Kemaafan itu kupu2 indah

(walaupun entri ini di paparkan pada 13 hb dis, tetapi sebenarnya saya menulis pd tarikh semalam. Atas sebab yang menyakitkan hati, saya tidak dpt, ‘publish’ semalam)
_____________________________

Saya perlu menulis sesuatu pada hari ini.

Semasa saya masih hingusan lagi, saya sudah mula kenal erti bergusti. Makhluk pertama yang saya tumbuk adalah adik saya yang tembam seperti kuih apam. Kami bergaduh, bertumbuk hampir setiap masa atas sebab apa pun. Mungkin kerana berebutkan pemadam yang besarnya hanya seinci atau berebut tempat strategik untuk main nyorok2 (belakang jamban, sudah tentunya).

Tapi yang indahnya, setiap kali habis sahaja bergaduh, mungkin kurang dari 5 minit, saya dan adik sudah berlari bagai nak gila, ketawa mengilai bersama2 menuju ke parit di pinggir kampung. Main nyorok2 dalam air, gedebush! gedebush! bertepuk tampar dan berpeluk di bawah pokok kekabu gergasi.

Kami berkelakuan seperti tidak pernah melakukan kesalahan antara satu sama lain. Bergaduh adalah seperti acara rutin yang biasa seperti acara makan2. Seperti lepas kenyang, lupa lapar. Lepas gaduh, baik semula. Tak ada masa nak ingat siapa salah, siapa yang kena minta maaf, apatah lagi nak simpan dendam.

Apa itu dendam? Tak tahu. Kasih pada adik agaknya begitu tulus suci murni. Oh, mungkin bukan suci murni sangat. Tapi, saya rasa, saya fikir masa tu, kalau saya berdendam atau memendam perasaan tak mahu bermain dengan adik semula, saya banyak menanggung kerugian. Saya rugi masa bermain. Saya rugi kurang kawan ketawa. Saya tak ada kawan curi tebu, saya tak ada kawan nak berlawan main terjun tiruk dalam parit. Tak ada kawan main jentik2 sumbu pelita diwaktu malam. Jadi, saya fikir menyimpan dendam untuk adik saya amatlah rugi.

Bila besar panjang begini, saya fikir apa yang saya lakukan dahulu adalah satu perlakuan yang menunjukkan saya boleh memaafkan adik. Atau adik juga telah belajar apa itu memaafkan. Kami tidak pernah meminta maaf secara vokal, tapi bila adik ketawa mengilai macam pontianak, kemerah-merahan pipinya seperti apam mahu pecah, saya tahu dia sudah memaafkan saya. Bila saya tolong sapukan kapur kasut sekolah adik, saya tahu, saya sudahpun memaafkannya.

Memaafkan adalah satu perbuatan yang ringan seperti mengangkat kelopak mata sahaja.

Itu semasa kecil.

Bila saya membesar, menempuh rencah hidup tak terduga, banyak peristiwa yang menuntut kekuatan untuk memaafkan seseorang. Semakin kuat cabaran hidup, semakin berat untuk saya memberikan kemaafan. Ada masanya, memberi kemaafan seperti mengangkat batu besar yang tumpat (dah batu, mestilah tumpat dek non!).

Jadi bagaimana harus kita mencari kekuatan untuk memaafkan seseorang? Saya teringat pesan seorang kawan apabila saya menyumpah2 kepada seorang professor yang hampir menggagalkan tesis saya. Pesannya, ‘janganlah kita terlalu membenci seseorang sehingga meletakkan darjat tanpa kemaafan kepada orang tersebut. Kita belum tahu takdir hidup kita. Manalah kita tahu, di suatu masa hidup kita dalam kesusahan dan tiada siapa yang mampu menolong kita, kecuali orang yang kita benci itu. Kerja Tuhan dalam menterbalikkan nasib manusia adalah sangat misteri. Jangan kita merendahkan kuasa Tuhan atas kemampuanNya melakukan apa sahaja yang tak terduga. Tidakkah kita seperti ditampar malu bila Tuhan menghantar orang itu untuk membantu kita?’

Jadi, apa masalahnya lagi jika kita ini sukar benar memaafkan orang lain? pesan seorang ustaz, jika kita gagal memaafkan seseorang, sedar atau tak sedar, kita seperti meletakkan diri kita lebih baik daripada orang tersebut. Kita rasa kita tak akan melakukan kesalahan seperti yang telah dilakukan oleh orang tersebut. Kita yakin kita tidak akan melakukan kesalahan apa2 kepada orang tersebut, sememangnya orang itu sahajalah satu2nya manusia yang paling teruk di dunia ini. Jika begitulah keyakinan kita, tidakkah kita takut Tuhan akan menterbalikkan nasib dan perasaan kita?

Hari ini, pada 12.12.12, saya sudah bersama dengan separuh lagi jiwa saya selama 1 tahun 1 bulan dan 1 hari. Selama tempoh perkahwinan setahun jagung ini, saya telah banyak belajar tentang kemaafan. Separuh jiwa saya itu banyak benar mengajar saya tentang kemaafan. Kemaafan berjaya menyuburkan kasih sayang kami berdua. Doakan kesuburan kasih sayang ini, kawanku. Terima kasih ucapan pendahuluan.

Indah, kawanku. Indah rupanya bila kita berjaya memaafkan seseorang, rasanya seperti batu besar itu pecah kecil2.. tiba2 bertukar menjadi kupu2 putih yang banyak berterbangan gembira mengelilingi kamu. Kupu2 itu seperti menyampaikan rahmat Tuhan yang tak terhingga. Segala saraf yang berselirat di dalam kepala kembali tersusun mengikut aturan yang benar. Fikiran tenang, jiwa aman.

Mari kita belajar memaafkan sesiapa sahaja. Atas sebab apa sahaja. Walau di mana sahaja dan bila2 sahaja. Semoga hidup kita sentiasa dirahmati Tuhan, Allah yang Maha Pengasih.

Sekian, sehingga berjumpa lagi.

Mimpi apa lagi?

Saya telah bertemu dengan  si cinta. Kejap tersimpan dalam hati. Merah dan bergetar.

kredit: 4everin

Jadi apa lagi yang saya mimpikan?

——- > si cinta. si cinta. si cinta. Setiap siang dan malam.

oh ya! tiba2 terfikir mahu menulis novel. Tentang si cinta. Klise. Ampun!!!

Hajat yang tak dapat

Pada suatu hari yang indah bersinar. Ketika itu usia saya 12 tahun. (Oh! cerita tentang zaman2 kecil lagi! Bosankah kamu membacanya? Ah! Pedulikan!) Saya telah menerima sepucuk surat tawaran ujian kemasukan ke Maktab Rendah Sains Mara. Wah! Hebat benar rasanya perkataan sains tu. Saya mula merisik2 apa yang boleh saya jadi suatu hari nanti kalau masuk dalam dunia sains. Jadi doktor! Yey! Jadi doktor! Yey! Boleh belah perut orang! Ataupun.. jadi jurutera… boleh belah mesin (ok! tak best!). Ataupun dapat jadi nurse, macam comel je pakai skirt kembang warna putih. Ok juga lah!

Jadi, saya sangat teruja. Saya mesti jadi doktor. ..atau… nurse. Pakaian mereka nampak canggih benar. Putih berseri, ada steteskop bergantung dileher. Sungguh dihormati dan dikasihi benar rupa parasnya. Maka, semenjak mendapat surat tawaran tersebut. Bersungguh2 lah saya membaca siang malam pagi dan petang. Semua buku sains yang ada. Semua buku matematik yang ada. Buku kerja, buku teks, buku kerja dan buku teks lagi. Itu sahajalah yang saya ada pun. Buku percuma yang kerajaan sedekah. Takut nak minta duit beli buku tambahan. Tiap kali minta duit tambahan ke sekolah, muka abah macam ikan sepat terlekat di jerat. Hiba. Menyedihkan. Abah tak ada duit. Ok abah. Faham..kita miskin.

Usaha tangga kejayaan. Orang yang berusaha mesti berjaya. Tak ada kompromi. Saya yakin. Saya mesti boleh jadi doktor. Saya mesti dapat masuk MRSM.

Baca, baca dan baca. Bersungguh2. Lupa makan. Kurang tidur. Baca dan baca. Dan baca.

Jadi, tibalah tika dan saat yang dinantikan. Pada hari itu, abah memakai pakaian yang paling cantik yang pernah saya nampak. Saya ingat, t-shirt corak kotak dan seluar slack yang licin keras diseterika besi panas. Selain suka bawa saya pusing2 naik motor keliling kampung, saya suka abah sebab dia hensem macam muka penyanyi di tv. Bila abah pakai seluar macam tu, memang terserlah kehenseman abah. Tapi, motor abah buruk betul. Berkarat sana sinun. Kanvas lapik tempat duduk koyak rabak. Terkeluar span didalamnya membuak2 seperti kuih apam terlebih acuan. Bila duduk di atasnya, terasa geli. Sebab tu,  tiap kali duduk, banyak kali juga terasa nak jatuh. Ah! pedulikan. Yang penting.. abah hensem dan saya nak pergi ke ujian kemasukan MRSM. Yey!

Ok, motor abah buruk. Terserlah sifat buruknya. Banyak kali mati di tengah jalan. Ah! Abah! Kita dah lambat! Oh tuhan! Habislah begini. Saya tidak boleh jadi doktor kerana motor abah yang buruk perangainya ini! Ini memang sukar diterima akal yang waras. Tiba2! Vrommm! Vrooom! Yey! Hidup semula. Abah berpeluh2. Busuk! Ok, MRSM.. tunggu saya tau!

Dari jauh, kelihatan langit di atas bagai dicalit celak merata2. Semakin lama semakin tebal celaknya. Hitam pekat. Oh Tuhan! Hujan ribut turun dengan amaran yang sekejap benar. Abah teruskan juga. Kalau berhenti berteduh, mungkin motor mati semula, yang paling penting saya akan terlepas ujian kemasukan MRSM. Sampai di dewan peperiksaan, saya menggigil kesejukan. Kulit badan kecut kena resap air hujan. Owh! Seluar slack licin abah sudah kuyup. Tak licin lagi. Rambut abah sudah kuyup juga. Abah dah tak hensem!

Saya berlari masuk ke dewan peperiksaan. Sudah lambat! Ok, dapat kertas soalan. Ok, jawab.. jawab.. jawab…. tiba2! Saya terasa seperti kepala saya berpusing2. Semuanya kelihatan seperti tak kena. Terpusing2 dan kacau bilau. Oh! Ataupun kipas yang berpusing di atas syiling  yang mahu tercabut…ataupun kepala pengawas peperiksaan yang bengis mahu melayang? Badan saya menggigil dan saya jatuh dari kerusi kemudiannya tak tahu apa yang terjadi. Mungkin kepala pengawas peperiksaan sudah tercabut. Bila saya sedar, saya perasan ada seorang lelaki mengusap2 rambut saya. Oh! Abah rupanya!  Patutlah kasar benar rasa tangannya. Dan, tak semena2 saya termuntah segala apa  di dalam perut ke seluar slack abah yang baru kering dan kembang semula. Ok, basah kuyup semula seluar abah.

Saya tak dapat masuk MRSM 😦 Walaupun saya telah berusaha sedaya upaya. Walaupun abah telah berusaha sedaya upaya.

———————

Ada masanya, akan berlaku sesuatu yang kita tidak harapkan langsung berlaku kepada kita. Yang kita betul2 tidak mahu, dan takut ianya akan berlaku. Jadi, kita berusaha bersungguh2 supaya ianya tak akan terjadi. Namun, apakan daya, ianya tetap berlaku. Jadi, apa yang harus kita lakukan? Sumpah seranah? Maki hamun? Marah? Menangis? Merintih? Kepada siapa? Kepada motor buruk? Kepada hujan? Kepada abah yang hensem? Oh! Tak sampai hati rasanya? Jadi, kepada siapa? Tuhan? Yang Maha Mengetahui tu? Sampai hati betul!

Sedangkan Dia Maha Mengetahui. Maha Penyayang. Maha Bijaksana. Tak akan dibiarkan kamu begitu kecewa tanpa sebab yang munasabah.

Redha, bersyukur ke atas nikmat yang mungkin kita belum nampak. Pandang ke langit… biru, indah dan tenang..

* Nasib baik saya tak jadi doktor. Kalau tidak, pengsan hari2..tengok mayat. Penakut tak dapat diampun, kawanku!

Sumpah yang dirahmati Tuhan

Sejak saya mula kenal dengan perkataan ‘cita-cita’, semasa tadika, pekerjaan yang bermaharajalela di dalam otak saya adalah guru. Ketika itu, saya telah membuat kesimpulan bahawa hanya ada tiga jenis cita-cita sahaja yang boleh dipilih. Nurse, polis dan guru. Saya takut darah maka tak akan pilih nurse. Saya tak kuat berlari, maka tak akan pilih polis. Pilihan yang tinggal, hanya guru. Ya, saya mesti jadi guru.

Semakin tahun, semakin membesar, barulah saya tahu, rupanya ada banyak lagi yang boleh di cita-cita kan. Setiap tahun saya tulis biodata dengan cita-cita yang berlainan. Sekejap nak jadi arkitek. Sekejap nak jadi jurutera. Sekejap nak jadi peramugari (tak sedar diri pendek). Sekejap nak jadi pilot. Ada sekali tu saya pernah teringin nak jadi ahli kaji barang purba. Orang putih kata archeologist.

Jadi, cita-cita mahu menjadi guru tidak lagi menjadi agenda utama hidup saya. Saya seakan2 mahu menjadi apa sahaja di dunia ini kecuali menjadi guru. Kerana, bagi saya pekerjaan yang saya cita-citakan itu begitu gah super hebat. Sekiranya saya jadi jurutera, atau peramugari, atau pilot atau ahli kaji barang purba saya mungkin orang yang pertama dari kampung saya yang menjawat pekerjaan itu. Gila tak bangga! Mana nak dapat ada seorang ahli kaji barang purba yang muncul dari kampung berlumpur hanyir sawah. Saya! Saya!

Jadi guru? Apa kelas! Gaji rendah! Tak unik. Tak mencabar! Tak macam jadi ahli kaji barang purba!

———-

Sepanjang hidup, sejak tadika hingga mana2 tahap kamu belajar sekarang, sekurang2nya ada seorang guru yang kamu akan ingat sampai bila2. Ada beberapa sebab. Mungkin kerana rupa parasnya, menawan atau perilakunya yang budiman. Mungkin kerana rupa parasnya yang menakutkan atau perilakunya yang mengerikan. Mungkin kerana dia pernah merotan tapak tangan kamu kerana kuku panjang atau dia pernah memijak perut kamu di dalam stor sukan (kerana apakah itu?). Yang lebih besar, mungkin kerana dia telah meletakkan kamu di mana kamu berada sekarang.

Dia lah yang paling saya ingati. Bertubuh langsing tinggi lampai. Setiap hari memakai baju kurung moden yang cantik. Hidung mancung bak seludang, pipi licin bak pauh dilayang. Memakai selendang yang hanya diletakkan sahaja di kepala menampakkan jambul rambut ikal sederhana hitam pekat di atas dahi. Dari belakang nampak sanggulnya bergetar2 disebalik selendangnya yang jarang. Dia lah yang paling saya kagumi. Cantik. Bijak. Penyayang. Ilmu yang diajarnya begitu mudah diserap seperti air yang dicurah ke atas span gosok kereta. Sempurna. Apabila dia tertinggal buku teks, dia mampu mengingati mukasurat latihan yang dimaksudkan, dengan nombor soalan dengan erata ejaan dan percetakan sekali. Bila selendangnya hampir jatuh semasa dia sebuk mengajar, saya rasa seperti ingin berlari ke hadapan dan membetulkannya supaya wajahnya terus nampak sempurna di hadapan saya dan rakan sekelas. Ini penting! Kerana kesempurnaannya, menyebabkan kami terus ingin belajar. Semua arahannya dituruti. Semua kata2nya didengari. Semua perform sehabis baik. Semua tidak mahu mengecewakannya. Kerana tak sanggup melihat wajahnya murung lantas mencacatkan kesempurnaannya.

Sehinggalah suatu hari. Saya telah melakukan suatu perkara yang meruntuhkan kesempurnaan itu. Haruskah diceritakan? Tak payah lah kan. Tak mampu saya membuka pekung di dada semantelah banyak sangat keburukan diri yang telah saya sebarkan di dalam blog ini. Kesimpulannya, dia kecewa. Hatinya hancur, mungkin. Wajahnya yang sempurna menjadi merah seperti udang galah yang dibakar bersungguh2. Nada suaranya kuat mendesing. Saya ingat lagi sampai sekarang sumpahnya kepada saya:

“Semoga kamu menjadi seorang guru. Supaya kamu rasa apa yang saya rasa sekarang”

———-

Nasib baik dia tak doa saya jadi benda2 lain. Kerana doa dan sumpahnya benar2 makbul. Kalau dia sumpah saya jadi tiang elektrik, camno nak jawab tu makcik bedah oi. Berdiri la kat situ menahan ribut dan petir!

Jadi, akhirnya saya ditakdirkan menjadi guru. Tidak dapat dibayangkan hidup saya membuat pekerjaan lain selain dari mendidik anak orang lain. Selain dari berjumpa dengan ribuan macam rupa dan tingkah laku pelajar. Pelbagai ragam pelajar. Ada yang seperti pari2 manis penyejuk hati tetapi ada juga yang mampu membuatkan saya terfikir untuk tanam mereka hidup2. Saya pernah merasa ditipu, dikutuk, diejek dan diketawakan oleh pelajar.  Ini adalah balasan yang saya terima ke atas apa yang saya telah lakukan kepada guru2 saya dahulu. Bak kata Justin Timberlake “what goes around, comes around‘. Rasanya macam2. Tercabar. Marah. Pahit. Sedih. Malu. Ada pernah rasa macam mahu berhenti. Nak tolong abah kerja di sawah sahaja. Mendidik pokok padi mungkin lebih tenang jiwa.

Tapi, di sebalik waktu2 kebencian itu, ada waktu yang memberi perasaan ajaib kepada saya bahawa pekerjaan ini adalah rahmat Tuhan. Mula2 saya mengajar, saya cuba untuk menjadi guru yang garang konon2 tegas. Tapi lama kelamaan, ianya tidak mendatangkan kebaikan kepada saya. Bila selepas saya marah, ada rasa yang tidak sedap. Saya tidak menjadi lega tetapi dada rasa sesak dan kepala rasa berat. Lama2 saya penat sendiri. Kemudian, saya mengajar mengikut kata hati sahaja. Pelajar adalah tempat tumpahnya perasaan saya setiap hari. Bila saya sedih, gembira atau tertekan, mereka lah yang menyerapnya. Saya kelihatan seperti pendidik yang mementingkan emosi sendiri. Mungkin.

Apa yang seronoknya jadi guru? Saya suka waktu apabila pelajar saya ternganga mendengar apa yang saya ajarkan. Kadang2 saya tipu pun mereka tak perasan. Saya fikir, selain dari menjadi ahli politik, menjadi guru adalah cara termudah untuk menyampaikan agenda tertentu. Saya suka disaat pelajar menjerit memanggil nama saya, berlari ke arah saya, memeluk saya dengan erat. Pelajar adalah tempat tumpahnya kasih sayang dan mendapat kasih sayang dengan banyak sekali. Saya tidak tahu tentang pekerjaan lain. Tetapi pekerjaan ini penuh dengan cinta. Cinta yang Tuhan taburkan pada wajah2 pelajar yang baik atau nakal. Pelajar datang dan pergi. Tapi cinta yang saya terima akan kekal abadi. Mengiringi siang dan malam hidup saya. Memberi sebab kepada saya, kenapa saya harus senyum memandang langit.

Terima kasih cikgu, kerana mendoakan masa depan saya.

———-

kredit: mynewshub.my

Selamat Hari Guru kepada saya, dan mana2 guru yang terbaca entri ini tak kira guru apa2 pun kamu. Pekerjaan kita penuh dengan cinta. Bukankah cinta adalah anugerah Tuhan yang paling indah?

Seteru yang ajaib

Memang saya anak yang tak sempurna. Malah dahulu, lebih buruk perangainya. Selalu bergaduh dengan mak. Ye, dengan mak sahajalah. Dengan otak yang dikurniakan Tuhan ini, seingat saya memang tak pernah bergaduh dengan abah. Maklumlah, dengan mak seperti berkomunikasi  dengan mesin pemotong rumput manakala dengan abah seperti berkomunikasi dengan mesin photostat.

Dulu semasa kecil, lepas kena pukul dengan kayu api oleh mak, saya pernah berjanji tak mau sakitkan hati mak. Tapi, kadang2 sukar benar menahan bunyi mesin pemotong rumput. Ya, saya mungkir janji, silalah kutuk habis2 an.

Ada sahaja yang boleh buat kami berseteru. Perkara kecil seperti semut api hingga perkara besar seperti gergasi. Mak selalu lihat saya tidak pandai melakukan banyak perkara. Pernah sekali, saya begitu sakit hati bila mak tukar susunan kain yang saya sidai di ampaian. Katanya, kain harus disusun mengikut saiz dan jenis. Saya kata ianya amalan yang membuang masa. Bila saya membalas, mak ingat saya melawan. Lalu kami bergaduh. Ya! Sungguh menakjubkan betapa kain buruk yang basah boleh buatkan kami berlawan suara.  Mengenangkan saya lebih berpelajaran dari mak, saya selalu rasa saya lebih betul dari mak. Memandangkan mak lebih tua dan berpengalaman dari saya, maka mak rasa dia lebih betul dari saya. Maka bertekaklah kami seperti pertemuan mesin pemotong rumput dengan mesin pemotong pokok. Ya! Jika kedua2 mesin ini berlaga bunyi, kamu rasa yang mana satukah akan menang? Kedua2 tali mesin selalu putus. Saya menangis, mak menangis. Dua2 kalah. Padan muka! Si mesin photostat seperti biasa, memandang kosong tanpa rasa! Haih!

Ya, perkara yang bodoh2 sahaja yang kami tengkarkan. Ini semua kerana saya tak boleh terima tegurannya yang saya rasa tak berasas dan tak perlu; bila saya potong sayur dengan cara yang tidak mengikut kelazimannya pun kena tegur. Pakai kain batik yang nampak jahitan pun kena tegur. Asal boleh masak sayur tu cukuplah, tak menjejaskan rasa pun! Asal boleh tutup aurat cukuplah, kenapa peduli nampak jahitan atau tidak! Tak logik kan? Itu belum termasuk lagi dengan perbezaan citarasa. Mak suka percaya bomoh2, saya hanya terima logik dan sains. Mak hantu sinetron, saya hanya tunggu CSI, mak suka tengok Gerak Khas sambil menjerit dan menumbuk2 meja, manakala saya pula tak faham2 kenapa itu harus terjadi.

Jadi, cara terbaik untuk tidak bergaduh dengan mak ialah dengan berada jauh darinya.

Dalam seminggu hanya dua tiga kali telefon mak. Ok! Saya tipu. Seminggu sekali sahaja selalunya saya telefon mak. Kadang2 lebih dari seminggu. Bila sekali sekala telefon mak, kami tidak berlawan cakap. Mak bersetuju apa sahaja yang saya cakap. Saya bersetuju apa sahaja yang mak cakap. Hubungan ini kelihatan baik2 sahaja. Tak perlu bergaduh2 tentang perkara yang remeh tak boleh ampun. Saya kira ini yang terbaik harus berlaku. Saya pula kurang dosa, saya fikir.

Tapi, akhirnya saya dapati ini tidak betul. Terima kasih kepada usia yang meningkat dan perasaan yang diberikan oleh Tuhan.

Cuba untuk berjauhan dengan mak, sebenarnya seperti  berlari jauh dari ombak kecil sedangkan kamu sudah di pantai. Pernahkah kamu berlawan dengan anak2 ombak? Membiarkan sahaja ombak menghentam kaki kamu. Apakah yang kamu rasa? Adakah kamu rasa seperti yang saya rasa? Kaki terasa sedikit sakit bila dipukul ombak, tetapi selepas itu ianya meninggalkan rasa dingin nyaman yang paling indah! Dan kamu kemudiannya rasa senang dipukul ombak. Lama2, kamu rasa tidak mahu pulang meninggalkan ombak dan pantai walaupun matahari hampir merajuk pulang.

Mak menangis bila saya menangis. Mak ketawa bila saya ketawa. Mak marah bila saya marah. Mak sentiasa ada pada setiap detik perasaan saya. Walaupun saya pernah lawan cakap mak, mak tetap peluk dan cium saya. Tidak ada sesiapa di dunia ini yang melakukan keajaiban ini untuk saya kecuali mak seorang.

Jadi, untuk menghargai persembahan dari syurga ini, saya fikir saya harus dekat dengan mak. Harus belajar menerima seadanya mak. Harus belajar menikmati suara mak bila dia berleter. Ya, nanti akan ada kata2nya yang mati2an saya tak setuju. Maka, saya harus belajar untuk mendengar dan berdiam. Saya masih belajar untuk bersama dengan mak sebaik2nya. Hari tu, saya menonton Gerak Khas dengan mak.  Saya masih tidak boleh terima drama polis skema begitu tetapi entah kenapa timbul rasa bahagia bila melihat mak menjerit2 ketakutan dan kesukaan menontonnya. Terima kasih Tuhan, kerana memberikan perasaan ini sebelum terlambat.

Kenapa harus saya bersedih dengan bencana2 yang menimpa saya selagi mak masih ada. Biar apapun terjadi kepada dunia ini, perang atau gempa bumi. Mak masih ada.

Besar benar nikmatMu kepadaku wahai Tuhanku.

——————–

Wahai pembaca yang budiman, sila jangan terpengaruh perangai hodoh saya yang diceritakan seperti di atas. Cuba dekat dengan mak kamu sebelum terlambat. Kirim salam sayang pada mak2 kamu2 sekelian, ye.

Hari untuk berdoa

Bukan hari lain tidak boleh berdoa. Tapi hari ini adalah istimewa.

Pada hari ini usia saya secara rasminya bertambah lagi setahun. Hari ini hari jadi saya. Yey! (Tepuk tangan semua sambil tiup trompet!).

Saya sudah off tarikh harijadi saya di fesbuk. Tidak akan ada sesiapa yang ingat harijadi saya jika fesbuk tidak menjerit2. Hari ini hari jadi saya yang sunyi. Saya mahu raikan kesunyian ini bersama pembaca blog saya sahaja. Entah kenapa saya rasa hati saya lebih dekat dengan pembaca blog daripada rakan2 di fesbuk.

Takut tua? Tidak. Saya tidak takut tua. Kerana kata Prof Morrie kepada anak muridnya dalam buku Tuedays With Morrie; penuaan bukanlah proses mereput. Ia adalah proses pertumbuhan. Ia menandakan kita semakin bijak menangani hidup. Jika kamu bermati-matian tidak mahu menjadi tua, kamu akan menjadi orang yang tidak gembira. Kerana tua akan sampai kepada kamu juga.

Apa yang saya takutkan adalah tua dan keseorangan.

Tapi!!!!!!!

Saya ok! Mari ramai2! Tolong pijak perkataan “tua dan keseorangan”! Hidup mesti terus!

——————-

Saya nak hadiah boleh?

Doakan kebahagiaan saya.

Doakan kesejahteraan saudara Palestin

Doakan keselamatan rakyat Jepun

Doa daripada tuan dan puan didahului dengan ucapan jutaan terima kasih.

(Oh ya! Jika mahu berhubung dengan saya, sila follow twitter saya. Jangan cari saya di fesbuk. Jiwa saya hampir hilang di fesbuk).

Tahun lepas juga bunga anemone ini ada juga semasa entri harijadi saya. Ingat tak? Kamu tahu kan makna anemone itu adalah “harapan”?

Ada satu permohonan

Dengan ini, saya dengan rendah diri dan hati menyusun sepuluh jari ingin membuat satu permohonan.

Kepada kenalan yang mengenali saya secara peribadi: mohon tidak dihebohkan alamat blog ini kepada siapa2 sahaja yang mengenali saya secara harfiah. Yang sememangnya kenal saya dari segi saiz, ketinggian dan rupa paras. Serta buruk baik peri laku secara langsung. Yang tahu dimana rumah saya atau tempat bekerja saya. Jika perlu buangkan link blog ini dari blog kamu, maka buanglah. Saya tak akan berkecil hati. Hati saya sememangnya kecil.

Jika tuan dan puan ingin tahu kenapa, kerana saya malu. Kadang2 saya suka meracau2 dalam blog ini. Meluahkan perasaan tak tentu hala. Perbuatan ini sesungguhnya amat memalukan dan tidak sesuai bagi seorang perempuan melayu yang sepatutnya tunduk malu menyimpan dan menahan perasaan dan hanya duduk tersimpuh di ceruk dapur sahaja.

Semoga permohanan saya dipertimbangkan dengan sewajarnya oleh pihak tuan dan puan.

Sekian, terima kasih.

Yang Benar,
Perempuan yang malu-malu.