Benci dan cinta untuk kamu

Kamu begitu sukar dikenang
Sedang bertenang atau menendang

Kamu begitu sukar difahami
Sedang berjanji atau menyanyi

Kamu begitu sukar ditelah
Sedang bermadah atau berhelah

Bergolakan dan menyenangkan
Mengelirukan dan meyakinkan
Memalukan dan membanggakan

Kamu tahu kan
Benci dan cinta itu
Tipis sahaja bezanya

Ada yang minta aku benci kamu
Tapi aku pilih cinta untuk kamu

Ya, kamu
Kamu yang memelukku
Ketika ribut taufan menderu
Ketika angin lembut berlalu

Aku pilih cinta
untuk kamu, Malaysiaku

(Rakyat yang merdeka itu adalah mereka yang tidak menerima satu perkara itu sebagai satu perkara)

(dijemput menonton sisi lain episod kemerdekaan kita)

Advertisements

Rezeki ribu riban

(Entri kali ini panjang tak ingat dunia. Sila bersabar membaca).

Saya ingat lagi. Semasa belajar di universiti peringkat sarjana muda yang sangat muda dulu. Dikala bulan mengambang, bintang bekerdipan, duit biasiswa kekontangan. Bila saya menghabiskan helaian mi segera yang terakhir. Usus perut terasa masih menjerit. Masih lapar. Sudah beberapa hari saya makan mi segera. Cuma perasa sahaja yang variasi. Tersilap makan perasa tom yam, perut memekik, cirit birit pula. Ah! Rugi mi segera sebungkus!!

Saya selalu gagal memberi perhatian kepada pelajaran kerana perut kosong. Tengok buku pun terbayang bongkah keju. Saya menahan rasa lapar dengan berimaginasi. Seronoknya nanti kalau dah mula bekerja. Dapat gaji ribu riban. Boleh makan apa saja yang saya idamkan. Beef steak atau sup sirip ikan yu. Setakat mi segera tu memang boleh campak pada ayam itik makan saja (wah! sungguh berani berkata2 takbur!).

Kemudian saya bergraduasi, bertebaranlah saya bekerja di muka bumi Tuhan. Tuhan beri duit gaji seperti yang pernah dibayangkan. Alhamdulillah. Saya mahu terus cari beefsteak atau sup sirip ikan yu. Tak jadi, Awal2 kerja banyak yang perlu dibayar. Hutang sana sinun. Tanggung itu tanggung ini. Semua nak dibayar. Kemudian bermulalah siri normal nasib orang marhain yang kerja makan gaji. Gaji seperti terhad tapi hidup terus penuh dengan obligasi2 yang ditakdirkan dan yang dicipta sendiri. Masa tu saya terbayang hidup semasa belajar dulu. Wah! Seronoknya. Lepas balik kelas, golek2 atas katil, kalau malas nak golek2, cari sekutu untuk mengumpat dan bergosip. Seronoknya hidup tanpa fikir duit nak bayar kereta, rumah, kad kredit dan tanggung adik2. Alah! Setakat ujian dan peperiksaan tu.. ada aku kesah! Wuhahahah! gelak jahat.

Kemudian, beban kerja kadang2 seperti tak masuk akal. Gaji yang diterima seperti tak setimpal (haip! tak bersyukur!!!). Saya bayangkan pula bagusnya tak bekerja tetapi dapat gaji pula. Tuhan itu maha mendengar. Sekarang saya tak bekerja tetapi diberi gaji dan ditambah pula dengan duit biasiswa. Wah! Indah kan? Bila Tuhan dengar sahaja apa yang kita minta. Kemudian beberapa kejadian menyebabkan duit lebihan itu perlu disalurkan ke tempat lain. Saya merungut sekali sekala kerana terasa seperti tak pernah merasa nikmat2 itu untuk diri sendiri.

Kemudian saya fikir pula, seronoknya ada suami. Kalau tengah sesak, boleh curi duit dan kad kredit suami. Kalau saya kena ugut dengan ahlong, encik suami boleh tolong patahkan tengkuk ahlong tu. (Perhatian, saya tak pernah mempunyai hubungan gelap dengan ahlong. ini hanya hiasan penulisan semata2). Sekurang2 bila empat2 tayar kereta kena ganti, suami boleh bayar ke empat2 tayar kereta, saya boleh bayar ke empat2 tiub tayar sahaja.

Kemudian nasihat seorang sahabat (yang sudah berderai istana cintanya) mengingatkan saya. Jangan fikir perkahwinan akan menyelesaikan masalah kewangan. Kadang2 hidup berkahwin lebih bencana daripada hidup membujang. Setelah membujang semula, sahabat saya itu kelihatan lebih gembira dan bertambah pula berat badannya. Tapi katanya, Tuhan sahaja yang tahu bagaimana seksanya hidup sebagai ibu tunggal dengan berbekalkan bekas suami yang tak tahu maksud perkataan nafkah.

Kemudian Tuhan belum beri saya suami lagi (tak apa, saya bersabar wahai Tuhan). Mungkin kalau ada suami, dalam keadaan sekarang, saya akan menyusahkan suami saya pula. Bukannya kita tahu tanggungan hidupnya pula. Mungkin sekarang bakal suami seorang yang sedang menyara ibu yang tua dan sakit atau adik yang cacat. Kehadiran saya dalam hidupnya tak lebih dari akan menyesakkan fikirannya saja (ayat melankolik tak boleh belah! Tolong! hantu jiwang karat sedang menggigit!).

Kemudian, inilah saya. Seorang. Mahu menjadi kuat. Mahu berdiri dengan sendiri. Kerana mahu percaya Tuhan ada di sisi.

Nah! hadirin dan hadirat sekalian. Apakah pengajaran dari kisah yang banyak sangat menyebut perkataaan ‘kemudian’ ini? Mari kita senaraikan. Jangan menilai kehidupan orang lain yang kelihatan baik itu sebenarnya baik belaka. Setiap mahkluk Tuhan diberikan bahagian masing2. Yang kena pada tempatnya. Tuhan bukannya saja2 nak kurniakan kepandaian dan rezeki kepada seseorang. Jika kamu mengangap kepandaian kamu itu dan rezeki yang Tuhan beri itu hanya untuk kenikmatan diri kamu, kemudian terpaksa pula menyalurkannya kepada orang lain, ini lah saatnya kamu merasa Tuhan itu tak berlaku adil. Mungkin Tuhan mahu mengurniakan rezeki2 itu untuk orang lain tetapi melalui diri kita. Tidakkah itu kelihatanya kita seperti orang yang terpilih? Kerana kita disayangi? Dan banyak lagi dan lagi dan lagi. Jika kepandaian dan rezeki tak disalurkan kepada yang hak, lebih kurang sahaja kita dan Yahudi (maaf, ayat keras sangat ke?).

Maka berbahagialah menjadi hamba yang dipilih, disayangi dengan kurniaan dugaan dan rezeki.

Demikianlah ceramah agama pada hari ini di bulan yang mulia ini. Renung2kan dan selamat beramal.

p/s : Tolong jangan bersangka saya sedang memuji diri. Saya cuma mahu perbaiki diri. Bersama2 dengan kamu.

p/s lagi : Tolong jangan lapor kepada pihak berkuasa, saya tak ada tauliah mengajar agama (sambil berlari2 menyorok dalam bilik).

Si Bahlut yang pecut

Sekarang saya sedang membaca 5 buah buku serentak. Itu tak termasuk buku2 untuk penulisan tesis saya. Satu hari mungkin memegang 10 buah buku. Wah! Sungguh begitu akademik fantasia hidup saya ini. Sungguh sebuk sekali sehingga tak ada masa nak fikir pasal mencari teman hidup (sedang memberi justifikasi tak munasabah kenapa masih tak laku2).


Buku ini adalah yang terakhir saya mulakan diantara 5 buah buku tersebut, tetapi yang tercepat dapat dihabiskan. Saya masih tak percaya bahawasanya saya telah berjaya menghabiskan buku Faisal Tehrani dengan begitu cepat. Banyak perkara dalam hidup, yang saya gemar melakukannnya dengan begitu cepat termasuk mandi, makan (sampai tercekik tulang ayam!), bersolek, berjalan dan bercakap. Tapi, tidak untuk buku. Terutamanya buku2 FT.

Kehadiran buku ini mengisi ruang yang lengang dalam tema ini dikalangan buku2 di Malaysia. Sepanjang karier sebagai pembaca buku (yang sekarang ini lebih membeli dari membaca), saya belum pernah membaca buku tentang kaum minoriti orang asli. Trilogi Tombirou oleh Ramlee Awang Murshid mungkin yang paling hampir, kerana menggali kisah hidup makhluk misteri di hutan.

Buku ini  berkisar tentang seorang anak muda orang asli campuran Semai dan hulu yang bernama Bahlut. Hidup Bahlut begitu malang kerana bapanya telah hilang dengan misteri dan kemudian ibunya pula. Nasib Bahlut mungkin lebih malang jika dia tak begitu dekat dengan hati Zaiful. Zaiful adalah seorang guru dari Kuala Lumpur yang  bertugas di kampung orang asli di mana Bahlut tinggal. Kerana kasihankan nasib Bahlut, Zaiful mendorongnya berhijrah ke Kuala Lumpur dengan bantuan abangnya. Di sana, bakat berlari Bahlut dapat dikesan dan seterusnya Bahlut berjaya dengan begitu gemilang sebagai pelari pecut paling pantas. Namun, kisah Bahlut hanya alasan untuk FT menyampaikan isu kehidupan orang asli yang tak terbela. Yang lebih banyak diselindungi daripada dilindungi. Kegiatan pembalakan haram di kampung orang asli adalah metafora kepada kegagalan pihak yang bertanggungjawab dalam isu ini. Sepanjang Bahlut berada di KL, kampungnya semakin teraniaya dengan perbuatan kejam orang2 misteri yang seterusnya melibatkan soal hidup mati Zaiful.

Saya mahu anggap Zaiful sebagai kunci utama dalam cerita ini walaupun Bahlut adalah watak utama. Apa yang kita mahukan dalam masyarakat sekarang adalah seorang yang berani mendorong perubahan, kepada individu, agama dan bangsa seperti Zaiful. Oh ya! Pengaruh agama Islam dan Kristian terhadap orang asli juga ada diselitkan. Islam sebagai agama pilihan disulam dengan sederhana tetapi cukup memberi makna. Buku ini memberikan cadangan alternatif bagaimanakah kita boleh menyelesaikan masalah penindasan jika birokrasi dan penyelewengan terlalu tebal.

“Hidup yang melawan”.

Tapi FT ajar cara melawan yang bijak.

Saya teringat seorang rakan baik saya (seorang awek cina yang comel macam saya juga) yang pernah membuat kerja amal menguruskan perjumpaan wakil2 orang2 asli seluruh Malaysia tak lama dulu. Pernah dia memberitahu;

“Kalau aku cakap kau jangan terasa ye. Tok2 batin kata tanah diaorang selalu kena ambil. Katanya tanah tu semuanya rizab dan hak orang Melayu”.

(Oh, sesungguhnya aku terasa!)

Bagi saya, orang asli dan tanah adat mereka adalah satu hubungan istimewa dan penuh makna. Memisahkan orang asli dengan tanah adat mereka seperti memisahkan ikan dan sungai, burung dan ruang terbangnya. Apalah ertinya hidup jika begitu! (Banyak lagi tanah di Malaysia ni. Tak terlarat dek kita nak pajak bangunan tinggi2).

Saya tak mahu memberi ulasan tentang cara penulisan FT. Saya takut memberi ulasan kepada sebarang tulisan orang yang sudah banyak menang anugerah ini. Takut kena sambar petir.

Eh, tapi kan… kenapa ye, FT ada gunakan perkataan Bahasa Inggeris?

“…mimpi itu terasa seperti dekat. Serasa seperti real.”

Kenapa tak ganti dengan ” Serasa seperti benar2 berlaku”?

(mampus aku kena sambar petir ni)

Demikianlah ulasan buku versi perasan sendiri pada kali ini. Jumpa lagi!

Yang terlampau

Saya mudah lupa (atau Melayu mudah lupa? ah! samalah tu! ). Paling saya benci apabila saya gagal mengingat isi buku2 yang telah saya baca. Saya ingat saya telah baca sepenuh hati, tapi saya masih lupa. Saya sangat dengki dengan keupayaan sahabat baik saya (yang masih menyimpan Garfield bermata koyak itu) mengulang ayat2 penting dalam buku yang telah dibacanya bertahun2 dulu. Saya yakin sesungguhnya memang saya pernah makan pelbagai jenis semut ketika kecil dengan banyak sekali sehingga saya menjadi sangat pelupa begini (mana datangnya teori ni, entah!)

Tapi saya yakin, saya, kamu dan kamu pasti akan ingat perkara yang melampau terjadi dalam hidup. Perkara tersebut mungkin telah menumbuk hati terlalu kuat.  sehinggakan otak yang di atas pun terkejut. Otak yang kuat berfungsi dengan baik semula, otak yang lemah mungkin boleh menjadikan tuan punya gila tak tentu pasal. Merayau di tepi jalan tanpa selipar mengutip tin minuman yang masih berisi sedikit air.

Mengimbas kembali apa yang paling diingati sepanjang karier sebagai hamba Allah; Abah lupa jemput balik sekolah semasa darjah 2. Menangis teresak2 berjalan kaki sambil mengutip batu jalan berwarna merah dan melontar kearah semua jenis haiwan yang menjeling. Jatuh cinta dengan seorang budak lelaki untuk pertama kali semasa darjah 4 (saya yakin dia suka saya juga sebab dia suka pinjam pemadam saya). Kena pukul dengan mak, dengan abah (dijemput korek entri lama kalau tak ada kerja).

Kemudian sangat ingat beberapa siri kehilangan, kemalangan, dikhianati dan ditipu.

Saya tak tau orang lain, tapi rasanya saya lebih berkeupayaan mengingat dengan begitu lama tentang perkara melampau yang tak seronok sahaja. Ataupun mungkin hidup saya memang tiada perkara yang menyeronokkan berlaku dengan melampau. Mungkin saya memandang perkara yang seronok itu adalah perkara yang tak seronok (tak sedar diri dengan nikmat Tuhan. huh!). Maka, bagaimanalah saya mahu ketemu dengan kejadian melampau yang seronok jika begitu? Mungkin cara pandangan perlu diubah. Mungkin.. mungkin..

Esok perkara yang melampau dijangka akan berlaku lagi. Saya akan menyambut Ramadhan keseorangan buat pertama kalinya dalam hidup saya. Seronokkah jika begitu?

Mungkin cara pandangan saya (kita) perlu diubah. Perlu.. perlu…perlu

.

*Selamat menyambut bulan yang paling indah. Semoga kita dapat melihat yang indah2 sahaja dalam bulan ini. Semoga Allah merahmati kamu semua.

Ada makhluk yang agak hebat

Cuti belajar saya akan habis beberapa bulan lagi. Saya mengandaikan masa menulis saya akan semakin berkurang bila saya masuk semula ke alam pekerjaan yang lemak dengan birokrasi tak masuk akal (andaian sahaja, kadang2 mood menulis bukan kerana faktor masa, rasanya lebih kepada faktor perasaan. Bila rasa sedih dan hampa, selain dari rasa nak tumbuk orang, saya rasa gian nak membebel di blog).

Saya sudah mula bersiap siaga untuk menulis dengan lebih pendek di tempat yang lebih sesuai.  Pernah dengar Tumblr kan? Kalau tak tau, mari2 rapat sini nak bagitau ni. Tumblr adalah tempat orang yang ada hati nak berblog tapi ada penyakit malas menulis tahap gaban. Konsepnya diantara blog dan twitter. Tak ada fungsi untuk komen di sana. (boleh sebenarnya, tapi kena bersusahpayah sikit buat bahasa html, malas nak fikir). Ada konsep bertanya, ‘like’ dan  reblog (macam retweet dalam twitter). Apa? awak tak ada twitter lagi? (Eh, sejak bila mula guna ‘awak’ ni?). Oh, sungguh rugi sebab  tak boleh follow Shah Rukh Khan! (Selain dari baca twitter ahli politik dan artis bergaduh satu sama lain macam budak2 berebut gula2). Jadi dengan tak malunya saya menjemput tuan puan mem bookmark kan tumblr saya. Lawatlah hari2. kerana setakat ni saya kemaskini setiap hari (perasan nak mampus ada peminat!). Lagi pula aplikasi Tumblr ada di telefon genggam saya yang comel bernama Cik Mek molek tu. Maka akibatnya, memblog semudah menekan dua tiga jari sahaja. Sedang memasak pun (tunjuk2 rajin) atau melipat kain (tunjuk rajin lagi) saya boleh blogging. Paling saya suka di Tumblr saya boleh upload lagu kegemaran saya jadi awak (awak lagi!)  boleh dengar berkali2 sampai telinga panas kemerah-merahan. Hebat kan? Yey! tepuk tangan untuk semua genius IT di dunia yang dicipta Tuhan!

Klik di sini untuk kesana. Jumpa di sana di sana di sana (dengan bunyi bergaung dan pudar perlahan-lahan)

(Blog ni masih berguna. Di sini tempat menulis tentang buku kegemaran, tentang mak yang kuat membebel, tentang abah yang tak reti bercakap, tentang semut yang gatal, tentang ayam jantan yang dengki, mungkin pada kadar hari2, mungkin seminggu sekali, mungkin sebulan sekali, mungkin setahun sekali atau mungkin sepuluh tahun sekali).

* saya sayang ‘awak’ tau tak?