Sumpah yang dirahmati Tuhan

Sejak saya mula kenal dengan perkataan ‘cita-cita’, semasa tadika, pekerjaan yang bermaharajalela di dalam otak saya adalah guru. Ketika itu, saya telah membuat kesimpulan bahawa hanya ada tiga jenis cita-cita sahaja yang boleh dipilih. Nurse, polis dan guru. Saya takut darah maka tak akan pilih nurse. Saya tak kuat berlari, maka tak akan pilih polis. Pilihan yang tinggal, hanya guru. Ya, saya mesti jadi guru.

Semakin tahun, semakin membesar, barulah saya tahu, rupanya ada banyak lagi yang boleh di cita-cita kan. Setiap tahun saya tulis biodata dengan cita-cita yang berlainan. Sekejap nak jadi arkitek. Sekejap nak jadi jurutera. Sekejap nak jadi peramugari (tak sedar diri pendek). Sekejap nak jadi pilot. Ada sekali tu saya pernah teringin nak jadi ahli kaji barang purba. Orang putih kata archeologist.

Jadi, cita-cita mahu menjadi guru tidak lagi menjadi agenda utama hidup saya. Saya seakan2 mahu menjadi apa sahaja di dunia ini kecuali menjadi guru. Kerana, bagi saya pekerjaan yang saya cita-citakan itu begitu gah super hebat. Sekiranya saya jadi jurutera, atau peramugari, atau pilot atau ahli kaji barang purba saya mungkin orang yang pertama dari kampung saya yang menjawat pekerjaan itu. Gila tak bangga! Mana nak dapat ada seorang ahli kaji barang purba yang muncul dari kampung berlumpur hanyir sawah. Saya! Saya!

Jadi guru? Apa kelas! Gaji rendah! Tak unik. Tak mencabar! Tak macam jadi ahli kaji barang purba!

———-

Sepanjang hidup, sejak tadika hingga mana2 tahap kamu belajar sekarang, sekurang2nya ada seorang guru yang kamu akan ingat sampai bila2. Ada beberapa sebab. Mungkin kerana rupa parasnya, menawan atau perilakunya yang budiman. Mungkin kerana rupa parasnya yang menakutkan atau perilakunya yang mengerikan. Mungkin kerana dia pernah merotan tapak tangan kamu kerana kuku panjang atau dia pernah memijak perut kamu di dalam stor sukan (kerana apakah itu?). Yang lebih besar, mungkin kerana dia telah meletakkan kamu di mana kamu berada sekarang.

Dia lah yang paling saya ingati. Bertubuh langsing tinggi lampai. Setiap hari memakai baju kurung moden yang cantik. Hidung mancung bak seludang, pipi licin bak pauh dilayang. Memakai selendang yang hanya diletakkan sahaja di kepala menampakkan jambul rambut ikal sederhana hitam pekat di atas dahi. Dari belakang nampak sanggulnya bergetar2 disebalik selendangnya yang jarang. Dia lah yang paling saya kagumi. Cantik. Bijak. Penyayang. Ilmu yang diajarnya begitu mudah diserap seperti air yang dicurah ke atas span gosok kereta. Sempurna. Apabila dia tertinggal buku teks, dia mampu mengingati mukasurat latihan yang dimaksudkan, dengan nombor soalan dengan erata ejaan dan percetakan sekali. Bila selendangnya hampir jatuh semasa dia sebuk mengajar, saya rasa seperti ingin berlari ke hadapan dan membetulkannya supaya wajahnya terus nampak sempurna di hadapan saya dan rakan sekelas. Ini penting! Kerana kesempurnaannya, menyebabkan kami terus ingin belajar. Semua arahannya dituruti. Semua kata2nya didengari. Semua perform sehabis baik. Semua tidak mahu mengecewakannya. Kerana tak sanggup melihat wajahnya murung lantas mencacatkan kesempurnaannya.

Sehinggalah suatu hari. Saya telah melakukan suatu perkara yang meruntuhkan kesempurnaan itu. Haruskah diceritakan? Tak payah lah kan. Tak mampu saya membuka pekung di dada semantelah banyak sangat keburukan diri yang telah saya sebarkan di dalam blog ini. Kesimpulannya, dia kecewa. Hatinya hancur, mungkin. Wajahnya yang sempurna menjadi merah seperti udang galah yang dibakar bersungguh2. Nada suaranya kuat mendesing. Saya ingat lagi sampai sekarang sumpahnya kepada saya:

“Semoga kamu menjadi seorang guru. Supaya kamu rasa apa yang saya rasa sekarang”

———-

Nasib baik dia tak doa saya jadi benda2 lain. Kerana doa dan sumpahnya benar2 makbul. Kalau dia sumpah saya jadi tiang elektrik, camno nak jawab tu makcik bedah oi. Berdiri la kat situ menahan ribut dan petir!

Jadi, akhirnya saya ditakdirkan menjadi guru. Tidak dapat dibayangkan hidup saya membuat pekerjaan lain selain dari mendidik anak orang lain. Selain dari berjumpa dengan ribuan macam rupa dan tingkah laku pelajar. Pelbagai ragam pelajar. Ada yang seperti pari2 manis penyejuk hati tetapi ada juga yang mampu membuatkan saya terfikir untuk tanam mereka hidup2. Saya pernah merasa ditipu, dikutuk, diejek dan diketawakan oleh pelajar.  Ini adalah balasan yang saya terima ke atas apa yang saya telah lakukan kepada guru2 saya dahulu. Bak kata Justin Timberlake “what goes around, comes around‘. Rasanya macam2. Tercabar. Marah. Pahit. Sedih. Malu. Ada pernah rasa macam mahu berhenti. Nak tolong abah kerja di sawah sahaja. Mendidik pokok padi mungkin lebih tenang jiwa.

Tapi, di sebalik waktu2 kebencian itu, ada waktu yang memberi perasaan ajaib kepada saya bahawa pekerjaan ini adalah rahmat Tuhan. Mula2 saya mengajar, saya cuba untuk menjadi guru yang garang konon2 tegas. Tapi lama kelamaan, ianya tidak mendatangkan kebaikan kepada saya. Bila selepas saya marah, ada rasa yang tidak sedap. Saya tidak menjadi lega tetapi dada rasa sesak dan kepala rasa berat. Lama2 saya penat sendiri. Kemudian, saya mengajar mengikut kata hati sahaja. Pelajar adalah tempat tumpahnya perasaan saya setiap hari. Bila saya sedih, gembira atau tertekan, mereka lah yang menyerapnya. Saya kelihatan seperti pendidik yang mementingkan emosi sendiri. Mungkin.

Apa yang seronoknya jadi guru? Saya suka waktu apabila pelajar saya ternganga mendengar apa yang saya ajarkan. Kadang2 saya tipu pun mereka tak perasan. Saya fikir, selain dari menjadi ahli politik, menjadi guru adalah cara termudah untuk menyampaikan agenda tertentu. Saya suka disaat pelajar menjerit memanggil nama saya, berlari ke arah saya, memeluk saya dengan erat. Pelajar adalah tempat tumpahnya kasih sayang dan mendapat kasih sayang dengan banyak sekali. Saya tidak tahu tentang pekerjaan lain. Tetapi pekerjaan ini penuh dengan cinta. Cinta yang Tuhan taburkan pada wajah2 pelajar yang baik atau nakal. Pelajar datang dan pergi. Tapi cinta yang saya terima akan kekal abadi. Mengiringi siang dan malam hidup saya. Memberi sebab kepada saya, kenapa saya harus senyum memandang langit.

Terima kasih cikgu, kerana mendoakan masa depan saya.

———-

kredit: mynewshub.my

Selamat Hari Guru kepada saya, dan mana2 guru yang terbaca entri ini tak kira guru apa2 pun kamu. Pekerjaan kita penuh dengan cinta. Bukankah cinta adalah anugerah Tuhan yang paling indah?

14 thoughts on “Sumpah yang dirahmati Tuhan

  1. selamat hari guru, cikgu.😀

    saya baca tulisannya, seperti baca bukunya Andrea Hirata. Mengalir, diselingi metafor2 nakal dan menukik. salut…

  2. Selamat Hari Guru Cikgu Lina.
    Setiap bait kata2 yg ditulis seolah2 mewakili prsaan kt pd guru2 yg pnh mngajar sblm ni. Terima kasih cikgu2 sekalian.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s