Analisa bendera

Saya sedang berlatih analisa statistik korelasi dan nisbah untuk tujuan penyediaan tesis. Dan mencuba-cuba data ini. Saya bandingkan jumlah populasi beberapa negara1 Asian dengan jumlah imej bendera negara dalam carian Google2

statistik bendera

kredit gambar : penulis blog ini

Keputusan :
Jadual data yang terhasil adalah seperti berikut

Korelasi diantara populasi negara dengan imej bendera di carian Google ialah 0.62

Penerangan :

Kolum paling kanan menunjukkan nisbah diantara jumlah populasi sesuatu negara berbanding dengan satu imej bendera di carian Google. Bagi Malaysia bermaksud, satu imej bendera malaysia mewakili untuk 16 orang dari populasi Malaysia. Satu imej bendera negara Brunei mewakili tidak sampai seorang dari populasinya. Dan bagi Singapura, satu imej bendera mewakili 2 orang populasi sahaja. Dengan bahasa pasar malam, lebih besar nilai nisbah, lebih sedikit dan tidak popular jumlah imej bendera sesuatu negara di internet jika dilihat dari perspektif populasi negara.

Nilai korelasi menunjukkan jumlah populasi sesuatu negara mempunyai hubungan positif dengan jumlah imej bendera negara dalam carian Google. Dengan bahasa pasar minggu, lebih ramai populasi menyumbang kepada lebih banyak imej bendera di internet.

Persoalan :

Nilai korelasi tidak mengelirukan perasaan berlagak saya. Tetapi nilai nisbah populasi dengan jumlah imej bendera tidak saya gemari. Kerana, jumlah kadar imej bendera Malaysia bagi mewakili populasi lebih besar daripada negara jiran. terutamanya Brunei dan Singapura yang kecil dan comel sahaja rupa bandannya. Tanda-tanda soal bergerak berpusing di atas kepala saya terhadap penemuan ini. Adakah kerana Malaysia tidak glemer? Tidak kaya? Rakyatnya tidak pandai memasukkan imej bendera ke dalam internet? Mungkinkah kerana bendera kita tak cantik maka rakyat malu mahu meletakkan bendera di website mereka? Sungguh misteri nusantara sekali.

Pengakuan :

Saya suka bendera Malaysia. Saya suka tanpa sebab.

MalaysianFlag

kredit gambar : istockphoto

Selamat hari Kebangsaan.

1. Sumber: Population Division of the Department of Economic and Social Affairs of the United Nations Secretariat (2009). World Population Prospects: The 2008 Revision. Highlights. New York: United Nations.
2. Usaha saya sendiri menekan google pada pukul 6 petang 30 Ogos 2009

Advertisements

Pergi III

ismail

kredit gambar : http://www.islam.gov.my

Saya mula menyedari kewujudan ciptaan tuhan yang istimewa ini semasa berada di tahun satu, ijazah sarjana muda, (sangat muda) lama-lama dulu. Saya sedang mencari-cari bahan untuk dimasukkan kedalam sebuah kolum majalah kolej kediaman, dan bertemu satu kisah tentang figura yang sangat mencengangkan kehebatannya. Sejak itu saya selalu mengikuti perkembangannya. Beliau seumpama “chicken soup of the soul” saya bila saya terdahagakan motivasi semasa dalam keseksaan menuntut ilmu.

Selamat pergi menemui Allah dan semoga roh dicucuri rahmat menggunung kepada pemegang rekod insan cacat penglihatan pertama mendapat ijazah kedoktoran falsafah di dunia.

Alfatihah

Cerita tentang orang lain

* Pendapat saya tentang kes Kartika telah mengalami pengubahsuaian. Tetapi saya tidak mahu mengubah catatan ini kerana di dalamnya terkandung cerita saya semasa kecil yang saya mahu ingati dan berkongsi.

Sedaya upaya, saya cuba mengelakkan bercerita tentang hal-hal yang sensitif tentang kisah-kisah sosial sekeliling yang melelahkan dan menyesakkan nafas. Walaupun kelihatan seperti syok sendiri bercerita tentang diri sendiri, tentang emak dan abah, tentang kegilaan saya terhadap Andrea Hirata, tentang semut-semut dirumah saya, saya senang dan tenang, lega dan gembira. Saya menulis untuk diri saya, dan jika saya tahu kebetulannya ada beberapa manusia yang tersentuh dan terkesan dengan tulisan saya, tidak dinafikan ia mampu membuat saya tersenyum sepanjang hari. Lagipun, kearifan saya terhadap beberapa perkara sangat terbatas. Saya takut, dengan kekurangan maklumat empirikal, menyebabkan saya tersasar dalam menilai situasi orang lain.

Tetapi, kali ini saya mahu menyampaikan perasaan saya terhadap kisah orang lain. Pendirian saya tentang seorang wanita bernama Kartika Dewi. Wanita pertama di Malaysia yang akan disebat kerana kesalahan meneguk-neguk minuman terlarang.

Kartika mengingatkan saya kepada seseorang. Namanya Ros. Dia kanak2 yang cantik dengan warna kulitnya putih kemerah-merahan.

Ros tinggal dengan ibu tirinya dan anak2 kandung si ibu tiri dihadapan rumah saya semasa saya kecil. Si ibu tiri adalah berkarakter  ciri-ciri tipikal ibu tiri seperti yang muncul dalam slot tv kegemaran ramai ketika itu, Drama Minggu Ini. Setiap hari saya mendengar dan melihat Ros selalu dipukul dan disepak.

Pada zaman itu, bekalan air bersih bersalur paip masih tidak ada. Kami anak2 kampung secara rasmi tak tertulis, mempunyai pekerjaan mengangkat air dari pam air bawah tanah (yang dipasang oleh pihak berkuasa yang kaya tetapi kedekut) ke rumah setiap hari. Suatu hari kami anak2  berlumba2 membawa air di dalam baldi, air di dalam baldi berkocak kegilaan , maka sampai di rumahnya, hanyalah tinggal satu cebuk jumlah kapasitinya. Si ibu tiri naik darah dan angin sehingga kepala. Anak2 kandungnya dimarahi dengan kadar angin sepoi2 bahasa sahaja. Tetapi Ros dipukul sekuat hati dengan kayu api. Duri2 kayu api mencucuk segala permukaan kuilitnya. Darah mengalir dan calar balar merata2. Si ibu tiri kegilaan memukul tak berhenti sehingga Ros kelumpuhan lemah tak berdaya. Malamnya, saya mengintai dari celah2 lubang papan rumah, Ros dipaksa tidur diluar berselimutkan angin malam yang dingin mencengkam.

Itulah umpamana nasib Kartika. Dihukum atas kesalahan yang ramai lagi juga melakukannya, Kemanakah layanan terhadap manusia yang lebih kejam melakukan kesalahan yang lebih membahayakan nyawa orang lain. Minah rempit , bohsia berkepit, penagih dadah (makanan haram juga) manakah cerita sebatan mereka?

Ya, saya tidak kenal Kartika. Saya tidak tahu kisah sebenar Kartika tentang hal minuman keras itu. Adakah dia benar2 bertaubat atau tidak, itupun sudah tentu hanya tuhan sahaja yang tahu. Saya tidak tahu isi hatinya. Tapi jauh disudut hati, saya melihat Kartika seperti dipermain-mainkan. Sekejap jadi. Sekejap tidak jadi. Konon sebatan tidak mahu dibuat di bulan Ramadhan. Tidak ada tukang sebat yang sesuai. Siapa yang tidak bersedia ni. Kartika atau tukang hukum itu? Kartika seperti bahan ujikaji satu sistem pengadilan yang kelihatannya tidak bersedia.

Kartika sudah mengaku. Hukumlah dia sebagai orang yang telah tersedar dari pekerjaan lupanya. Hukumlah dia sedail-adilnya. Adil bagi ibu bapanya. adil bagi anak2nya. Lihatlah anak2 lain yang lebih jahat dan durhaka kepada ibu bapa. Yang memukul ibu bapa. yang menconteng arang ibu bapa dengan lebih variasi kesalahan dan kedurjanaannya.

Kadang2 selalu kita fikir dunia ini tidak adil pada kita tetapi kita akan merasa lega bila kita menerima semuanya tentang ketidakadilan atau keadilan telah direncana oleh tuhan yang maha tahu bagaimana untuk berlaku adil. Tuhan maha perencana.

Picture 10

kredit gambar : malaysiakini.com

Untuk Kartika, semoga tabah seperti Ros

* Ini adalah semata-mata suara sokongan saya untuk ketabahan wanita. Pandangan ini adalah secara peribadi, dan tidak memaksa sesiapa sahaja untuk bersetuju mnenerimanya. Jika tidak setuju, anda tidak perlu menumbuk meja.

Indah dan mencengangkan..

Di bulan ini, terjadi peristiwa mencengangkan dan mengagumkan seperti kain sutera menari-nari melintas  dicelah-celah pokok buluh berbaris-baris di musim dingin sederhana.. Si makhluk yang hodoh dan kejam  sedang beransur-ansur berubah menjadi putera raja yang kacak berhati mulia. Si simpai keramat menangis bersyukur kerana keberadaannya

Tabik untuk bulan yang indah dan mencengangkan..

Siapa tak sayang abah..

Emak dan abah seperti langit dan bumi (Bukankah kerja tuhan dalam urusan cinta, sangat menakjubkan?). Sekiranya dari jauh mendengar emak seperti bercakap-cakap, meracau, mengamuk, menangis dan ketawa seorang diri yang mana kelakuannya itu tak ubah seperti ciri-ciri tipikal orang gila pelbagai kategori, maka sudah pasti yang berada berdekatan dengannya adalah abah.

Bercakap dengan abah sama juga ertinya bercakap dengan semut yang beratur secara sistematik dihujung penjuru lantai rumah. Jangan diharapkan tindakbalas dari segi bunyi-bunyian. Sekiranya mengharap, maka akan juga sampai tahap gila dan lumpuh. Makanya juga aku jarang menunggu balasan2 berbentuk bunyi-bunyian dari abah. Biasanya bila aku bertanya sesuatu kepadanya, menunggu seketika, dan jika tiada jawaban, aku akan terus berlalu dengan redha. Mendengar dia berdehem sahaja sudah cukup lumayan. Mencari topik untuk bercakap dan bermesra dengan abah seperti mencari tajuk tesis sarjana umpamaannya. Sangat seksa, pedih dan menghibakan. Sukar sekali.

Manusia seperti abah ini jarang ditemui barang kali. Sangat istimewa untuk diceritakan. Rupanya abah ku dan ayah si Andrea Hirata itu tidak jauh beza spesisnya. (Minta ampun kepada sesiapa yang mahu muntah bila berulang kali nama ini disebut. Sangat sukar dielakkan). Andrea pernah berkata dia hanya mendapat 5 perkataan daripada ayahnya dalam satu tahun. Wah! Kalau begitu, nasibku lebih baik. Kerana aku beroleh mendengar perkataan sebanyak itu dalam masa seminggu sahaja.

Biasanya bila aku mahu berangkat kemana-mana dia akan bertanya bila aku akan balik semula. Jika aku tidak kemana-mana pada minggu itu, maka aku tidak mendengar apa-apa pertanyaan langsung dari mulutnya pada minggu itu. Pernah setahun aku jauh di seberang, tidak balik2, maka aku tidak pernah mendengar suara abah dalam masa setahun. Mungkin jika dikira dengan teori matematik mudah kadar langsung, jika aku berada dihadapan matanya seumur hidupku, aku tidak akan mendengar soalan apa2 dari abah seumur hidup. Sungguh tragis hubungan ini!

Seumur hidupku di dunia ini, abah tak pernah meminta aku membancuhkan apa-apa jenis air pun untuknya, tidak pernah meminta aku memasak apa2 jenis makananpun untuknya. Abah akan makan apa sahaja makanan yang terhidang. Tanpa memberi komentar dan sebarang ulasan. Pernah sekali, hanya tinggal beberapa ekor ikan bilis goreng dan semangkuk air asam di atas meja makan. Aku lihat abah makan tanpa banyak soal.

Betapa tenang dan senang mempunyai abah seperti ini. Hampir sahaja aku bersumpah hanya akan menerima lelaki yang sempurna persamaan dengan semua ciri yang   abah ada. Tak jadi. Apabila memikirkan darjah kebarangkalian mendapat penanggung hutang2 ku itu akan menjadi semakin rendah. (Sila geleng kepala. Ish! Ish! perempuan ini. Patutlah tak ada siapa yang mahu! )

Tetapi, akhir2  ini aku dapati sangat sukar memahami abah. Mendalami keadaan abah sekarang ini seperti mendalami Teori Dimensi Sosial Burrell dan Morgan, atau memahami Taksonomi Hopper dan Powell dalam kerja tesis ku. Tidak indah langsung situasinya! Beberapa kali aku melihat dia memegang, memicik  tapak tangannya, memusing-musing, memutar-mutar dan kadang2 berjalan berjengket2 tidak stabil. Sesuatu yang tak kena dengan tangannya atau kakinya, atau mana-mana bahagian pada badannya. Apabila sedang tidur, selalu terdengar dia mengigau mengeluarkan bunyi pelik dan menakutkan dari mulutnya yang kuat membisu itu. Seperti orang sedang bermimpi dalam babak bertempur dengan mahkluk ganas, hodoh lagi mengerikan. Seperti makhluk itu sedang menghenyak perutnya bertubi tanpa belas sedikitpun.

Semakin jelas, abah semakin tidak sihat. Aku risau. Dan seperti biasa, dia tidak membuat sebarang kenyataan terbuka tentang apa-apa pun yang berlaku kepada dirinya.

(Doa untuk abahku dan untuk semua ayah, baba, daddy, walid, dad, appa, papa kepada sesiapa yang membaca cerita ini)

abah400

kredit gambar : azizankamaruddin@photography

Al kisah si perempuan

Seorang perempuan.

Yang hanya genius dalam bidang membasuh, memulas, menyidai dan melipat kain sahaja. Merayau-rayau dari rumah kerumah. Merayu mohon bergumpal2 bersama dengan fabrik2 yang tengik, maung dan hanyir setiap hari. Mendapat habuan empat  ringgit sehari. Satu ringgit beli nasi. Satu ringgit beli ikan bilis. Satu ringgit beli bawang. Satu ringgit simpan. Pulang ke rumah. Disambut oleh  lima orang anak yang kecil-kecil comot berkulat, bermata kuning, kurus mendekati rupa rangka mengerikan. Meleleh hingus dan air liurnya..

Belum sempat menyuapkan nasi kemulut anak-anak yang berbibir merekah kering, satu lembaga hodoh dan kejam datang dari belakang. Itu suaminya. Berjalan terhoyong hayang kecanduan tak ketentuan. Membentak meminta  duit. Si perempuan menghulurkan duit satu ringgit yang berbaki.

“Perempuan sial penipu! Sundal! Busuk! Kau  bersenang lenang dirumah orang kaya itu dan beromen dengan lakinya. Ini sahaja yang kau dapat!”

Disepak. Di terajang. Berguling-guling perempuan itu. Terhempas kedinding ke barat ke timur. Jatuh berhentak-hentak di setiap bucu tangga kayu berduri.

Anak-anak meraung ketakutan. Air mata perempuan itu sudah tiada jika mahu berlagu bersama anak-anak. Hanya darah yang semakin cair mengalir dari setiap persegi tubuh yang sudah penuh carik, bekas tikaman, benaman rokok dan luka tidak terubat.

Darah terus mengalir.. kemudian pekat dan berhenti. Perempuan itu bangun. Bersedia mengumpul tenaga untuk terus bertahan menghadapi neraka pada kesokan harinya, pada hari selepas esok, dan hari selepas esok dan esok…

Perempuan itu, bukan aku

Seorang lagi perempuan.

Berbaju labuh dan tudung menyelubung. Mempunyai peti suara yang sudah tidak berfungsi. Berjalan seorang diri di satu lorong yang sunyi di suatu petang yang merapati senja keemas-emasan. Sekejap-sekejap berpaling kebelakang. Kesangsian. Dibelakangnya selang beberapa tapak gergasi, seorang lelaki bermata merah, memegang sebotol air kekuning-kuningan berjenama terkenal seantero dunia. Berjalan dengan tidak simetri. Ke tenggara setapak, ke timur tengah dua tapak, berpatah balik ke selatan tiga tapak, dan kemudian.. tiba2 meluru bertapak-tapak ke hadapan penuh nafsu membuak tak terbendung. Menuju kearah perempuan berbaju labuh, bertudung menyelubung dan berpeti suara yang rosak.

Lelaki gila botol merentap, menjuman si perempuan ke belukar miang, penuh rimba dan gelap. Tidak terdaya. Meronta menjerit si perempuan. Di dalam hati. Tidak akan ada orang mendengar.

Siap.

Si perempuan ditinggalkan

Si perempuan teraba-raba mencari carik2 kain yang tersisa. Kesakitan, terdengket-dengket berjalan keluar mencari pertolongan. Mata berpinar, beberapa bahagian kepedihan. Menuju ke jalan.. berpaling ke belakang.. sekonyong-konyong tiba lori balak dengan kadar kelajuan syaitan durjana! Merempuh si perempuan. Terguling, remuk separuh badan. Terpelanting menghempap pokok kekabu besar dipinggir jalan.

Lori balak terus pergi. Jalan tetap sunyi.

Perempuan itu juga, bukan aku.

Seorang perempuan

Dianugerahkan beberapa rezeki. Tidak bekerja tetapi diberi gaji. Menghairankan! Mempunyai manusia yang menyayanginya. Perasan! Tidak pernah didera. Masih boleh menjerit, bernafas dan sihat sejahtera. Baru-baru ini perempuan itu mengalami beberapa siri kehilangan dan kecelakaan yang minima. Kemudiannya beberapa kali dia merungut mengatakan dunia ini tidak adil kepadanya.

Perempuan itu, mungkin aku.

( Kawan, ingatkan aku bila aku lupa, mahu menyambut bulan yang mulia dengan kesyukuran..)

mother-and-son-of-palestine


Suka dan takut

Ramai suka Window
saya suka Machintosh

Ramai suka Blogspot
saya suka WordPress

Ramai suka Ros
Saya suka Kemuning

Ramai suka lagu pop
saya suka lagu asli

Ramai suka Kuala Lumpur
saya suka Changkat Lada

Marilah ikut saya
ketempat  orang ramai
tak suka

Saya takut H1N1

(doa berpanjangan untuk kesejahteraan kesihatan umat dunia)

waaaa