Cintailah lasykar lasykar itu..

Universiti ditutup seminggu kerana serangan makhluk yang buta hati dan perasaan bernama H1N1. Satu serangan terancang yang membekalkan sejuta kegelisahan kepada manusia rendahan sehingga sang menteri, tetapi ternyata ianya memberi sedikit rahmat untuk saya. Otak kanan lebih berkuasa apabila saya mendengar ia berkata ” bergerak lambatlah wahai manusia, masa untuk menghantar tugasan dan kerja tesis telah dilewatkan seminggu lagi, maka bersenang-senanglah kamu bersama kekasihmu itu “. Maka manusia yang obses dengan otak kanan ini sememangnya suka benar menurut kata hati tanpa berfikir masa depan dan logik.

“Kekasihku? Oh ya! . Si sombong yang bongkak itu kerana tidak mahu muncul di dalam mimpiku”

Si Andrea Hirata yang sewel itu, yang hanya membenarkan buku-buku tulisannya sahaja dibaca, di mimpi, diketawakan, diangan-angankan..
lasykar pelangi
Lasykar Pelangi adalah buku sulung kepada tetralogi si Andrea. Kemudian Sang Pemimpi, kemudian, Edensor dan terakhir Maryamah Karpov. Mengikut kaedah layanan inventori First In First Out (FIFO), sudah tentu secara harfiahnya, buku inilah yang sepatutnya dibaca terlebih dahulu. Kerana tidak sabar menunggu Lasykar Pelangi saya membaca Edensor terlebih dahulu, yang nyata memberikan pengajaran moral kepada saya: Langkah bendul adalah satu perbuatan orang yang terburu-buru dan sangat tidak menyenangkan.

Lasykar Pelangi adalah kisah hidup Andrea Hirata semasa kecil,  yang tinggal di sebuah pulau bersempadankan Selat Melaka di bawah jajahan Indonesia bernama Belitong. Majoriti penduduk Belitong adalah orang melayu dan sedikit kaum cina. Lasykar Pelangi pula adalah gelaran kepada 10 orang anak-anak Belitong yang mewarnakan pulau yang miskin penuh pekerja kopra, kepenatan, bergaji seadanya menjadi  dunia indah, misteri dan lucu. Kisah Ikal (Andrea), Lintang, Mahar, Sahara, A kiong, Syahdan, Kucai, Tripani, Samson dan Harun adalah kecantikan yang tidak terperi disebalik kepayahan menuntut ilmu di Sekolah Rendah Muhammadiyah. Sekolah tua yang menunggu angin meniupnya untuk jatuh berderai dan yang tidak meminta yuran belajar melainkan hanya beras sekampit untuk gurunya. Bersama Bu Mus dan Pak Harfan, seperti kemiskinan dan kepayahan hidup, tidak langsung mengenalkan kosa kata mustahil kepada anak-anak lasykar Pelangi.

Kesemua sahabatnya itu dikisahkan dengan penuh ayat lucu tetapi boleh pula saya merasa hiba dan sangat terkesan betapa menjadi susah dan melarat itu adalah ubat bius kepada segala kesakitan atas dugaan tuhan. Salah seorang dari 10 lasykar, iaitu Lintang mendapat bab khusus dalam buku ini kerana dia adalah makhluk yang paling genius pernah ditemui oleh Andrea. Lintang adalah manusia miskin yang mengayuh basikal 20 kilometer sehari untuk kesekolah setiap hari. Dia adalah manusia yang terpesona dengan Teori Edwin Hubble yang menyatakan alam mengembang dan makin membesar  dan Nicolaus Copernicus dan Isaac Newton dan lagi dan lagi. Untuk soalan 18 x 14 x 23 + 11 + 14 x 16 x 7 dengan beberapa ketika, Lintang menjawab “651952 !”

Cerita-cerita Andrea seperti mengingatkan saya bahawa ilmu itu seperti raksaksa besar perkasa yang mampu mengangkat manusia ketingkat-tingkat yang berlainan warna dan ketinggian. Selain ilmu, ceritanya seperti mahu memberitahu, cinta berada di setiap hala pernafasan. Cinta ada pada 10 anak lasykar pelangi, guru, pokok filicium, buaya Bodenga, pelepah kelapa, bangunan buruk, Tuk Bayan dukun boleh terbang, bunga renek kecil-kecil, pelangi, gunung dan laut.

Benar kata Andrea,

“..kerja tuhan tidak boleh diramal…nasib, usaha dan takdir bagaikan tiga bukit biru samar-samar yang memeluk manusia dalam lena”.

Pada satu tahap, nasib 10 anak-anak itu sudah ditentukan, tetapi nasib Lintang yang paling sakit untuk diterima akal.

Buku ini sangat sesuai dibaca oleh manusia yang sedang belajar di dalam kelas yang besar, kerusi lembut, mempunyai penghawa dingin yang nyaman dan dihadapannya muncul dengan anggun layar putih ajaib bersama objek bernama overhead projector sambil menyumpah-nyumpah di dalam dihati membenci rupa guru yang tidak rupawan.

Advertisements

Terperangkap bersama makhluk tuhan paling kejam dan hodoh

Pertimbangkan situasi ini.

Anda ditawarkan satu hadiah yang anda idam-idam kan selama ini. Katakan apa sahaja anda mahukan. Hajat anda akan ditunaikan.Tetapi dengan syarat, anda perlu berada di sebuah pulau dalam satu jangka masa tertentu bersama dengan satu makhluk yang tidak tercapai akal kemahahodohannya.

Setelah berkira-kira, anda bersetuju dan bermulalah babak ngeri dalam hidup anda.

Dadanya bersisik, seluruh badan berbulu hitam, beberapa bahagian dimana tidak kelihatan bulu dibadan, kelihatan pula kudis dan nanah yang masih mekar masak belum pecah, penuh merayap kutu dibadan, kepalanya bertanduk tiga , matanya bulat merah menyala, kening bertakup panjang sampai ke telinga, tiada gigi, yang ada taring menyeringai dimerata-rata mulut. Bau badannya, ya tuhan! Bila dia berendam, ikan dilautan terus mati dan jika diberi pilihan untuk hidup kali kedua, pun ikan itu tidak mahu mengambil risiko untuk hidup semula.

Tidak tahu mahu dikategorikan makhluk jenis apakah ini. Sekali pandang seperti manusia yang berevolusi gorila campur burung Harpy campur raksaksa zaman ultraman campur hantu penanggal pun ada.

Pemandangan wajahnya sangat mengerikan apabila dia cuba sekali-sekala untuk senyum. Apabila dia menjerit, seluruh lautan bergegar ketakutan. Guruh pun malu berbunyi lagi. Sudahlah hodoh, berperangai buruk pula. Kuat memerintah, membuli, mengamuk tak tentu pasal, tidak sedar diri wajah hodoh, bongkak pula. Jauh sekali mahu menghormati anda.

Seluruh hidup anda dipulau itu harus mengabdikan diri kepadanya. Menurut segala kehendaknya. Beberapa kali dia cuba menggigit tangan anda yang berkulit halus mulus itu, kerana anda lambat menyuakan makanan. Paling mengazabkan bila dia menyuruh anda membersihkan kudis dan nanah yang pecah meleleh sambil tangannya yang berbulu itu merayap keseluruh badan anda.

Anda ketakutan dan sangat kepenatan  seperti tidak mampu lagi meneruskan hidup.

Apa anda akan lakukan ?

A. Lari

Tidak peduli apa yang akan makan anda pula dilautan, anda lari, berenang jauh dari pulau tersebut. (Anda tidak akan dapat hadiah idaman)

B. Bunuh

Membuat perancangan yang rapi dan membunuhnya secara halus. (Anda tidak akan dapat hadiah idaman)

C. Ceramah

Berceramah kepadanya dengan harapan dia berubah. Tajuk ceramah : Orang hodoh tidak boleh janganlah kita takbur dan bongkak . (Rasanya anda tidak akan dapat hadiah idaman)

D. Cinta

Cuba goda dia. manalah tahu kerana magik cinta, tiba2 hatinya lembik macam sabun Lux.  (kemungkinan anda akan dapat hadiah idaman)

E. Doa

Berdoa kepada tuhan setiap saat supaya dia bertukar menjadi si arnab putih berbulu gebu yang comel. (comfirm dapat hadiah idaman)

F. Bertahan

Turut sahaja katanya. Tahan nafas tutup telinga. Harungi sahaja apa yang akan berlaku antara anda dan dia. Lagipun bukannya anda akan bersama dengannya selama-lamanya. (comfirm dapat hadiah idaman)

Kekasihku datang kembali

Gagah perkasa menuju kemari
Sudah kusediakan tuala mandi
bermalam sahajalah  di sini
ke mana lagi kau mahu pergi

Tahukah kau bila kau pergi
Aku lupa memberus gigi
daki di badan berkata keji
mujur juga aku tak mati

Bila kau ada disini
boleh lah menyanyi sekali
lagu mudah kepunyaan zee avi
Gembira menari sampai ke pagi

hug-8720

p/s : terima kasih sahabat baik, kerana menghantar kekasih ku padaku

Saya mahu belajar menjadi jujur

Ultraman ketiga agak kurang berperi keguruan. Tidak ada empati langsung kepada kelopak mata saya yang selalu gagal tegak terbuka.

 

1 jam mendengar + 1 jam berpura mendengar  + 1 jam bermimpi mendengar = 3 jam kuliah

 

Inilah momen keazaban menuntut ilmu yang yang saya sangat tidak mahu. Menipu untuk kelihatan terpesona dengan apa yang disampaikan oleh pemberi ilmu. 

 

Mahu membuat perkara yang jujur sahaja. Penat benar bepura-pura  hari ini. 

 

Mengulang bacaan Gulat di Jakarta, lebih jujur rasanya. Buku ini dibelikan oleh seorang rakan yang menjenamakan dirinya sebagai ulat didalam tong. Itukah maksudnya, jika diMelayukan wahai sang ulat ? 🙂

 

gulat

 

Setelah menekan-nekan google yang amat geliga, gulat itu maksudnya dalam bahasa rakyat Obama  ‘wrestling’. Dan maksudnya .. ‘bergomol, bergelut, berjuang’ kalau dalam bahasa rakyat Najib (Tahniah! Dah 100 hari. Hadiah untuk saya tak ade ke?). 

 

Kisahnya adalah tentang manusia bernama Sulaiman yang hidup di zaman kemudaratan Indonesia. Menjadi pelarian setelah lari dari kampung yang bergolak, dua orang anaknya mati ditembak tembus. Lari ke Jakarta bersama isterinya Mina yang setia. Sesekali menumpang trak yang lalu, selebihnya berjalan kaki sahaja. Di Jakarta,   Sulaiman memberi makan pakai isteri dan anak dengan wang bekerja di bengkel pembaikan mobil. Kemudian dan seterusnya, yang baik-baik sahaja berlaku kepada Sulaiman yang gigih dan jujur bergulat. Dapat pula membuka bengkelnya sendiri, hasil dari modal yang diberikan majikannya dan dapat pula menggajikan kenek lain. (Nota : kenek = pembantu). Nasib berubah dari orang kampung yang bersawah kepada orang kota yang berharta.

 

Suatu hari, Sulaiman diserang oleh bajingan yang menyimpan dendam silam. Bergelut. Barang bengkel menjadi curian. Sulaiman jatuh sakit, perusahaanya lumpuh. Perusahaannya diuruskan oleh Mijo dan Dul, keneknya yang tinggal, semasa kegeringannya. Menyedari ketaatan keneknya itu, Sulaiman bercadang berkongsi bahagian perusahaan dengan mereka, tetapi ditentang oleh Mina. Mina merasakan keputusannya itu, tidak berpihak kepadanya dan anak-anak. Perselisihan berpanjangan tanpa penyelesaian. Bengkel diserang lagi, dan Mijo terbunuh kerana mahu menyelamatkan Sulaiman. Sulaiman kecewa kerana tidak sempat menyatakan hasrat membahagikan perusahaan kepada Mijo, lantas terus menyerahkan sebahagian perusahaan kepada Dul tanpa persetujuan Mina. Kemudian, Sulaiman jatuh sakit semula, bersama perselisihan dengan Mina yang masih belum selesai. Doktor menasihatkan, yang Sulaiman tidak boleh terlalu diganggu. 

 

Mina menyedari kesilapannya. Menguruskan perusahaan dengan sebaiknya bersama Dul dan kenek yang lain sambil menahan rasa bersalah kerana tidak berdaya meminta ampun keengkarannya kepada Sulaiman. Akhirnya, Mina meninggal dunia dalam penyelasan tak terampun. 

 

Kemudiannnya Sulaiman pergi juga setelah menjerit memanggil nama ‘Mina’

 

“Ia sudah pergi- pergi untuk selama-lamanya. Sulaiman tak sampai melihat keinginannya menjadi kenyataan- persahabatan, keadilan bekerja dan kerelaaan yang harus menjadi suasana besar…. namun ia telah kerjakan apa yang baik bagi persahabatan, keadilan kerja dan kerelaan. Dan dia tidak pernah merasa rugi dalam hidupnya.”

 

Saya menceritakan keseluruhan kisah buku ini sehingga habis kerana saya mengesyaki yang buku ini sangat payah dijumpai dipasaran terbuka. Hanya makhluk yang aneh seperti ulat di dalam tong itu sahaja yang berjaya menjumpainya. Terima kasih ye..

 

Apa yang saya jumpai dari buku ini ?

 

Kata Pram : “Kita bekerja bukan untuk kita sendiri”

 

Secara jujurnya, sekali-sekala saya merasa kecewa bila duit gaji kepunyaan saya dipecah-pecah kepada orang lain. Ayat Pram itu, ternyata mengetuk kepala saya yang sangat gemar lupa diri.


Makhluk Kecil Tapi Signifikan

Setelah dengan penuh azab menyudahkan tugasan yang diperintah oleh Ultraman Kedua, saya berkira-kira untuk mengemas sahaja buku-buku dan artikel yang berselerak diatas meja. Dan berniat tidak mahu menyentuhnya dalam masa beberapa hari. Saya ingin menikmati keindahan susunan buku yang bewarna warni lebih lama seperti menikmati keindahan warna warni Kek Lapis Sarawak sebelum ditelan dengan sekali kunyah.

 

Semasa menyusun,  sebuah buku bewarna biru yang kecil sahaja saiznya menganggu kesimetrian susunan buku-buku lain.  Muka hadapan buku nampak sangat lurus dan ikhlas sahaja. Tidak seperti buku-buku lain yang kelihatan besar dan sombong kerana kecantikan dan ilmunya. Beberapa kali buku ini semacam menonjol-nonjolkan diri dimata , tetapi baru kali ini saya mendapat petunjuk dan hidayah untuk membukanya.

DSC00949

Ianya dipinjamkan oleh seorang rakan yang sedang bertempur dengan satu mahkluk sakti yang besar lagi mengerikan bernama PHD.

 

Didalamnya adalah satu gerombolan cerita-cerita santai tentang perjuangan seorang manusia (penulis itu sendiri) mencapai tahap pengikhtirafan akademik di peringkat PHD. Ayat pertama dalam bab 1 di bawah tajuk ‘Mereka yang Menyumbang‘  ialah ‘ jika ada insan yang paling memberikan kekuatan untuk melakukan sesuatu yang kelihatan sukar dan mustahil maka beliau adalah Tun Dr. Mahathir Mohamad ‘. Ceritanya ‘ Tun berkata “perkara yang sukar jika dilakukan secara berulang-ulang, berhati-hati atau dengan disiplin yang tinggi, maka setiap orang boleh mencapai kejayaan ” . 

 

Seterusnya bab-bab lain dalam buku itu bercerita tentang kisah-kisah manusia (yang kebanyakannya adalah rakan-rakannya) yang menyeksa jiwa dan raga untuk meletakkan gelaran DR. pada pangkal nama.  Walaupun santai, ceritanya bukan seperti omong-omong kosong dikedai kopi. Tajuk buku Kecil tapi Signifikan itu sangat tidak glemer pada perkiraan awal saya tetapi sangat menepati kesemua isi perut buku. (Setelah mengoogle, saya dapati penulis sememangnya tersangat obses dengan perkataan signifikan). Pencapaian penulis pada beberapa peringkat sangat menggelorakan jiwa bila membacanya. Beliau merupakan pelajar terbaik di peringkat diploma dan kedua terbaik di peringkat ijazah pertama, sarjana dihabiskan sebulan lebih awal dan menamatkan pengajian kedoktoran dalam 32 bulan yang merupakan salah satu rekod terawal bagi Fakulti Perakaunan, Universiti Wales, Bangor. Sungguh, beliau ini sekali berpaling sepertinya mahu memasukkan diri kedalam bakul besar dan berapungan tinggi-tinggi sendirian.

 

Sungguh tersasar jika sekali pandang.

 

Yang dinamakan orang berpelajaran tinggi seperti beliau itu sememangnya berkelakuan seperti padi bunting, berat, tertunduk dan hampir mencium lumpur bendang yang berbau aneh. Beliau bersungguh mahu menolong pembaca dan memberi bermacam tips sepanjang bernafas sebagai pelajar kedoktoran seperti bagaimana mahu menguasai penyelia tesis yang dianggapnya makhluk yang penuh misteri. Kemudiannya mengingatkan kita betapa perbuatan baik dan memudahkan orang lain, akan memudahkan perjalanan hidup dan pembelajaran kita. Usaha, membantu orang lain, merendah diri, dan tidak dapat dinafikan, nasib yang baik dibuktikan sebagai penyumbang kepada kejayaan beliau.

 

Sejak mengetahui kewujudan universiti, saya tidak terbayang saya akan melepasi pagarnya. Selepas habis ijazah pertama, saya tidak terbayang menyambung keperingkat sarjana. Ditahap tergagau teraba mencari arah diperingkat sarjana sekarang ini, tidak terbayang dengan jelas adakah saya ada kekuatan untuk memanjat keperingkat PHD. Buku ini sekurang-kurangnya membenarkan saya bermimpi mencapai PHD sekali malam dalam sebulan.

 

Mungkin bila terjaga, badan berpeluh ketakutan.

 

Nota : Penulis bernama Prof. Dr. Muhd Kamil bin Ibrahim, seorang profesor perakaunan dan ketua kepada UITM-ACCA Financial Reporting Repoting Research Center. Sebuah lagi buku best selling tulisannya : Travelog haji dicadangkan oleh sahabat baik, tapi belum berkesempatan membelinya. Blognya juga sangat santai bila dibaca.

 

Selamat Sore, Banten..

Di suatu petang yang hening dan beku, di perpustakaan, entah siapa pula manusia yang berniat hasad dengki melihat ketawadukan aku mencari bahan tesis. Seperti sengaja meninggalkan satu objek kecil tapi signifikan bergentayangan di laluan antara rak-rak buku yang sekali imbas kelihatan seperti transformer besar sedang berbaris. Kerja tesis dilupakan dengan sewenang-wenangnya, terus sahaja aku mengambilnya, terus sahaja mencium mesin pinjaman buku dan terus sahaja pulang ke rumahku syurgaku.

 

Sambil bergolek-golek diatas katil ala-ala gadis ayu yang sedang bergayut bertelefonan dengan jejaka kegilaan, aku menghabiskan bacaan. 

 

Kisahnya tentang pergelutan hidup masyarakat di wilayah Banten Selatan yang ditindas tidak hanya oleh kaum kolonial, tetapi juga dari kegilaan pemberontak yang di beri gelaran Darul Islam. Dengan berlatar belakangkan  hidup Ranta seorang manusia miskin, tertindas dan akhirnya menjadi sang Lurah (Lurah = ketua kampung/daerah).  Pada asalnya Ranta sentiasa diperhambakan oleh seorang lurah di daerah itu yang bernama Juragan Musa. Setelah satu peristiwa, barulah diketahui yang Juragan Musa itu sebenarnya sangat dekat dengan pemberontak Darul Islam. Dengan takdir dan nasib yang berat pada Ranta, akhirnya Ranta dilantik menjadi Lurah, seterusnya memimpin dan berjuang menangani pemberontakan.

 

Ini adalah pengalaman ketiga membaca tulisan Pak Pram. Selepas Rumah Kaca dan Gulat di Jakarta. Bukunya nipis sahaja. Seperti tahap Gulat di Jakarta sahaja. Tetapi lebih seksa dibaca kerana buku ini adalah edaran terus dari Indonesia. Makanya, terpaksalah aku melanggar banyak perkataan yang pelik dan aneh bagi orang Malaysia seperti kaos, bibit karet, kuras, kopor, kuntul, balok dan macam-macam lagi. Semakin aku terjumpa perkataan yang pelik dan aneh, semakin pula aku merasa tidak patriotik pada Bahasa Malaysia. Adapun Bahasa Indonesia itu kelihatannya pelik dan aneh, dan tidak canggih bunyinya, tetapi aku rasakan ianya sangat asli dan manis. Bunyinya tidak seperti bunyi Belanda yang bertunggu tangga berkurun lamanya. Tidak seperti bahasa kita yang sangat Ratu Elizebath bila terjumpa perkataan fantasi, intepretasi, dedikasi, hipokrasi, demokrasi dan yang sewaktu dengannnya (Aku mula mengesyaki yang perkataan nasi itu, mungkin juga Ratu Elizebath pernah menyebutnya)

 

Walaupun aku semakin kasihan kepada penyanyi Malaysia bila mendengar lagu-lagu Indonesia bergelimpangan di semua steyen radio Malaysia, tetapi aku dengan rela hati mengaku yang lirik lagu Indonesia itu menyimpan bahasa yang sangat sejati dan cantik. Tidak seperti lirik-lirik sesetengah lagu Malaysia : “papa jahat.. papa jahat ” . Aduh!

 

Berbalik kepada Pram. 

 

Sebelum kenal tulisan Pak Pram. Aku sangkakan seseorang manusia yang normal itu perlu mempunyai tahap pemikiran paranormal barulah boleh menghayati tulisannya. Rupanya tidak sama sekali. Cerita-cerita Pram itu ditulis dengan bahasa dan kisah yang mudah-mudah sahaja. Tetapi melalui kemudahan itu lah kita seperti mendengar dia menjerit berjuang mencari kebebasan, memprotes, dan berkempen menentang kebobrokan manusia.

 

Mudah. Manis. Berjuang.

 banten

 

“Di mana-mana aku selalu dengar: yang benar juga akhirnya yang menang. Itu benar; benar sama sekali. Tapi kapan? Kebenaran tidak datang dari langit, dia mesti diperjuangkan untuk menjadi benar”  – Pramoedya Ananta Toer