Selamat Sore, Banten..

Di suatu petang yang hening dan beku, di perpustakaan, entah siapa pula manusia yang berniat hasad dengki melihat ketawadukan aku mencari bahan tesis. Seperti sengaja meninggalkan satu objek kecil tapi signifikan bergentayangan di laluan antara rak-rak buku yang sekali imbas kelihatan seperti transformer besar sedang berbaris. Kerja tesis dilupakan dengan sewenang-wenangnya, terus sahaja aku mengambilnya, terus sahaja mencium mesin pinjaman buku dan terus sahaja pulang ke rumahku syurgaku.

 

Sambil bergolek-golek diatas katil ala-ala gadis ayu yang sedang bergayut bertelefonan dengan jejaka kegilaan, aku menghabiskan bacaan. 

 

Kisahnya tentang pergelutan hidup masyarakat di wilayah Banten Selatan yang ditindas tidak hanya oleh kaum kolonial, tetapi juga dari kegilaan pemberontak yang di beri gelaran Darul Islam. Dengan berlatar belakangkan  hidup Ranta seorang manusia miskin, tertindas dan akhirnya menjadi sang Lurah (Lurah = ketua kampung/daerah).  Pada asalnya Ranta sentiasa diperhambakan oleh seorang lurah di daerah itu yang bernama Juragan Musa. Setelah satu peristiwa, barulah diketahui yang Juragan Musa itu sebenarnya sangat dekat dengan pemberontak Darul Islam. Dengan takdir dan nasib yang berat pada Ranta, akhirnya Ranta dilantik menjadi Lurah, seterusnya memimpin dan berjuang menangani pemberontakan.

 

Ini adalah pengalaman ketiga membaca tulisan Pak Pram. Selepas Rumah Kaca dan Gulat di Jakarta. Bukunya nipis sahaja. Seperti tahap Gulat di Jakarta sahaja. Tetapi lebih seksa dibaca kerana buku ini adalah edaran terus dari Indonesia. Makanya, terpaksalah aku melanggar banyak perkataan yang pelik dan aneh bagi orang Malaysia seperti kaos, bibit karet, kuras, kopor, kuntul, balok dan macam-macam lagi. Semakin aku terjumpa perkataan yang pelik dan aneh, semakin pula aku merasa tidak patriotik pada Bahasa Malaysia. Adapun Bahasa Indonesia itu kelihatannya pelik dan aneh, dan tidak canggih bunyinya, tetapi aku rasakan ianya sangat asli dan manis. Bunyinya tidak seperti bunyi Belanda yang bertunggu tangga berkurun lamanya. Tidak seperti bahasa kita yang sangat Ratu Elizebath bila terjumpa perkataan fantasi, intepretasi, dedikasi, hipokrasi, demokrasi dan yang sewaktu dengannnya (Aku mula mengesyaki yang perkataan nasi itu, mungkin juga Ratu Elizebath pernah menyebutnya)

 

Walaupun aku semakin kasihan kepada penyanyi Malaysia bila mendengar lagu-lagu Indonesia bergelimpangan di semua steyen radio Malaysia, tetapi aku dengan rela hati mengaku yang lirik lagu Indonesia itu menyimpan bahasa yang sangat sejati dan cantik. Tidak seperti lirik-lirik sesetengah lagu Malaysia : “papa jahat.. papa jahat ” . Aduh!

 

Berbalik kepada Pram. 

 

Sebelum kenal tulisan Pak Pram. Aku sangkakan seseorang manusia yang normal itu perlu mempunyai tahap pemikiran paranormal barulah boleh menghayati tulisannya. Rupanya tidak sama sekali. Cerita-cerita Pram itu ditulis dengan bahasa dan kisah yang mudah-mudah sahaja. Tetapi melalui kemudahan itu lah kita seperti mendengar dia menjerit berjuang mencari kebebasan, memprotes, dan berkempen menentang kebobrokan manusia.

 

Mudah. Manis. Berjuang.

 banten

 

“Di mana-mana aku selalu dengar: yang benar juga akhirnya yang menang. Itu benar; benar sama sekali. Tapi kapan? Kebenaran tidak datang dari langit, dia mesti diperjuangkan untuk menjadi benar”  – Pramoedya Ananta Toer

 

4 thoughts on “Selamat Sore, Banten..

  1. Saya juga penggemar Pramoedya..Sebelum membaca Rumah Kaca, apakah Lina pernah membaca 3 seri sebelumnya (Bumi Manusia, Anak Semua Bangsa, dan Jejak Langkah)? Karena cerita tersebut saling berkaitan (Quartet).
    Saya pertama membaca karya Pram Bumi Manusia dan langsung jatuh cinta.

    Salam dari Indonesi
    Firdaus

    • salam Firdaus,

      Ya, saya tahu buku tu ada sirinya, cuma sukar didapati dipasaran terbuka di malaysia.di perpustakaan universiti juga tidak cukup koleksinya. Saya akan cuba mencarinya dan cuba mencari masa membacanya . Agak sukar membaca dengan laju. bahasanya pekat indonesia.

      terima kasih ye, sudi memberi cadangan🙂

      Salam dari Malaysia

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s