Makhluk Kecil Tapi Signifikan

Setelah dengan penuh azab menyudahkan tugasan yang diperintah oleh Ultraman Kedua, saya berkira-kira untuk mengemas sahaja buku-buku dan artikel yang berselerak diatas meja. Dan berniat tidak mahu menyentuhnya dalam masa beberapa hari. Saya ingin menikmati keindahan susunan buku yang bewarna warni lebih lama seperti menikmati keindahan warna warni Kek Lapis Sarawak sebelum ditelan dengan sekali kunyah.

 

Semasa menyusun,  sebuah buku bewarna biru yang kecil sahaja saiznya menganggu kesimetrian susunan buku-buku lain.  Muka hadapan buku nampak sangat lurus dan ikhlas sahaja. Tidak seperti buku-buku lain yang kelihatan besar dan sombong kerana kecantikan dan ilmunya. Beberapa kali buku ini semacam menonjol-nonjolkan diri dimata , tetapi baru kali ini saya mendapat petunjuk dan hidayah untuk membukanya.

DSC00949

Ianya dipinjamkan oleh seorang rakan yang sedang bertempur dengan satu mahkluk sakti yang besar lagi mengerikan bernama PHD.

 

Didalamnya adalah satu gerombolan cerita-cerita santai tentang perjuangan seorang manusia (penulis itu sendiri) mencapai tahap pengikhtirafan akademik di peringkat PHD. Ayat pertama dalam bab 1 di bawah tajuk ‘Mereka yang Menyumbang‘  ialah ‘ jika ada insan yang paling memberikan kekuatan untuk melakukan sesuatu yang kelihatan sukar dan mustahil maka beliau adalah Tun Dr. Mahathir Mohamad ‘. Ceritanya ‘ Tun berkata “perkara yang sukar jika dilakukan secara berulang-ulang, berhati-hati atau dengan disiplin yang tinggi, maka setiap orang boleh mencapai kejayaan ” . 

 

Seterusnya bab-bab lain dalam buku itu bercerita tentang kisah-kisah manusia (yang kebanyakannya adalah rakan-rakannya) yang menyeksa jiwa dan raga untuk meletakkan gelaran DR. pada pangkal nama.  Walaupun santai, ceritanya bukan seperti omong-omong kosong dikedai kopi. Tajuk buku Kecil tapi Signifikan itu sangat tidak glemer pada perkiraan awal saya tetapi sangat menepati kesemua isi perut buku. (Setelah mengoogle, saya dapati penulis sememangnya tersangat obses dengan perkataan signifikan). Pencapaian penulis pada beberapa peringkat sangat menggelorakan jiwa bila membacanya. Beliau merupakan pelajar terbaik di peringkat diploma dan kedua terbaik di peringkat ijazah pertama, sarjana dihabiskan sebulan lebih awal dan menamatkan pengajian kedoktoran dalam 32 bulan yang merupakan salah satu rekod terawal bagi Fakulti Perakaunan, Universiti Wales, Bangor. Sungguh, beliau ini sekali berpaling sepertinya mahu memasukkan diri kedalam bakul besar dan berapungan tinggi-tinggi sendirian.

 

Sungguh tersasar jika sekali pandang.

 

Yang dinamakan orang berpelajaran tinggi seperti beliau itu sememangnya berkelakuan seperti padi bunting, berat, tertunduk dan hampir mencium lumpur bendang yang berbau aneh. Beliau bersungguh mahu menolong pembaca dan memberi bermacam tips sepanjang bernafas sebagai pelajar kedoktoran seperti bagaimana mahu menguasai penyelia tesis yang dianggapnya makhluk yang penuh misteri. Kemudiannya mengingatkan kita betapa perbuatan baik dan memudahkan orang lain, akan memudahkan perjalanan hidup dan pembelajaran kita. Usaha, membantu orang lain, merendah diri, dan tidak dapat dinafikan, nasib yang baik dibuktikan sebagai penyumbang kepada kejayaan beliau.

 

Sejak mengetahui kewujudan universiti, saya tidak terbayang saya akan melepasi pagarnya. Selepas habis ijazah pertama, saya tidak terbayang menyambung keperingkat sarjana. Ditahap tergagau teraba mencari arah diperingkat sarjana sekarang ini, tidak terbayang dengan jelas adakah saya ada kekuatan untuk memanjat keperingkat PHD. Buku ini sekurang-kurangnya membenarkan saya bermimpi mencapai PHD sekali malam dalam sebulan.

 

Mungkin bila terjaga, badan berpeluh ketakutan.

 

Nota : Penulis bernama Prof. Dr. Muhd Kamil bin Ibrahim, seorang profesor perakaunan dan ketua kepada UITM-ACCA Financial Reporting Repoting Research Center. Sebuah lagi buku best selling tulisannya : Travelog haji dicadangkan oleh sahabat baik, tapi belum berkesempatan membelinya. Blognya juga sangat santai bila dibaca.

 

2 thoughts on “Makhluk Kecil Tapi Signifikan

Tinggalkan komen