Bukan cerita retorik*

Terima kasih, tanpa entry yang baru, blog ini masih sudi dikunjungi oleh orang yang mencari ulasan buku (Begitulah apa yang wordpress beritahu). Ramai yang sampai ke sini dengan kata kunci “Andrea Hirata”, “Faisal Tehrani”, “Pramoedya”, “Abdullah Hussain” dan tajuk buku2 mereka. Selain kata kunci “Ultraman”, “Murayya Paniculata” dan “perempuan sunyi” (Ceh!). Ada juga sampai ke sini dengan kata kunci “kisah beromen” (Hey! keji tau..)

Maka dengan nawaitu untuk terus diberi perhatian (minta puji orang Sabah kata) maka saya mahu tulis tentang buku lagi kali ini.

Tajuknya Interlok dan ditulis oleh Abdullah Hussain, sasterawan negara yang ke 8 (Wah! nombor manyak ong!). Ini adalah buku pertama yang saya beli dalam format kulit keras. Antara buku fiksyen yang paling mahal saya beli. Saya mahu meraikan keindahan sastera negara. Gitu!

.

Interlok berlatarbelakangkan sebuah kampung di Tanah Melayu waktu pra-kemerdekaan. Ianya di pecahkan kepada empat bab.

Bab pertama tentang Seman yang baru menyedari kekayaan yang dimilki oleh keluarganya hanyalah ilusi. Tiba2 diberitahu dia tidak berharta setelah ayahnya meninggal dunia dan kerana kejahilan tentang pentingnya pendidikan, Seman dihalang ke sekolah. Maka, itulah Seman, miskin, tidak berpelajaran dan merempat di tanah sendiri.

Bab kedua tentang Cing Huat yang datangnya dari tanah besar Cina dengan semangat membara lari dari kemiskinan yang menjerut lalu bernafas hasil dari kecekalan melawan tipu muslihat. Maka itulah Cing Huat, cekal, licik dan kaya di tanah orang.

Bab ketiga tentang Maniam yang datangnya dari Kerala, setelah mendengar kisah satu tempat  dimana apa sahaja yang dipegang boleh menjadi duit, dengan tekad Maniam terpaksa meninggalkan isteri dan anaknya dan mencuba apa sahaja. Setelah beberapa lama di Tanah Melayu, kedengaran isterinya di Kerala berkahwin dengan lelaki lain. Maka itulah Maniam, kecewa, pelarian perasaan, di tanah orang.

Bab keempat interlok. Dimana ketiga2 mereka tadi rupanya mempunyai kaitan yang berselirat lantas akhirnya merungkai setiap nasib. Di dalamnya muncul kisah melawan Malayan Union, kekejaman jepun, kesetanan komunis. Dan tiba2 muncul pula perjuangan melayu yang berapi2 yang tiba2 ada kekuatan merampas semula tanah mereka, kemudian tiba2 pula si cina dan si india bersepakat membantu kerana sebab2 tersirat. Setiap watak menyumbang kepada berlakunya nasib watak yang lain. Ye lah! kita ni wujud di dunia bukanlah kerana kebetulan.

Buku ini adalah metafora buku sejarah Malaysia. Jika tidak suka membaca buku sejarah, maka bacalah buku ini. Dengan halus dan terperinci melalui setiap watak, sasterawan negara ini mampu menerangkan bagaimana kaum cina dan india menyumbang kepada kekuatan ekonomi dan akhirnya diterima menjadi sebahagian dari negara ini. (Adakah satu hari nanti si Indon, si Bangla, si Nepal, si Pilliphine, si Om akan dianggap sebagai sebahagian dari negara ini? Lu pikirlah sendiri). Bagaimana si melayu yang berada ditanah sendiri terus miskin dan tidak tahu untuk maju.  Buku ini menyelami jiwa dan perasaan watak2 sejarah. Ianya melangkaui buku sejarah biasa yang kering emosi walaupun banjir dengan fakta.

Cerita disusun kedepan dan kebelakang dengan terancang sekali. Buku ini terletak pada kelasnya yang tersendiri. Bacalah buku ini jika mahu belajar menghargai kemerdekaan, kecekalan, persahabatan, pendidikan, pengkhianatan, kebodohan dan penjajahan. Jangan cari kisah cinta yang dibantu pari2. Tidak ada.

Buku ini telah menang dalam Peraduan Mengarang Novel 10 Tahun Merdeka (1967)

Saya suka sejarah. Memahami sejarah membuatkan saya menghargai pesahabatan saya dengan si cina, si india dan si kadazan. Saya, Anita Wong, Thulasimani dan Patricia jika berjumpa tidak suka bersalaman. Kami berpeluk. (Ini bukan iklan retorik* 1Malaysia seperti di tv. Ini betul2)

* Retorik = penuh dgn bahasa atau kata yg indah dan muluk utk mempengaruhi pemikiran pendengar (Kamus Dewan)

(Bunyi runut iringan –Malaysia Satu, Faizal Tahir)

Advertisements

Cerita yang tak penting

Tuan2 dan puan2 yang dihormati sekelian, cerita yang seterusnya ini tidak penting untuk anda. Cerita ini tidak akan mengubah dunia. Tetapi jika mahu membunuh kebosanan, layan sahajalah.
—–

Saya mula kenal dia sejak dari darjah satu. Dia memilki kulit yang putih mulus kekuning-kuningan. Dan dengan aneh bin ajaib boleh pula bertukar mekar kemerah-merahan bila terbakar kerana panas matahari dan apabila dia malu2 bila dipuji.  Jika saya berdiri bersebelahan dengannya dan diadili oleh juri paling bengap di dunia dengan tak menggunakan kemahiran berfikir secara kritis pun akan mengatakan saya kalah dari segi apa2 perbandingan. Dari segi rupa paras, kebijaksanaan dan kemuliaan hati. Dia selalu mendapat pujian cikgu. Saya yang berkulit gelap berkarat  jarang dipandang. Sentiasa kalah.

Dia sentiasa menang tetapi tidak pernah bangga diri. Dia tetap anggap saya sebagai sahabat baiknya walaupun ada masa saya mengeluarkan kata2 dengki. Setiap kali waktu rehat kami akan menyorok di parking basikal belakang sekolah. Berkongsi bekalan makanan. Makan berdua2an sahaja. Takut budak lain mintak. Kami sangat kedekut.

Setiap hari kami pergi dan pulang dari sekolah dengan berbasikal berkilo2 meter jauhnya. Jarang kami mengayuh basikal dengan kadar kelajuan perempuan ayu tersipu. Biasanya kami merempit tak ingat dunia terutamanya apabila melalui kawasan perkuburan walaupun pada tengahari buta.

Pernah satu hari kami mengayuh basikal seperti orang gila isim tak tentu hala kelajuannya hanya kerana kami terlihat seorang lelaki tua yang sedang mengayuh basikal dibelakang kami dan sedang  memegang sabit tajam pada sebelah tangannya (Pada masa itu hebat tersebar kisah konon ada kanak2 perempuan disabit leher kerana amalan ilmu yang entah apa2). Saya hilang kawalan dan terjatuh dari basikal. Dia bersungguh2 menolong saya mengheret basikal sampai ke rumah. Luka sana sinun. Saya menangis kesakitan. Dia juga menangis. Kadang2 kedengaran tangisannya lebih kuat dari saya. Saya tak faham kenapa dia menangis. Dia tak cedera apa2 pun. Tapi yang pasti kami menangis bersama2 sehingga ke rumah. Lelaki tua yang memegang sabit entah kemana.

Pada waktu petang, dia selalu datang ke rumah. Membawa buku. Itu hanya lakonan di depan mak dan abah. Mengulangkaji hanya alasan. Sebenarnya kami menumpukan sepenuh perhatian dengan cerita gosip beserta ketawa berdekah2 mengumpat cikgu dan memuji mereka yang mana perlu. Dia tetap dapat nombor satu, saya sahaja yang tak tentu arah keputusan setiap kali peperiksaan.

Entah apa rancangan Tuhan. Saya berpeluang masuk ke sekolah berasrama penuh dan dia tidak. Keluarganya tidak mampu. Adik beradiknya ramai. Ini adalah saat permulaan saya menang. Setiap kali saya pulang bercuti, dia akan datang melawat saya berpeluh2 mengayuh basikal dari rumahnya yang jauh hanya ingin mendengar keseronokan saya belajar di asrama. Saya benci bercerita tentang pengalaman belajar di sekolah asrama apabila melihatnya terngaga kempunan. Dia tetap memaksa saya bercerita. Selalu juga saya tipu makanan di dewan makan asrama sangat meloyakan. Padahal sayalah yang menyapu bersih makanan kawan2 yg lain jika mereka tak lalu makan.

Kemudian, saya dan keluarga berpindah jauh. Hubungan kami sunyi kerana perintah alam. Ada sekali terdengar berita yang dia gagal melanjutkan pelajaran ke universiti. Saya yakin ianya  kerana keluarganya tidak mampu. Bukan kerana dia tidak mampu.

Saya telah menang. Menang yang menyakitkan. Apabila terbayang wajahnya yang putih bersih ditampar kekecewaan.

Dan beberapa tahun dulu, adalah benar2 berita yang terakhir saya dengar tentangnya. Dia terlibat dengan kemalangan jalan raya ketika mengandungkan anaknya yang ketiga.

Dia meninggal dunia di tempat kejadian.
—-
Entahlah minggu ni kenapa dengan saya. Terkenang2 jiwa yang pergi.

kucing saya juga telah pergi

 

(Bunyi runut iringan – Separuh Jiwaku Pergi, Anang)

Soal Hidup dan Mati

Catatan ini ditujukan untuk seorang sahabat saya yang sedang bersedih.

Pada satu malam yang dingin, pada ketika air tawar dari arah langit berebut2 menghentam dan menghukum tanah yang kering jiwanya, saya melayan2 perkataan yang keluar dari seorang rakan yang berehat sebentar menarik nafas segar selepas bertempur dengan si makhluk raksaksa gagah bernama PHD (dia kelihatan terlalu penat mengorek ilmu sepanjang hari. Makhluk bernama PHD ini kelihatan sangat menggerunkan penangannya kepada kesihatan manusia. Saya takut. Berani jugakah saya mencuba untuk berlawan dengannya satu hari nanti?).

Rupanya orang yang bijak pandai ini jika berkata akan terhambur falsafah yang mencengangkan walaupun kadangkala kelihatan antara sedar dan tak sedar sedang bersungguh melawan pujukan mimpi malam. Terjawab satu persoalan yang saya kendong kemana sahaja saya pergi yang sukar benar saya ketemu jawapan yang boleh diberi pujian dengan markah penuh.

Kenapa kita memohon kepada Tuhan memanjangkan hayat kita di dalam doa kita? kenapa kita menulis “semoga panjang umur” dalam kad ucapan hari lahir si dia yang dicintai sepenuh jiwa? Dan kita panjatkan harapan setiap kali melihat ibu atau bapa kita yang yang sedang sakit supaya Tuhan melanjutkan usia mereka. Kita harap kita ada banyak masa lagi menebus dosa setelah pernah melawan kata2 mereka ketika syaitan bermaharajalela di dalam jantung kita yang berdegup-degup. Bukankah sudah ditakdirkan di Luh Mahfuz bila kita akan pergi menemuiNya? Bukankah ianya tidak ada kompromi?

Kita menjunjung Rukun Iman yang ke Enam. Kita mesti percaya kepada Qada dan Qadar. Ya, kita pun bersetuju waktu pergi kita sudah ditetapkan, kenapa pula kita masih terus meminta dipanjangkan lagi?  Sudah melampaukah kita? Tidak mengakui qada dan qadar kah kita? Atau, adakah sebenarnya apabila kita meminta, dan jika diizinkan olehNya usia kita digerakkan sehari lagi. Atau setahun lagi, Atau sedekad lagi? Maha agung Tuhan. Tidak akan termampu kita fikirkan kekuasanNya. Saya sangat bersetuju bahawasanya Qada dan Qadar adalah rahsia penuh misteri yang paling agung sealam semesta.

Maka, si rakan tadi berkata: “apalah yang kita mampu lakukan untuk melawan ketentuan Tuhan. Kita tetap akan kembali bila2 Dia memanggil. Apa yang lebih penting apa yang kita lakukan untuk membuatkan hidup kita sangat bermakna. Yang menjadikan hidup kita seakan panjang adalah kerana makna yang kita isi. Menunggu sahajakah kita dengan nasib yang ditentukan atau bangun, bernafas dan berusaha sehingga kudrat yang terakhir mengisi ruang2 hidup supaya ianya bernyawa dengan selesa dan indah. Ya, Tuhan telah berikan sejumlah waktu untuk bernafas di dunia yang kuat berperang ini. Untuk sejumlah waktu itu,  kejarlah apa yang dimahukan, nikmatilah apa yang dianugerahkan dan redhalah pada kepahitan. Jangan buang masa dengan bersedih dan bermuram durja. Nanti tidak sempat pula mengejar cita2.” (ayat2 ini diubah suai oleh saya supaya cukup rasa. Motif tetap sama. Saya tak tipu)

Oh! Bintang kejora! Inilah jawapan yang nyaman sekali di dengar seperti meminum air ciptaanNya di lereng Kinabalu!

Selepas ini, rasanya tidak perlu lagi memohon memanjangkan usia. Pohonlah sahaja Dia izinkan kita memperolehi apa yang terbaik yang mampu kita capai dalam masa waktu hidup yang diberikanNya. (Sudah tentu campurkan doa dengan usaha, sayangku. Tidak akan sampai ke Low’s Peak kalau hanya tidur dan berangan di kaki Timpohon atau Mesilau. Itu degil bin degul namanya 🙂 ).

Saya akan memohon dan berusaha. Mari kita sama2 memohon dan berusaha. Saya dengar Dia Maha Mendengar.

kredit : Goodingreenwood.com

Puji2an untukNya

p/s : Doakan juga pemimpin2 kita tidak membuang masa mengatur hayat dan nasib manusia sambil menanam tanduk di kepala. Semoga hidup mereka dan kita diberkati sebelum pergi.

Mari mencari

Berhenti membenci

berhenti mencaci

penuhkan isi hati

dengan semangat berapi

tak guna menanti

jangan buang masa lagi

hidup perlu mencari

mencari apa yang tak rugi

mencari apa yang tak pergi

mari kita cari keimanan hati

mari kita cari keteguhan diri

mari kita cari kedamaian abadi

Kita tak tahu bila kita mati

Hujan Bunga

flower-shower

Wah!!!!

Katanya ada hujan bunga di ibu kota
Aku pernah juga melihat hujan bunga
Kadang-kadang ada jatuh gugur ke dalam perigi tua yang sejuk dindingnya
Kadang-kadang ada jatuh di permukaan tasik sunyi di dalam hutan
Kadang-kadang ada jatuh di tepi jalan di kampung  kecil dihujung sempadan
Kadang-kadang ada jatuh juga dalam hati
Kadang-kadang sahaja

(Bunyi runut iringan : Hujan Bunga di Kuala lumpur, Ana Raffali)

** minta ampun, tetiba jiwang tak hengat…

Cinta yang terpaksa dilepaskan

Ini bukan kisah tentang cinta dengan seseorang yang mempunyai saiz jantung yang sama dengan saya. (ayat sang spoiler!) Jantungnya lebih kecil. Mungkin jiwanya besar. Entah. Tak tahulah.

Inilah cinta yang terpaksa saya lepaskan.

baby
Episod satu

Sebenarnya dia bukanlah tetamu yang diundang. Saya, emak dan abah terpaksa menerimanya kerana adik kesayangan saya tidak dibenarkan menjaga haiwan peliharaan di rumah barunya di ibu negara dan tidak sampai hati pula menjualnya. Si dia, dengan berlenggang lenggok perasan comel dan cukup montel tetapi macho mula dengan pertama kalinya menjijakkan kaki ke tangga rumah saya seminggu sebelum aidilfitri yang lalu. Berpusing dan turun kemudian melilau tak tentu arah di halaman rumah. Terbelalak mata, gila-gilaan melihat bentuk makhluk ciptaan tuhan yang aneh semuanya dari pandangan matanya. Pokok mempelam yang gemuk dan tinggi, ayam jantan yang menjeling jahat, rumput yang hidup segan mati tak mahu, van hijau abah yang buruk dan lain-lain.

Saya sangat peduli dengan kehadirannya. Peduli yang lebih mirip dengan perasaan kebencian. Secara umumya, rakan yang mengenali saya dengan lebih rapat memang sangat arif lagi maklum dengan kepantangan saya dengan makhluk tuhan bernama kucing. Perlakuan kucing yang manja tak ingat dunia menggesel dan mengekori manusia amat merimaskan saya (Ya, saya tahu, nabi kita sangat sayang kucing..). Dan kebencian saya pada bau kucing sama tarafnya  seperti kebencian saya pada bau Famous Amous. Memeningkan kepala sampai tahap urat kepala boleh menengang kekejangan.

Tapi dia lain. Sangat tidak peduli manusia. Tidak menggesel. Suka buat hal sendiri. Saya tidak faham kenapa tiba2 tangan saya boleh pula menyentuhnya. Oh! Bulan dan bintang! Rupanya menyentuh kucing dengan tanpa prasangka sangat menyenangkan. Hati sudah berdetik wangi wangian. Geli! (bukan geli kucing, tapi geli pada diri sendiri)

Tiga hari kemudian. Tiba2 dia hilang tanpa khabar berita. Tahukah anda apa yang terjadi kepada saya? Sangat ironi! Saya seperti si lelaki (saya seorang perempuan, sumpah!) yang gilakan talak terakhir. Merayau seluruh kampung memanggil2 namanya. Malam termimpi. Siang terkenang. Teringatkan si dia. Maklumlah, si dia bukan seperti kucing kampung yang lain dan tidak boleh makan sembarangan. Sangat mengada-ngada. Pemalas sebiji macam perangai si Garfield yang terkenal seantero dunia itu. Si dia tidak mungkin boleh bertahan di persekitaran kampung yang penuh dengan kucing kampung gatal dan pendengki.

Si dia pergi setelah saya baru kenal dengan cinta. Cinta kepada makhluk seperti dia.

Episod dua

Maha agung Tuhan yang mencipta misai antena terhebat untuk si dia. Seminggu kemudian dia pulang. Dengan rupa paras yang mengejutkan. Badannya semakin kurus, bulu yang semakin menipis, ada kesan gigitan dan kulit di ekor koyak berdarah pula serta hampir putus. Berjalan dengan lemah.

Perubahan yang drastik berlaku kepada saya. Saya tiba2 menjadi pakar kucing. saya tiba2 tahu pelbagai jenis pasir untuk membuang hajat kucing yang ada pewangi epal dan strawberi atau lemon. Saya tahu semua jenis makanan kucing, vitamin, supplement, saya tahu bagaimana memasukkan ubat ke dalam mulut kucing, nama saya sudah tercatat di dalam komputer si doktor haiwan yang sangat baik hati. Ah! Hidup saya melekat dengan mahkluk tuhan yang tidak mendatangkan apa2 hasil secara ekonomi melainkan menghabiskan saki baki duit biasiswa saya. Tetapi saya tidak kisah. Saya semakin sayangkan dia. Sungguh misteri urusan Tuhan terhadap takdir perasaan makhluk ciptaannya.

Episod tiga

Cuaca di Malaysia tidak menentu. Saya sangkakan panas hingga ke petang. Rupanya ribut dan petir bertempur dahulu. Setelah sebulan, entah apa kena dengan si dia. Tiba2 tidak bedisiplin. Tiba2 gemar membuang hajat dimana sahaja sesuka hati. Tidak dapat dibezakan olehnya samada bekas pasirnya atau tilam empuk untuk  pengantin (saya bukan pengantin itu. Saya masih tidak laku). Setiap pintu bilik terpaksa ditutup. Pintu rumah juga terpaksa ditutup. Tahu2 sajalah, adalah sesuatu yang aneh apabila pintu rumah di kawasan kampung jika ditutup pada siang hari. Agaknya orang kampung mungkin berfikir ada kegiatan membancuh candu dalam rumah jika begitu.

Hakikatnya, tuhan sahaja yang tahu bernafas di dalam rumah semakin seksa. Seperti berada di dalam zoo. Saya tidak dapat lagi memberi komitmen untuk si dia. Berulang alik ke universiti demi ilmu memaksa emak menjadi penjaga sepenuh masa. Lama kelamaan emak mula mengeluarkan leteran berapi. Memercik-memercik ke telinga sesiapa sahaja. Mak tak tahan. Terpaksa kerap mencuci tilam. Abah selalu pula terpaksa mengangkat tilam kesana kemari. Kadang2 si dia merayau keluar tanpa tujuan. Nak menggatal rasanya. Terkial-kial tak cukup nafaslah kami mencari. Kami masih trauma dengan kecederaan si dia selepas dijumpai dahulu.

Sampai satu tahap, saya tak dapat tahan bila mendengar emak bercerita sambil menangis kerana tak tahan lagi membasuh bekas najisnya yang merata-rata. Saya sayangkan emak dan abah lebih dari segala-galanya. Saya tak akan tahan melihat emak menangis.

Hari ini, saya menekan2 papan kekunci Cik Seri Siantan (si Macbook saya yang kulitnya putih mulus) tetapi seperti terasa semua jari memakai cincin yang beratnya sekampit beras. Sangat payah dirasakan untuk menaip :

“Si Persian yang macho untuk dijual”

……………….

Cinta baru saya terpaksa dilepaskan.

(Bunyi runut iringan – Always On My Mind, Anne Murray)