di dasar laut. Tujuan utama buku ini katanya mahu menyelesaikan watak2 terpilih yang muncul dari buku Laskar Pelangi, Sang Pemimpi dan Edensor. Kerana katanya, buku ini adalah si penutup. (Tidak ada lagi cerita dari Andrea lagi kah selepas ini? Ah! Alangkah kejam dunia ini mencabut kenikmatan peribadiku)

(Perhatian. Kepada yang belum membaca buku ini, isi kandungan perenggan di bawah adalah sang spoiler yang sangat tidak berguna dan entah apa2)

Setelah habis membaca. Saya sangat kecewa. Saya tidak tahu sebab yang pasti. Mungkin, pertama kerana cerita perjuangan pendidikan agak kurang  (ini adalah sebab utama saya terpesona dengan Laskar Pelangi), Tidak ada cerita tentang usahanya memperbaiki nasib diri selepas memperolehi sarjana. Melongo sahaja dikampung halaman. Watak Arai yang menjadi tokoh yang sangat besar dalam hidup Andrea dalam Sang Pemimpi dan Edensor dihilangkan dengan tergesa2. Kemunculan semula Lintang dalam buku ini tidak memberi jawapan akhir kepada nasib Lintang (Tahukah kamu, selain kamu, si Lintang itu mempunyai tempat yang sangat besar dihatiku, wahai Andrea). Buku ini lebih kepada kegilaan mencari cinta dan warna warni meriah kehidupan dikampungnya. Dan saya dapati cerita tentang pencarian A Ling dan penciptaan kapal Mimpi-Mimpi Lintang agak berlebihan.

Tetapi, cerita tentang manusia-manusia pelik di kampungnya itu sangat menghiburkan. Jika sedang bersedih, saya akan mengulang bacaan bahagian dimana Andrea mengumpat watak2 dikampungnya berulang kali tanpa jemu (sememangnya saya ini memang suka membaca keburukan dan kejengkelan orang. Ia membuatkan saya rasa saya sempurna. Tolonglah katakan, anda juga seperti saya 🙂 ). Tetapi, tak apalah. Walau macamana saya kecewa pun, saya tetap suka ramuan penulisan Andrea. Beberapa kali ada juga saya termenung dan banyak kali seperti terasa usus dalam perut di geletek oleh ulat bulu yang gatal merenyam.

Seperti biasa. Kata-kata Andrea tetap menjadi batu jemala agungan saya :

“.. Aku menolak perlakuan buruk nasib kepada ayahku dan kepada kaumku. Kini tuhan telah memeluk mimpiku. Atas nama harkat kaumku, martabat ayahku, kurasakan dalam aliran darahku saat nasib membuktikan sifatnya yang hakiki bahawa ia akan memihak kepada para pemberani.. “

———

* Sudah lama tidak menulis dengan ayat yang panjang2. Apa nak buat. Menjadi seorang pelajar diwaktu komitmen berhantu raya di keliling pinggang dan tengkuk bukanlah perkara yang mudah.

**Oh ya! saya mahu bercuti sekejap, mahu meraikan kejayaan melepasi peperiksaan akhir semester yang rupanya seperti raksaksa mempunyai taring panjang menyeringai lagi mengerikan. Dengar cerita saya akan hampir dengan istana milik salah seorang raja terkaya di dunia dan  mempunyai isteri lebih daripada satu. Wah! sungguh mengujakan.

***Sampai jumpa lagi selepas saya pulang dari bercuti.

Advertisements

Hati mati

heartbroken[1]

aku ada hati
tapi berhenti
bila dilontari
si batu jaki

hanya ini
sampai sini
telah mati

(Aku kurang perkataan sekarang ini. Tugasan pensyarah berhati batu telah curi perkataan yang aku ada)

Dimanakah kamu?

Malam sudah pekat
Dimanakah kamu ?
tahukah kamu

di Timur laut
ada Taufan Ketsana

di Barat terus
ada Tuan Tsunami

di Selatan Bawah
ada Gempa ber Richter

di Tenggara lencong
ada Ribut Parma

di Barat Daya
ada bom melompat

di Utara lurus
ada air bergelandangan

dimanakah kamu?
pulanglah ke sini
dekat padaku, sayangku

tahukah kamu
di sini selamat?

(Doa untuk kesejahteraan negara dan untuk mangsa bencana seluruh dunia)

Pesan pada saudara kamu, bersangka baik kepada semua orang

Tanyakan pada saudaramu, tidakkah kamu suka damai?