Al kisah si perempuan

Seorang perempuan.

Yang hanya genius dalam bidang membasuh, memulas, menyidai dan melipat kain sahaja. Merayau-rayau dari rumah kerumah. Merayu mohon bergumpal2 bersama dengan fabrik2 yang tengik, maung dan hanyir setiap hari. Mendapat habuan empat  ringgit sehari. Satu ringgit beli nasi. Satu ringgit beli ikan bilis. Satu ringgit beli bawang. Satu ringgit simpan. Pulang ke rumah. Disambut oleh  lima orang anak yang kecil-kecil comot berkulat, bermata kuning, kurus mendekati rupa rangka mengerikan. Meleleh hingus dan air liurnya..

Belum sempat menyuapkan nasi kemulut anak-anak yang berbibir merekah kering, satu lembaga hodoh dan kejam datang dari belakang. Itu suaminya. Berjalan terhoyong hayang kecanduan tak ketentuan. Membentak meminta  duit. Si perempuan menghulurkan duit satu ringgit yang berbaki.

“Perempuan sial penipu! Sundal! Busuk! Kau  bersenang lenang dirumah orang kaya itu dan beromen dengan lakinya. Ini sahaja yang kau dapat!”

Disepak. Di terajang. Berguling-guling perempuan itu. Terhempas kedinding ke barat ke timur. Jatuh berhentak-hentak di setiap bucu tangga kayu berduri.

Anak-anak meraung ketakutan. Air mata perempuan itu sudah tiada jika mahu berlagu bersama anak-anak. Hanya darah yang semakin cair mengalir dari setiap persegi tubuh yang sudah penuh carik, bekas tikaman, benaman rokok dan luka tidak terubat.

Darah terus mengalir.. kemudian pekat dan berhenti. Perempuan itu bangun. Bersedia mengumpul tenaga untuk terus bertahan menghadapi neraka pada kesokan harinya, pada hari selepas esok, dan hari selepas esok dan esok…

Perempuan itu, bukan aku

Seorang lagi perempuan.

Berbaju labuh dan tudung menyelubung. Mempunyai peti suara yang sudah tidak berfungsi. Berjalan seorang diri di satu lorong yang sunyi di suatu petang yang merapati senja keemas-emasan. Sekejap-sekejap berpaling kebelakang. Kesangsian. Dibelakangnya selang beberapa tapak gergasi, seorang lelaki bermata merah, memegang sebotol air kekuning-kuningan berjenama terkenal seantero dunia. Berjalan dengan tidak simetri. Ke tenggara setapak, ke timur tengah dua tapak, berpatah balik ke selatan tiga tapak, dan kemudian.. tiba2 meluru bertapak-tapak ke hadapan penuh nafsu membuak tak terbendung. Menuju kearah perempuan berbaju labuh, bertudung menyelubung dan berpeti suara yang rosak.

Lelaki gila botol merentap, menjuman si perempuan ke belukar miang, penuh rimba dan gelap. Tidak terdaya. Meronta menjerit si perempuan. Di dalam hati. Tidak akan ada orang mendengar.

Siap.

Si perempuan ditinggalkan

Si perempuan teraba-raba mencari carik2 kain yang tersisa. Kesakitan, terdengket-dengket berjalan keluar mencari pertolongan. Mata berpinar, beberapa bahagian kepedihan. Menuju ke jalan.. berpaling ke belakang.. sekonyong-konyong tiba lori balak dengan kadar kelajuan syaitan durjana! Merempuh si perempuan. Terguling, remuk separuh badan. Terpelanting menghempap pokok kekabu besar dipinggir jalan.

Lori balak terus pergi. Jalan tetap sunyi.

Perempuan itu juga, bukan aku.

Seorang perempuan

Dianugerahkan beberapa rezeki. Tidak bekerja tetapi diberi gaji. Menghairankan! Mempunyai manusia yang menyayanginya. Perasan! Tidak pernah didera. Masih boleh menjerit, bernafas dan sihat sejahtera. Baru-baru ini perempuan itu mengalami beberapa siri kehilangan dan kecelakaan yang minima. Kemudiannya beberapa kali dia merungut mengatakan dunia ini tidak adil kepadanya.

Perempuan itu, mungkin aku.

( Kawan, ingatkan aku bila aku lupa, mahu menyambut bulan yang mulia dengan kesyukuran..)

mother-and-son-of-palestine


2 thoughts on “Al kisah si perempuan

  1. seorang perempuan
    kehilangan
    kasih dan cinta
    dari manusia
    bergelar suami

    seorang perempuan
    jadi santapan
    nafsu serakah
    dari manusia
    bergelar lelaki

    seorang perempuan
    kesunyian
    selalu terlupa
    segala nikmat
    dan berkat
    dari Tuhan…

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s