Menangis selagi mahu

Saya adalah manusia yang cengeng. Entah dari keturunan mana. Owh! Lupa! Sudah tentu dari nenek yang cengeng juga (rujuk entri dulu2). Nenek saya semakin kronik. Gila! Kelentung kelentang mengemas pinggan mangkuk pukul 4 pagi! Bila kena tegur, dia nangis teresak2!Tragis!

Saya rasa, sebenarnya saya adalah seorang cucu yang tidak digemari semasa kecil walaupun pada mulanya adalah cucu yang ditunggu2 kelahirannya. Cucu pertama seorang ustaz yang terkenal kerana paling garang tak dapat diampun di kampung. Seorang pakar rujuk dalam hal2 agama, perparitan dan sawah bendang. Gila kalau tak tunggu! Masing2 dah ready beras gula. Rupanya, bila keluar, dah la berkulit kelam, kuat memekak pula.

Mak pernah cerita, dengan izin Tuhan, selalunya air bacaan ayat2 suci oleh arwah tok mujarab untuk sebarang kesakitan dan kesedihan di kampung. Tapi sukar benar mujarab untuk saya. Saya hanya diam apabila tidur dan menyusu. Pelbagai cara dilakukan oleh keluarga bersekutu. Orang2 kampung juga turut susah hati. Kena sembur dengan air macam2. Tidurkan saya atas talam. Bawah talam letak pisau. Nak halau jin katanya. Batang buaian, guna batang tebu (yang ni tak faham kenapa).

Menangis, menangis dan menangis tak berhenti.

Sehingga besar panjang, menangis menjadi kepakaran saya dalam segala hal. Dulu semasa masih teruja mula2 mengajar, saya baling buku, pen segala bagai dan menjerit kepada pelajar yang menyakitkan hati. Tapi sekarang saya dah penat. Saya menangis sahaja. Bertahan. Dan wajah pelajar yang membencikan akan lenyap seperti lenyapnya kabus bila matahari menjerit. Dalam kes ini, menangis membantu saya menjadi orang yang lebih bersabar dan tidak melakukan perkara2 bodoh (percayalah, orang yang menyakitkan hati kita takkan lama muncul dalam hidup kita, jadi tak payah nak sakit hati sangat lama2).

Banyak masalah saya selesai dengan menangis. Kalaupun tak selesai, saya rasa macam selesai juga. Saya maklum ramai orang seperti saya. Terutamanya perempuan. Ya, perempuan kuat menangis, 5 kali ganda dari lelaki (Walter, 2007). Seorang perempuan yang sukar menangis, bagi saya adalah seperti makhluk daripada planet lain (mereka dengan makhluk bertelinga capang dan berantena mata terjojol lebih kurang sama sahaja). Saya tak pernah fikir lelaki yang menangis adalah lelaki yang lemah dan lemau. Mereka sebenarnya nampak jujur dan tulus.

Bagi saya, menangis bukan menunjukkan kelemahan diri, Menangis adalah satu antibodi penguat diri dan menjadi pembersih kepada segala perasaan yang berat dalam diri. Seperti udara yang bersih selepas hujan, menangis mampu membersihkan wajah, hati jiwa raga. Ya, saya tak malu mengaku saya seorang cengeng. Saya menangis kerana banyak perkara. Menangis kerana marah, menangis kerana kehilangan, menangis kerana ditinggalkan, menangis kerana gembira, menangis kerana sedih, menangis kerana difitnah, menangis kerana rindu, menangis kerana cinta, menangis kerana sunyi, menangis kerana tertekan, menangis kerana sakit, menangis kerana penat, menangis kerana tersilap, menangis kerana terlepas, menangis .. menangis dan menangis.

Air mata mungkin adalah instrumen penting dalam meluahkan perasaan (jangan lepaskan perasaan dengan memaki dan menyepak orang ok! Itu tak sihat!). Bila kamu belum menangis, maknanya kamu belum melepaskan isi hati sepenuh2nya. Hati kamu berat. Hati kamu terlindung. Hati kamu berkabut. Lama2 hati kamu akan tebal, keras dan tidak sensitif. Kamu akan jadi seperti Abu Jahal (contoh klasik) atau macam Gaddafi (contoh kontemporari). Keras mengalahkan keluli!

Jadi, kawanku. Jangan malu untuk menangis. Menangis sahaja jika mahu.

Tuhan mendengar tangisan kamu.

Menangis juga untuk Palestin (kredit : zunia.org)

Sekian, dari saya yang cengeng.

Dup dap dup dap

Ada satu hari, hati kamu tiba2 berdup dap dup dap. Dan kamu pun menyentuh dada. Merasai kebenaran debaran tersebut. Degup jantung makin laju, kadang2 membahang panas meresap keseluruh jiwa. Owh! Tuhan berikan perasaan gelora ketika itu. Sebagai tanda apakah? Sebagai persediaan apakah? Kamu pun tertanya2 kehairanan.

Kamu sangka hari itu akan menjadi hari yang luar biasa, seperti luar biasanya degupan jantung kamu yang Tuhan hembuskan.

Lalu kamu pun berharap2 yang manis2 sahaja berlaku. Yang hip hop pip pop sahaja yang akan berlaku. Kamu merasakan mungkin kamu akan tersepak seketul emas paun ketika berjalan di semak. Atau mungkin kamu akan menang sebuah peti sejuk dalam cabutan bertuah di pasaraya. Oh! Lebih melankolik, pada hari itulah agaknya kamu akhirnya berjumpa buat pertama kali seseorang yang memegang jiwa kamu yang lagi separuh. Akhirnya, hari itulah jiwa kamu menjadi sempurna dan stabil.Tidak meracau2.

Tidak juga rupanya. Tidak berlaku.

Sehingga malam menyelimutkan tubuh kamu, kamu menunggu perkara2 manis yang kamu harapkan. Kamu hampir kecewa. Kamu memujuk hati, jika Tuhan tidak mahu beri yang manis2 pada kamu beri kan sahaja berita manis kepada yang lain. Sekurang2nya mungkin berita harga petrol turun, tanda rakyat didahulukan.

Tidak berlaku juga.

Malam itu, kamu tidur bermimpikan puisi sayu. Kecewa. Sebagai diri kamu. Sebagai rakyat juga.

Kenapalah Tuhan beri perasaan ini tapi tidak pula dapat diraikan?

Ada satu permohonan

Dengan ini, saya dengan rendah diri dan hati menyusun sepuluh jari ingin membuat satu permohonan.

Kepada kenalan yang mengenali saya secara peribadi: mohon tidak dihebohkan alamat blog ini kepada siapa2 sahaja yang mengenali saya secara harfiah. Yang sememangnya kenal saya dari segi saiz, ketinggian dan rupa paras. Serta buruk baik peri laku secara langsung. Yang tahu dimana rumah saya atau tempat bekerja saya. Jika perlu buangkan link blog ini dari blog kamu, maka buanglah. Saya tak akan berkecil hati. Hati saya sememangnya kecil.

Jika tuan dan puan ingin tahu kenapa, kerana saya malu. Kadang2 saya suka meracau2 dalam blog ini. Meluahkan perasaan tak tentu hala. Perbuatan ini sesungguhnya amat memalukan dan tidak sesuai bagi seorang perempuan melayu yang sepatutnya tunduk malu menyimpan dan menahan perasaan dan hanya duduk tersimpuh di ceruk dapur sahaja.

Semoga permohanan saya dipertimbangkan dengan sewajarnya oleh pihak tuan dan puan.

Sekian, terima kasih.

Yang Benar,
Perempuan yang malu-malu.

Mengulas buku secara berkumpulan

Salam semua,

Selamat pulang bercuti. Saya juga baru pulang bercuti bersuka ria. Duit telah melompat dari poket dengan banyaknya! Yey! Lepas ni, boleh duduk diam2 baca buku banyak2 dan makan nasi lauk ikan kering hari2.

Entri kali ini adalah ulasan buku secara berkumpulan. Pada awalnya saya mahu menulis entri setiap satu bagi setiap buku. Tapi apakan daya, tuntutan kerja lebih bermaharalela!

DEAR JOHN – NICHOLAS SPARKS

Ini adalah pertama kali pengalaman saya membaca buku Nicholas Sparks walaupun sudah banyak saya tonton filem2 adaptasi novelnya. Berdasarkan filem2 yang saya tonton, saya sudah menjangka Encik Sparks adalah penulis buku chic-lit tetapi lebih matang. Meneliti makna hidup dengan lebih teliti. Penceritaan yang mudah, tak berbelit dan terjangka. Saya dapat menjangka pengakhiran kisah ini walaupun penulis melakukan twist. Tetapi pengakhiran yang agak drama. Pengakhiran yang diubah dalam filemnya pula agak terlalu bagus untuk menjadi benar. Yang menarik perhatian saya ialah bukan kisah cinta antara John dan Savannah tetapi tentang hubungan kasih-dingin antara John dan ayahnya yang menghidap sindrom aspeger. Kalau cerita bab2 ayah yang pendiam ni memang saya cepat tersentuh (cengeng!).

TUESDAYS WITH MORRIE – MITCH ALBOM
(Terjemahan oleh PTS)

Saya sepatutnya membaca buku ini dalam versi Bahasa Inggeris, kerana tak terasa berapa feel membacanya dalam bahasa ibunda. Terjemahan yang agak kaku, tetapi tak apalah. Sekurang2nya ada usaha menterjemah buku ke bahasa yang paling indah ni!

Buku ini adalah tentang pengalaman sebenar seorang bekas pelajar (penulis) bersama profesornya yang menunggu saat kematian apabila disahkan menghidap penyakit saraf amyotrophic lateral sclerosis. Buku Ini adalah pendapat sekular tentang kematian. Hampir sama sahaja dengan pendapat islami. Tidaklah disentuh tentang ilmu ketauhidan. Sudah tentu. Beberapa falsafah hidup yang lain sangat menyentuh dan menyedar. Tentang dunia, mengasihi diri sendiri, penyesalan, keluarga, perasaan, takut akan tua, duit, cinta, perkahwinan, budaya, kemaafan, hari yang sempurna dan perpisahan.

(Ah! kalaulah saya banyak masa untuk bercerita tentang buku ini dengan lebih panjang!)

PADANG BULAN – ANDREA HIRATA

Sungguh saya tak percaya saya membuat ulasan tentang buku Andrea Hirata ini bersama2 dengan buku2 lain! Cinta ku telah berbelah bahagi!

Buku ini adalah berkenaan kisah perit hidup Enong @ Maryamah di kampung Belitong dan kisah lanjutan Ikal dengan usaha gilanya mengejar cinta A ling. Entah kenapa saya rasa cerita ini bergerak lambat. Entah kenapa metafora Andrea kali ini gagal meraih kasih saya sepenuhnya. Tetapi, kisah kesengsaraan dan kekuatan Enong menyentuh hati, dan Detektif M.Nur memang gila. Saya hampir mual dengan kisahnya merebut cinta A Ling. Saya tak merasai cinta, melainkan kebodohan dalam keazaman. Adakah ini cemburu? Ah! ah!

CINTA DALAM GELAS – ANDREA HIRATA

Saya sepatutnya akan teruja untuk minum kopi dan belajar main catur bila membaca buku ini. Tetapi tidak. Apa yang lebih mengujakan saya bagaimana Andrea telah mengangkat martabat wanita melalui kisah lanjutan Enong @ Maryamah yang lebih fokus. Perjuangannya melawan bekas suaminya dalam acara catur adalah aturan cerita yang sangat masterpiece dalam buku ini. Dalam kekolotan orang2 kampung Belitong terhadap hak wanita dalam Islam dan budaya mereka, Andrea berjaya memberikan sisi manis bagi setiap karakter manusia2 di kampungnya.

Saya membaca buku ini semasa demam Piala AFF, ketika ada rakyat Indonesia mendoakan rakyat Malaysia masuk neraka, tetapi saya tetap terus membaca bukunya dengan penuh rasa cinta. Cinta itu memang aneh.

TIGA KALI SEMINGGU – FAISAL TEHRANI

Buku ini adalah antologi cerpen2 FT yang terbaru. Ada 15 cerpen kesemuanya. Secara keseluruhan, FT menulis tentang betapa hebat apa sahaja yang dimilik kita (beliau). Ini termasuk Bahasa Melayu, Bangsa Melayu, Seni pembuatan Rumah Melayu, dan Islam tentunya. Kebanyakan cerpen berkaitan Islam adalah cubaan membetulkan tanggapan terhadap Islam. Sedikit kelainan, ada beberapa cerpen mempunyai unsur seks yang ditulis dengan cara yang unik, tidak ghairah dan menyedar.

Yang paling melekat di hati adalah cerpen Rindu Ini Luar Biasa (tentang perjuangan Bahasa Melayu) dan Kegawatan (tentang kemungkinan berlaku bencana di Malaysia). Imaginasi FT dalam Kegawatan sangat tak terkawal sebagai metafora kepada kekuasaan Allah. Imaginasi melampau dan begitu terperinci! Sangat terkejut saya membacanya tetapi semuanya boleh berlaku!

FT adalah antara aset sastera Malaysia yang sangat berharga! Oh Tuhan, rahmatilah kehidupannya sentiasa!

———–

Ok. jumpa lagi!