Beranilah bermimpi..

Saya selalu mendapati saya ini seumpama tentera anai-anai yang suka berlaku khianat kepada permaisurinya dan tidak memperdulikan arahan untuk bekerja keras mengumpul kudrat membina busut. Sangat suka bermalas-malasan,  kurang fokus, sekejap-sekejap dengan sengaja menyimpang ke laluan yang salah, gemar tidur dan bermimpi yang merapu.

Tetapi, seperti biasa, lelaki sewel, si Andrea  sentiasa menjadi pakar merawat orang yang kacau jiwanya seperti saya ini. katanya :

” tanpa mimpi, orang seperti kita akan mati”

SANG PEMIMPI

Sang Pemimpi adalah buku kedua dari tetralogi Laskar Pelangi, yang berputar di dalam kisah hidup sebenar si penulis, si Andrea (Ikal).  Andrea menyambung kisah perjuangannya untuk mencapai tingkat-tingkat yang lebih tinggi dalam pendidikan dan hidup diperingkat sekolah menengah pula. Kali ini keseksaan hidup sebagai orang miskin dan diwaktu yang sama mengejar mimpi melangit, dihadapinya bersama dengan sepupu jauhnya bernama Arai dan seorang lagi rakan yang lembab dan gagap bernama Jimbron.

Arai digambarkan sebagai seorang yang tidak tampan tetapi berhati penuh cahaya.

wajah Arai laksana patung yang dibuat oleh mahasiswa seni kemahiran yang baru pertama kali menjamah tanah liat, penyet sana, melendung sini. Lebih tepat apa yang kelihatan di wajahnya seperti hasil suntikan silikon yang mula meleleh..”

Begitu kurang asam si Andrea mengumpat sepupunya itu tanpa sedikitpun rasa belas. Tetapi selepas itu, tidak ada lagi yang buruk-buruk diceritakannya tentang Arai. Arai adalah Simpai Keramat, iaitu gelaran yang diberikan kepada orang yang terakhir yang tersisa dari suatu keturunan. Arai adalah orang yang menjahitkan butang baju Ikal yang selalu tercabut, ketika Ikal sedang tidur, dia adalah orang yang menyelimutkan Ikal bila kedinginan, dia yang memecahkan tabung yang diisi sepenuh jiwa sekian lama lalu mengayuh basikal selaju-laju yang mungkin untuk membelikan tepung dan minyak kepada makcik Maryamah yang lebih miskin melarat yang tidak ada perkaitan langsung dengannya. Arai, adalah orang yang tidak faham kosa kata ‘tidak” . Kegilaannya kepada Zakiah Nurmala adalah kegilaan yang tidak munasabah dan tidak berpijak di bumi nyata. Di tolak berkali-kali, tetapi dia tetap mencuba berkali-kali tanpa penat untuk berhenti.

Jimbron pula, bukanlah manusia penting yang boleh mengubah dunia. Dia adalah manusia yang pendek akal, tiada kepakaran lain kecuali pengetahuannya tentang kuda dan tidak ada wawasan yang jelas. Tetapi Jimbron menjadikan mimpi-mimpi Ikal dan Arai menjadi seperti pemandangan gunung yang jelas tanpa gangguan kabus putih bertompok-tompok. Juga kerana  Bu Mus, Pak harfan, Pak Mustar, A Ling dan Zakiah Nurmala. Semuanya mungkin bagi mereka ini yang bangun setiap pagi pukul dua, mengambat ikan dari perahu nelayan, kemudiannya bersiap pula kesekolah untuk menjamah ilmu.

Saya ini sangat mundur dan kalah dalam pengetahuan tentang teknik penulisan. Kerana saya orang yang telah membuang masa, tersalah terjun kedalam bidang sains tulin kemudiannya seperti lalat kepeningan melilau tak tentu arah menempah maut kedalam bidang perakaunan. Makanya, saya bukanlah orang yang berkemampuan mencari kesalahan atau kehebatann teknik dan kehalusan seni sastera setiap hasil penulisan, apatah lagi tulisan orang-orang tersohor.  Beberapa pengkritik, mendapati penulisan Andrea sangat tidak konsisten dan tidak logik, ageless, borderless, timeless. Banyak spekulasi dan bukti yang menyatakan Arai tidak wujud dalam kehidupan sebenar Andrea (Ikal). Arai adalah tokoh khayalan Andrea seperti juga Lintang dalam Laskar pelangi. Ada yang mendakwa Andrea terjerat dengan penerbit buku kapitalis yang kecanduan komersialisme.

Apa diaorang merepek tu? Bukankah bijak berkhayal itu satu ramuan istimewa bagi seorang penulis? Apa salahnya cerita khayal jika ia boleh mengubah hidup seseorang menjadi lebih berbaloi-baloi? Saya tak faham spekulasi yang meragui keikhlasan Andrea. Yang saya faham, seperti biasa saya mendapat inspirasi hidup yang baru setiap kali membaca buku Andrea Hirata.

Mimpi dan usaha adalah satu pasangan kekasih yang jika diceraikan, tidak memungkinkan langsung bagi kewujudan kebahagiaan dan kepuasan hidup.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s