Nyah kau!

Setiap nafas kau mengentak

Menghenyak setiap dinding sabar

Yang kau kira mainan siangmu

Yang kau fikir gurauan malammu

Ketika jaga dalam mimpi

Atau mimpi dalam jaga

Kaulah mahkluk ciptaanNya

Yang tak pernah putus asa

Selagi daya selagi kuasa

Berambus kau!

Syaitan!

Ada apa dengan tiupan angin ?

Ada apa dengan tiupan angin?

Membelai perlahan lalu kemudian memaksa si daun bergetar. Menggugurkan pautan si daun pada pegangannya. Belum layu tapi jatuh terkulai. Terdampar di tanah tanpa rela dipisahkan. Putus sudah kasih nya yang selama ini kuat melekat. Yang selama ini teralir kasih dari bumi tuhan hingga ke pucuk tinggi. Kasih mengalir naik menghadap langit, menyuak redup merenung matahari. Ah Tuhan. Indahnya kurniaanMu selama ini.

Tapi kini di sinilah si daun itu. Terbolak balik di atas bumi. Menunggu kasih yang tak pasti. Menunggu layu. Menunggu mati.

Nun. Di atas sana. Di atas pokok itu. Tempat si daun dulu berpaut. Tumbuh si pucuk kecil yang baru mengenal Tuhan. Melihat langit dengan penuh harapan. Oh Tuhan itu Maha Besar. Maha Mengasihani. Menumbuhkan harapan pada kejatuhan dan kehilangan. Mengalirkan kasih tanpa jemu pada nyawa yang baru.

Perlahan-lahan si pucuk kecil menadah rahmat Tuhan.

Ada apa dengan tiupan angin?

Ada ujian. Ada ingatan. Hidup hanya sementara. Tiada yang kekal. Yang kekal hanyalah kasihNya.

Benar. Semua ini benar belaka. Matahari, bulan, langit dan bumi telah lama menjadi saksi.

Kemaafan itu kupu2 indah

(walaupun entri ini di paparkan pada 13 hb dis, tetapi sebenarnya saya menulis pd tarikh semalam. Atas sebab yang menyakitkan hati, saya tidak dpt, ‘publish’ semalam)
_____________________________

Saya perlu menulis sesuatu pada hari ini.

Semasa saya masih hingusan lagi, saya sudah mula kenal erti bergusti. Makhluk pertama yang saya tumbuk adalah adik saya yang tembam seperti kuih apam. Kami bergaduh, bertumbuk hampir setiap masa atas sebab apa pun. Mungkin kerana berebutkan pemadam yang besarnya hanya seinci atau berebut tempat strategik untuk main nyorok2 (belakang jamban, sudah tentunya).

Tapi yang indahnya, setiap kali habis sahaja bergaduh, mungkin kurang dari 5 minit, saya dan adik sudah berlari bagai nak gila, ketawa mengilai bersama2 menuju ke parit di pinggir kampung. Main nyorok2 dalam air, gedebush! gedebush! bertepuk tampar dan berpeluk di bawah pokok kekabu gergasi.

Kami berkelakuan seperti tidak pernah melakukan kesalahan antara satu sama lain. Bergaduh adalah seperti acara rutin yang biasa seperti acara makan2. Seperti lepas kenyang, lupa lapar. Lepas gaduh, baik semula. Tak ada masa nak ingat siapa salah, siapa yang kena minta maaf, apatah lagi nak simpan dendam.

Apa itu dendam? Tak tahu. Kasih pada adik agaknya begitu tulus suci murni. Oh, mungkin bukan suci murni sangat. Tapi, saya rasa, saya fikir masa tu, kalau saya berdendam atau memendam perasaan tak mahu bermain dengan adik semula, saya banyak menanggung kerugian. Saya rugi masa bermain. Saya rugi kurang kawan ketawa. Saya tak ada kawan curi tebu, saya tak ada kawan nak berlawan main terjun tiruk dalam parit. Tak ada kawan main jentik2 sumbu pelita diwaktu malam. Jadi, saya fikir menyimpan dendam untuk adik saya amatlah rugi.

Bila besar panjang begini, saya fikir apa yang saya lakukan dahulu adalah satu perlakuan yang menunjukkan saya boleh memaafkan adik. Atau adik juga telah belajar apa itu memaafkan. Kami tidak pernah meminta maaf secara vokal, tapi bila adik ketawa mengilai macam pontianak, kemerah-merahan pipinya seperti apam mahu pecah, saya tahu dia sudah memaafkan saya. Bila saya tolong sapukan kapur kasut sekolah adik, saya tahu, saya sudahpun memaafkannya.

Memaafkan adalah satu perbuatan yang ringan seperti mengangkat kelopak mata sahaja.

Itu semasa kecil.

Bila saya membesar, menempuh rencah hidup tak terduga, banyak peristiwa yang menuntut kekuatan untuk memaafkan seseorang. Semakin kuat cabaran hidup, semakin berat untuk saya memberikan kemaafan. Ada masanya, memberi kemaafan seperti mengangkat batu besar yang tumpat (dah batu, mestilah tumpat dek non!).

Jadi bagaimana harus kita mencari kekuatan untuk memaafkan seseorang? Saya teringat pesan seorang kawan apabila saya menyumpah2 kepada seorang professor yang hampir menggagalkan tesis saya. Pesannya, ‘janganlah kita terlalu membenci seseorang sehingga meletakkan darjat tanpa kemaafan kepada orang tersebut. Kita belum tahu takdir hidup kita. Manalah kita tahu, di suatu masa hidup kita dalam kesusahan dan tiada siapa yang mampu menolong kita, kecuali orang yang kita benci itu. Kerja Tuhan dalam menterbalikkan nasib manusia adalah sangat misteri. Jangan kita merendahkan kuasa Tuhan atas kemampuanNya melakukan apa sahaja yang tak terduga. Tidakkah kita seperti ditampar malu bila Tuhan menghantar orang itu untuk membantu kita?’

Jadi, apa masalahnya lagi jika kita ini sukar benar memaafkan orang lain? pesan seorang ustaz, jika kita gagal memaafkan seseorang, sedar atau tak sedar, kita seperti meletakkan diri kita lebih baik daripada orang tersebut. Kita rasa kita tak akan melakukan kesalahan seperti yang telah dilakukan oleh orang tersebut. Kita yakin kita tidak akan melakukan kesalahan apa2 kepada orang tersebut, sememangnya orang itu sahajalah satu2nya manusia yang paling teruk di dunia ini. Jika begitulah keyakinan kita, tidakkah kita takut Tuhan akan menterbalikkan nasib dan perasaan kita?

Hari ini, pada 12.12.12, saya sudah bersama dengan separuh lagi jiwa saya selama 1 tahun 1 bulan dan 1 hari. Selama tempoh perkahwinan setahun jagung ini, saya telah banyak belajar tentang kemaafan. Separuh jiwa saya itu banyak benar mengajar saya tentang kemaafan. Kemaafan berjaya menyuburkan kasih sayang kami berdua. Doakan kesuburan kasih sayang ini, kawanku. Terima kasih ucapan pendahuluan.

Indah, kawanku. Indah rupanya bila kita berjaya memaafkan seseorang, rasanya seperti batu besar itu pecah kecil2.. tiba2 bertukar menjadi kupu2 putih yang banyak berterbangan gembira mengelilingi kamu. Kupu2 itu seperti menyampaikan rahmat Tuhan yang tak terhingga. Segala saraf yang berselirat di dalam kepala kembali tersusun mengikut aturan yang benar. Fikiran tenang, jiwa aman.

Mari kita belajar memaafkan sesiapa sahaja. Atas sebab apa sahaja. Walau di mana sahaja dan bila2 sahaja. Semoga hidup kita sentiasa dirahmati Tuhan, Allah yang Maha Pengasih.

Sekian, sehingga berjumpa lagi.

Ada

Aku masih ada
tapi hati ku telah tiada
di simpan kemas
dek si pemberi bahagia

aku akan menulis kembali
untuk meraikan kehidupan

Yang memang patut diraikan
Atas nama besarnya Tuhan

Si pari2 dan bunga Fallonani

Dia merenung cahaya yang memercik dan bewarna warni itu. Dia tahu begitu jauh percikan itu datang puncanya. Tapi terasa seperti cahaya itu bermain-main betul2 di hadapan matanya. Kali ini dia mesti pergi!  Dia mesti merapati cahaya2 yang menghantuinya setiap kali matanya cuba pejam. Dia mengangkat tangan, perlahan2 melihat sayapnya terbuka. Warna sayapnya mula berubah perlahan2. Mula2 putih, kemudian biru laut, kemudian biru tua. Sudah habis didepakannya, sayapnya cukup warna dan kekuatan untuk terbang. Melompat dari balkoni, menyusuri taman yang penuh bunga2 Fallonani. Dia terdengar satu demi satu bunga2 Fallonani menjerit memanggilnya. Ah! dia tidak peduli.

“Jeritlah kamu semua! Jika Raja Falluso bertanya, beritahu kepadanya, aku mahu ke sana. Jika Permaisuri Fanaria menangis, beritahu padanya aku sayang padanya sampai dan lepas mati!”

Dia biarkan sahaja bunga2 Fallonani menjerit beramai2. Ada juga kedengaran bunga2 yang mengada-ngada itu menangis. Semakin kuat pula!

“Ah! Matilah, memang sah sebentar lagi Raja Falluso terjaga dari tidur dan akan keluar dari Kamar Fantali Utama! Hey! Bunga2 Fallonani, kenapa manja betul! Menyesal berkawan dengan kamu dari kecil! Kenapa kamu tidak bosan sahaja berkawan dengan aku? Bodoh betul la!”

Dia merungut2 seorang. Sambil menghela nafas, mencari tenaga untuk terbang lebih tinggi. Dia sudah berada setara dengan ketinggian pokok Fallala. Pokok yang paling tinggi di Kloni Fahfufah itu. Cukup tinggi sehingga boleh mencapai kapas2 awan yang pertama. Bunga2  Fallonani dilihat semakin mengecil. Sudah tidak kedengaran lagi mereka menangis. Dari atas, deretan bunga2 itu seperti hamparan permaidani yang bewarna-warni dan bersinar. Itu terjadi bila simbahan cahaya  Sang Dewa Cahaya mengenai kelopak bunga2 Fallonani. Ya! bunga Fallonani dan Sang Dewa Cahaya di atas sana adalah pasangan yang melengkapi! Pencipta keindahan yang sempurna.

“Ah! aku akan rindu kamu, wahai Fallonani yang mengada-ngada!”

Tiba2, yang dilihatnya seperti permaidani indah bercahaya itu tadi, berubah kelam perlahan2. Sinarnya semakin malap.

“Oh tidak! Kenapa sekarang!”

Dia perlahankan ayunan sayapnya. Membujurkan kaki betul2 seperti berkelakuan berdiri di udara. Perlahan-lahan dia melepaskan nafas untuk memperlahankan kelajuannya. Turun mengufuk perlahan-lahan, dan kemudian berada betul2 di tengah2 kerumunan bunga Fallonani yang manja campur mengada-ngada tadi. Hampir ratusan bunga Fallonani telah bertukar warna kelam. Lebam. Kebanyakan kelopaknya pula jatuh bertaburan di hamparan Taman Fantalani Utama itu. Air mata Fallonani penuh membasahi taman. Debunga emas Fallonani gugur bertaburan dan meresap dalam aliran air mata Fallonani, lalu hilang.

“Kan aku dah kata, kalau aku pergi jangan menangis. Bukannya kamu semua tak tahu, bila kamu menangis, tenaga kamu akan hilang, warna kamu akan pudar, debunga akan gugur, kelopak akan jatuh dan kamu akan mati!. Kamu tahu tak, kamu adalah bunga yang paling bodoh pernah berkawan dengan aku!”

“Wahai Puteri Fanalina, jangan pergi!

Tiba2 sekuntum bunga Fallonani yang paling hampir dengannya bersuara sambil menangis teresak2. Mengesat2 wajahnya yang bulat berdebunga emas yang tinggal sedikit itu dengan kelopaknya yang terakhir.

“Hidup kita jangan terlalu bergantung dengan sesuatu yang lain. Bergantung hidup  dengan sesuatu sama seperti meletakkan nyawa kita di luar jasad!”

Si Pari2 Fanalina menjerit menghambur kata2 yang dia sendiri tak menjangka boleh mengeluarkannya. Sejak akhir2 ini, dia merasakan dirinya semakin bijak.

Bunga2 Fallonani ketakutan, menangis beramai2, semakin kuat.

“Tapi, kamu tahu kan, hidup perlukan harapan. Kamu lah satu2nya harapan kami semua”. bunga Fallonani yang tadi bersuara menahan esakan.

“dan… hidup tanpa harapan boleh membawa mati” . Sambungnya lagi. Kelopaknya yang terakhir hampir jatuh.

“huh?”. Si Pari2 Fanalina terkesima. Tersedar akan sesuatu dan terhidu bau kesedihan.

Tidak sempat Si Pari2 Fanalina menyelamatkan kelopak terakhir yang jatuh dari bunga yang bersuara tadi. Bunga itu telah jatuh longlai di hadapannya. Betul2 pergi.

Si Pari2 Fanalina memeluk bunga Fallonani yang pergi. Bunga Fallonani yang lain turut rebah. Tiada lagi air mata dari Fallonani. Hanya ada air mata Si Pari2 Fanalina mengalir ke pipi, jatuh ke dasar taman, mengalir terus ke Sungai Fassila dan bertemu dengan air laut yang dingin.

Taman Fantalina Utama sunyi, Tiada satu pun bunyi.

Mimpi apa lagi?

Saya telah bertemu dengan  si cinta. Kejap tersimpan dalam hati. Merah dan bergetar.

kredit: 4everin

Jadi apa lagi yang saya mimpikan?

——- > si cinta. si cinta. si cinta. Setiap siang dan malam.

oh ya! tiba2 terfikir mahu menulis novel. Tentang si cinta. Klise. Ampun!!!