Sumpah yang dirahmati Tuhan

Sejak saya mula kenal dengan perkataan ‘cita-cita’, semasa tadika, pekerjaan yang bermaharajalela di dalam otak saya adalah guru. Ketika itu, saya telah membuat kesimpulan bahawa hanya ada tiga jenis cita-cita sahaja yang boleh dipilih. Nurse, polis dan guru. Saya takut darah maka tak akan pilih nurse. Saya tak kuat berlari, maka tak akan pilih polis. Pilihan yang tinggal, hanya guru. Ya, saya mesti jadi guru.

Semakin tahun, semakin membesar, barulah saya tahu, rupanya ada banyak lagi yang boleh di cita-cita kan. Setiap tahun saya tulis biodata dengan cita-cita yang berlainan. Sekejap nak jadi arkitek. Sekejap nak jadi jurutera. Sekejap nak jadi peramugari (tak sedar diri pendek). Sekejap nak jadi pilot. Ada sekali tu saya pernah teringin nak jadi ahli kaji barang purba. Orang putih kata archeologist.

Jadi, cita-cita mahu menjadi guru tidak lagi menjadi agenda utama hidup saya. Saya seakan2 mahu menjadi apa sahaja di dunia ini kecuali menjadi guru. Kerana, bagi saya pekerjaan yang saya cita-citakan itu begitu gah super hebat. Sekiranya saya jadi jurutera, atau peramugari, atau pilot atau ahli kaji barang purba saya mungkin orang yang pertama dari kampung saya yang menjawat pekerjaan itu. Gila tak bangga! Mana nak dapat ada seorang ahli kaji barang purba yang muncul dari kampung berlumpur hanyir sawah. Saya! Saya!

Jadi guru? Apa kelas! Gaji rendah! Tak unik. Tak mencabar! Tak macam jadi ahli kaji barang purba!

———-

Sepanjang hidup, sejak tadika hingga mana2 tahap kamu belajar sekarang, sekurang2nya ada seorang guru yang kamu akan ingat sampai bila2. Ada beberapa sebab. Mungkin kerana rupa parasnya, menawan atau perilakunya yang budiman. Mungkin kerana rupa parasnya yang menakutkan atau perilakunya yang mengerikan. Mungkin kerana dia pernah merotan tapak tangan kamu kerana kuku panjang atau dia pernah memijak perut kamu di dalam stor sukan (kerana apakah itu?). Yang lebih besar, mungkin kerana dia telah meletakkan kamu di mana kamu berada sekarang.

Dia lah yang paling saya ingati. Bertubuh langsing tinggi lampai. Setiap hari memakai baju kurung moden yang cantik. Hidung mancung bak seludang, pipi licin bak pauh dilayang. Memakai selendang yang hanya diletakkan sahaja di kepala menampakkan jambul rambut ikal sederhana hitam pekat di atas dahi. Dari belakang nampak sanggulnya bergetar2 disebalik selendangnya yang jarang. Dia lah yang paling saya kagumi. Cantik. Bijak. Penyayang. Ilmu yang diajarnya begitu mudah diserap seperti air yang dicurah ke atas span gosok kereta. Sempurna. Apabila dia tertinggal buku teks, dia mampu mengingati mukasurat latihan yang dimaksudkan, dengan nombor soalan dengan erata ejaan dan percetakan sekali. Bila selendangnya hampir jatuh semasa dia sebuk mengajar, saya rasa seperti ingin berlari ke hadapan dan membetulkannya supaya wajahnya terus nampak sempurna di hadapan saya dan rakan sekelas. Ini penting! Kerana kesempurnaannya, menyebabkan kami terus ingin belajar. Semua arahannya dituruti. Semua kata2nya didengari. Semua perform sehabis baik. Semua tidak mahu mengecewakannya. Kerana tak sanggup melihat wajahnya murung lantas mencacatkan kesempurnaannya.

Sehinggalah suatu hari. Saya telah melakukan suatu perkara yang meruntuhkan kesempurnaan itu. Haruskah diceritakan? Tak payah lah kan. Tak mampu saya membuka pekung di dada semantelah banyak sangat keburukan diri yang telah saya sebarkan di dalam blog ini. Kesimpulannya, dia kecewa. Hatinya hancur, mungkin. Wajahnya yang sempurna menjadi merah seperti udang galah yang dibakar bersungguh2. Nada suaranya kuat mendesing. Saya ingat lagi sampai sekarang sumpahnya kepada saya:

“Semoga kamu menjadi seorang guru. Supaya kamu rasa apa yang saya rasa sekarang”

———-

Nasib baik dia tak doa saya jadi benda2 lain. Kerana doa dan sumpahnya benar2 makbul. Kalau dia sumpah saya jadi tiang elektrik, camno nak jawab tu makcik bedah oi. Berdiri la kat situ menahan ribut dan petir!

Jadi, akhirnya saya ditakdirkan menjadi guru. Tidak dapat dibayangkan hidup saya membuat pekerjaan lain selain dari mendidik anak orang lain. Selain dari berjumpa dengan ribuan macam rupa dan tingkah laku pelajar. Pelbagai ragam pelajar. Ada yang seperti pari2 manis penyejuk hati tetapi ada juga yang mampu membuatkan saya terfikir untuk tanam mereka hidup2. Saya pernah merasa ditipu, dikutuk, diejek dan diketawakan oleh pelajar.  Ini adalah balasan yang saya terima ke atas apa yang saya telah lakukan kepada guru2 saya dahulu. Bak kata Justin Timberlake “what goes around, comes around‘. Rasanya macam2. Tercabar. Marah. Pahit. Sedih. Malu. Ada pernah rasa macam mahu berhenti. Nak tolong abah kerja di sawah sahaja. Mendidik pokok padi mungkin lebih tenang jiwa.

Tapi, di sebalik waktu2 kebencian itu, ada waktu yang memberi perasaan ajaib kepada saya bahawa pekerjaan ini adalah rahmat Tuhan. Mula2 saya mengajar, saya cuba untuk menjadi guru yang garang konon2 tegas. Tapi lama kelamaan, ianya tidak mendatangkan kebaikan kepada saya. Bila selepas saya marah, ada rasa yang tidak sedap. Saya tidak menjadi lega tetapi dada rasa sesak dan kepala rasa berat. Lama2 saya penat sendiri. Kemudian, saya mengajar mengikut kata hati sahaja. Pelajar adalah tempat tumpahnya perasaan saya setiap hari. Bila saya sedih, gembira atau tertekan, mereka lah yang menyerapnya. Saya kelihatan seperti pendidik yang mementingkan emosi sendiri. Mungkin.

Apa yang seronoknya jadi guru? Saya suka waktu apabila pelajar saya ternganga mendengar apa yang saya ajarkan. Kadang2 saya tipu pun mereka tak perasan. Saya fikir, selain dari menjadi ahli politik, menjadi guru adalah cara termudah untuk menyampaikan agenda tertentu. Saya suka disaat pelajar menjerit memanggil nama saya, berlari ke arah saya, memeluk saya dengan erat. Pelajar adalah tempat tumpahnya kasih sayang dan mendapat kasih sayang dengan banyak sekali. Saya tidak tahu tentang pekerjaan lain. Tetapi pekerjaan ini penuh dengan cinta. Cinta yang Tuhan taburkan pada wajah2 pelajar yang baik atau nakal. Pelajar datang dan pergi. Tapi cinta yang saya terima akan kekal abadi. Mengiringi siang dan malam hidup saya. Memberi sebab kepada saya, kenapa saya harus senyum memandang langit.

Terima kasih cikgu, kerana mendoakan masa depan saya.

———-

kredit: mynewshub.my

Selamat Hari Guru kepada saya, dan mana2 guru yang terbaca entri ini tak kira guru apa2 pun kamu. Pekerjaan kita penuh dengan cinta. Bukankah cinta adalah anugerah Tuhan yang paling indah?

Advertisements

Kepada yang istimewa

Kehadapan pelanggan blog yang dikasihi,

Saya sangat berbangga dan hati sentiasa penuh taman kerana, walau macam mana merapu meraban pun blog yang tak ada halatuju ini, masih ada yang sudi menunggu entri saya sampai ke alamat email dan sekaligus mungkin menyesakkan pandangan. Atas sebab2  tertentu yang gagal saya beritahu, saya dengan bersedih hiba akan menutup semua langganan email untuk blog ini. Ini tidak bermakna saya menafikan hak kamu untuk membaca entri saya lebih awal, tidak! saya tetap sayang kamuuu.

Teruslah datang menjenguk ke sini jika masih sudi, kalau tak hari2 pun, seminggu sekali, kalau tak seminggu sekali pun,  sebulan sekali, kalau tak sebulan sekali pun, setahun sekali. Saya masih perlukan pembaca. Kadang2 saya lebih perlukan pembaca blog ini lebih dari emas dan pertama (amboi! percaya ke kata2 manis saya ni? huhu).

Yang Benar,
Manusia yang terlebih dos sayang

 

Aku, kamu dan 1432

Untuk tahun 1431 yang akan pergi dan untuk tahun 1432 yang akan muncul, azam dan harapan akan terus dalam jantung yang merah.

Aku dan kamu akan mengharunginya dengan bau bunga harum kurniaan Tuhan.

Mari kita berdoa.

(tersilap tahun, semasa menaip entri ini mulanya. pathethic muslim!)

Life is full of debit and credit

Saya lekatkan poster kecil dengan kata2 tersebut dihadapan bilik pejabat saya. Setiap kali membuka pintu bilik, saya terpandang poster tersebut. Itu lah motifnya. Mahu mengingatkan diri yang kuat pelupa.

Sekarang, sejak bercuti belajar (yang lebih bersuka suki dari belajar), poster tersebut tidak ternampak secara fizikal lagi. Tetapi, sudah semakin melekat dihati.

Jika kamu, kebetulannya pelajar jurusan perakaunan (yang mungkin terserempak dengan blog ini ketika menekan kata kunci “soalan bocor perakaunan”) konsep debit dan kredit hanyalah semudah memetik jari sahaja. Dah tau kan? Ok! Sekarang pergi buat kerja rumah! Jangan mengada2 nak berpeleseran membaca blog entah siapa2 ni.

Jika kamu adalah seorang pelajar yang dulu, kini dan selamanya berkadar suam-suam kuku dalam bidang2 ilmu bernombor ini, marilah saya ceritakan konsep debit dan kredit yang mudah (jangan risau, tak ada nombor2 punya!).

Kita makan. Lepas tu sakit perut. Lepas tu pergi tandas. Termenung. Lega! Apa jadi kalau kita tak reti2 nak pegi tandas? Boleh masuk wad ok! Bila kita pinjam duit dari along, kita kena bayar balik. Apa jadi kalau kita tak reti2 nak bayar? Bersedialah mendepakan jari2 yang mulus tu (eleh! jari kan banyak, setakat kena potong satu, ada lagi sembilan! Yey! Gila ke ape?).

Begitulah debit dan kredit. Sesuatu yang diterima haruslah dikeluarkan. Sesuatu yang di ambil haruslah di pulangkan. Jika tidak berlaku sebarang pengeluaran atau pemulangan, ada sesuatu yang tak kena pada dunia ini. Mungkin bencana akan berlaku. Ha, tu la pasal Pontianak Harum Sundal Malam mengamuk siang2 hari! Tak dipulang2 kan siapa suruh. Tak faham konsep debit kredit la tu.

Dalam perakaunan nilai debit dan kredit mesti sama. Kalau tidak akauntan kena potong gaji (agaknya). Dalam kehidupan, nilai debit dan kredit juga harus sama. Sama dalam kamus kehidupan maksudnya setimpal. Harus berlaku. Tuhan kan maha adil dan saksama. Dia akan pastikan debit mesti sama dengan kredit.Tak percaya, boleh cuba sendiri. Saya pernah cuba.

Saya nak mengaku satu dosa yang saya buat. Dengan tak sengaja saya pernah tercalarkan kereta orang lain. Bahagian cerita yang lebih enak ialah bila saya tidak mahu mengaku. Saya takut kena bayar. Masa tu, baru sangat kerja. Gaji tak lepas tengkuk pun. Nak makan sedap2 pun, tahan perut dek non oi.., inikan pula nak bayarkan satu pintu kereta orang lain. Beberapa tahun kemudian, dengan megahnya ketika sedang berebut2 ruang parking berbumbung dengan kawan, yey! saya berjaya! Telah berjaya menjahanamkan pintu kereta saya sendiri. Terlanggar tiang parking. Bagus! Bagus! (Padan muka! Muka kedekut!).

Berani cuba, berani tanggung. Hah!

Peristiwa demi peristiwa, percubaan demi percubaan, telah berlaku, telah saya lakukan. Saya semakin yakin dengan hukum ini. Bila kita memberi, kita akan menerima. Bila kita menerima, kita harus memberi. Jika kita tak lakukannya, Tuhan akan lakukan. Dengan nilai yang setimpal. Nilai yang adil.

Teringat kata2 Saiful Nang, “jika kita terima tetapi kita tak memberi semula, hukum dunia/alam kita telah ‘stop’.” (rujuk youtube di bawah)

Dan, saya percaya, jika kita terlebih memberi dari nilai yang kita terima, Tuhan akan pulangkan nilai lebihan tersebut. Dengan cara yang lebih indah!

Mari kita sama-sama perbaiki diri. Semoga kita dapat melihat bunga tersenyum dan mendengar burung menyanyi kerana dunia berputar dengan betul dan seimbang dan cantik.

Cinta itu buta

Wah2! mahu bercerita tentang cinta pula hari ni. Apa khabar? sudah lama kamu tak dengar saya membebel di sini kan? Bukan apa, merujuk kepada bebelan saya tempoh hari tentang rezeki ribu riban, saya sebenarnya sedang bertungkus lumus mencari rezeki lebih dek kerana nak melangsaikan sesuatu permasalahan. Jika diceritakan tentang itu di sini, saya akan kelihatan begitu gengster sekali (padahal saya teraniaya, ewah! konsep membela diri). Maka biarlah kesusahan diri saya menjadi rahsia yang menyorok di celah2 jantung dan tulang di badan.

Eh, tentang apa tadi? Cinta kan?

Sesiapa yang seangkatan dengan usia saya yang begitu ‘matang’ ini, mungkin pernah dengar tentang kisah Bentong Kali. Yang tersangat sohor dengan kegemarannya menembak orang. Seperti hobi suka2 sahaja. Ingin saya mengambil kesempatan di sini untuk menegaskan bahawa orang jahat bukan sahaja tertakluk kepada bangsa atau warna kulitnya. Botak Chin tu bangsa apa? Ahmad Najib yang bunuh Canny Ong tu bangsa apa? Mat Komando ? Saya rasa nak tergelak tergolek2 bila mendengar satu teori konspirasi mengatakan si keparat yang membunuh Sosiwati dan 3 rakannya adalah satu usaha terancang membunuh orang Melayu. Kasihan ada diantara bangsa saya yang mempunyai masalah dalam penaakulan. Teori liberal yang zuhud membezakan manusia kepada ‘jahat’ dan ‘baik’ sahaja. Agama kita membezakan manusia kepada yang ‘beriman’ dan ‘tidak beriman sahaja’. Jadi, kenapa taksub sangat dengan perbezaan bangsa ni? Saya tak boleh nak hadam lah dengan teori ‘bangsa-bangsa’ ni.

Eh, tentang apa tadi? Bentong Kali kan?

Selepas Bentong Kali mati ditembak polis,  isterinya (mungkin teman wanita, tak berapa ingat, dah tua) meluahkan rasa hatinya. Dia tetap menyayanginya sepenuh hati. Baginya Bentong Kali adalah orang yang sangat istimewa dalam hidupnya. Tak cukup2 mulut saya mengutuk perempuan tersebut. Nyanyuk ke apa? Cintakan pembunuh? Tak boleh hadam! tak boleh hadam!

Dulu saya memegang satu teori asas yang umum. Kita harus cinta dan sayang pada orang yang baik. Teori biasa la tu kan? Macam alasan2 artis wanita menjawab kenapa pilih Datuk tu Datuk ni. ‘Dia seorang yang penyayang dan memahami saya’. Kalau terjumpa tukang sapu sampah yang penyayang dan memahami macam mana? hah? hah? (eh! eh! marah kat siapa ni ?)

Hari demi hari. Tahun demi tahun. Saya mengenal cinta dan sayang dari perspektif yang berbeza. Bertemu dan berpisah. Berbesar hati dan berkecil hati. Meninggalkan dan ditinggalkan. Ada juga yang tidak akan kamu tinggalkan walaupun kadang2 mengalami keseksaan jiwa dan raga. Ingat tak cerita doa saya masa kecil yang saya mahukan mak yang lain dari mak saya. Masa bergaduh dengan adik beradik masa kecil2 saya juga pernah berdoa supaya adik2 saya lenyap. Kena sorok dengan hantu hutan ke atau saya  dapat duduk kat bulan. Lagi seronok agaknya. Tak ada orang kacau. Bercakap dengan matahari dan bermain dengan bintang. Tapi bila terbayangkan jika mereka tidak ada di sisi, saya rasa saya boleh pitam. Saya rasa saya mahu lenyap juga. Saya mungkin tidak boleh makan. Saya mungkin sukar bernafas.

Saya yakin, Tuhan telah peruntukkan perasaan yang aneh bagi setiap diri kita. Kita sayang dan cinta pada orang yang pernah menyakitkan hati kita. Kita ampunkan kesalahan orang yang menganiaya kita. Definisi saya pada cinta yang sejati ialah bila kita cintakan seseorang walaupun dia bukanlah yang terbaik. Dia bukanlah ‘penyayang dan memahami’. Dia bukan apa2 pun. Tapi dia mampu membuatkan kita belajar memberi ampun dan maaf. Dia mampu membuatkan kita bertoleransi dan membuka hati. Seperti cinta sejati kita pada mak, abah dan adik beradik. Ya, itu cinta sejati.

Perasaan yang aneh. Tapi, itulah kekuatan yang Tuhan berikan kepada kita supaya dunia kita lebih indah.

Semoga dunia terus aman kerana cinta kita yang sejati.

Saya tahu

Saya tahu, ramai dah tak peduli nak baca blog sejak dua tiga hari ni. Tak pe, saya pun malas nak tulis dan baca blog. saya sedang buat2 sebuk membuat biskut conflake tadi (itu saja yang saya ada hati nak buat a.k.a yang tahu buat). Tiba2 saya teringat kamu , kamu dan kamu. Yang mungkin tak ingat saya pun. Tak pe.

Ini ucapan klise saya:

Selamat hari raya aidilfitri, maaf zahir batin

Tu je, semoga gembira di hari raya, oh yeah!

(makan kuih raya jangan sampai tercekik, doktor dan jururawat benci bertugas dihari raya)

(pandu kenderaan dengan penuh berhikmah, doktor dan jururawat benci bertugas dihari raya)

Benci dan cinta untuk kamu

Kamu begitu sukar dikenang
Sedang bertenang atau menendang

Kamu begitu sukar difahami
Sedang berjanji atau menyanyi

Kamu begitu sukar ditelah
Sedang bermadah atau berhelah

Bergolakan dan menyenangkan
Mengelirukan dan meyakinkan
Memalukan dan membanggakan

Kamu tahu kan
Benci dan cinta itu
Tipis sahaja bezanya

Ada yang minta aku benci kamu
Tapi aku pilih cinta untuk kamu

Ya, kamu
Kamu yang memelukku
Ketika ribut taufan menderu
Ketika angin lembut berlalu

Aku pilih cinta
untuk kamu, Malaysiaku

(Rakyat yang merdeka itu adalah mereka yang tidak menerima satu perkara itu sebagai satu perkara)

(dijemput menonton sisi lain episod kemerdekaan kita)