IMAM pilihanku

Seorang yang sangat tradisional dalam segala segi ilmu agama tetapi kelihatannya seperti liberal. Tetapi jika diselidik dengan lebih tajam, bukanlahlah pemikiran liberal yang digemari ahli-ahli sekular, tetapi hanyalah menepati dan mengikuti segala ajaran Islam yang sangat mudah difahami. IMAM adalah jawapan kepada definisi pemimpin yang aku cari dan mimpikan selama ini. Jawapannya aku jumpa di dalam buku yang setebal jongkong emas ini. Ditulis oleh seorang yang terbilang hati sasteranya; Abdullah Hussain. 

 

Imam1

 

IMAM adalah pengalaman pertama aku membaca tulisan sasterawan negara ini. Dua tahun yang lalu,  buku ini telah dihadiahkan oleh seorang sahabat yang tidak pernah bertentang mata dengan aku. Sahabatku ini telah melancarkan kempen ‘satu buku seorang’ dalam blognya dan aku secara kebetulannya telah membacanya. Dia berjanji akan memberikan sebuah buku yang pembaca blognya ingini yang ada dalam simpanannya dengan syarat bertemu dengannya terlebih dahulu. Walaupun tidak memenuhi syarat, 2 minggu kemudian, aku menerima bungkusan darinya. Baru-baru ini terjumpa sahabatku itu didalam facebook, dan dengan tak mengenang budinya nya aku telah menipunya mengatakan aku telah habis bacaan aku terhadap IMAM padahal baru 10 mukasurat sejak 2 tahun. Bercampur dengan rasa bersalah dan kempen membaca aku bermula semula, aku menghabiskan bacaan buku ini. Walaupun aku berjanji untuk menghabiskan bacaan buku paling tebal Faisal Tehrani, IMAM lebih atas dalam senarai ‘things to do’ aku.

 

IMAM bercerita tentang seorang bernama Hj. Mihad yang keturunannya dari orang yang sangat dihormati di Kampung Anggerik Desa iaitu Tuan Hj. Salleh. Hj. Mihad dilaporkan telah mati semasa beliau menyertai Askar Melayu Diraja dan meninggalkan tunangnya bernama Rubisa. Sebenarnya ketika bertugas di Serawak, beliau telah disangka gerila oleh Angkatan Bersenjata Republik Indonesia (ABRI) dan ditahan, diseksa di Kalimantan. Namun akhirnya beliau dibantu oleh seorang gadis Dayak bernama Laura. Setelah berkahwin dengan Laura a.k.a Siti Nur Aisyah, beliau ke Jombang kemudiannya ke Acheh, Indonesia  mendalami ilmu dan menjadi guru agama di sana. Kemudiannya beliau kembali semula ke Kampung Anggerik. Dari titik inilah kisah Hj. Mihad menjadi sangat besar untuk dikisahkan. 

 

Gempar seluruh kampung. Rubisa telah lama berkahwin dengan Hj. Shamsuri, sepupu Hj. Mihad. kehadiran semula Hj. Mihad diraikan. Kemudiannya beliau dilantik menjadi imam Kampung Anggerik Desa menggantikan imam yang sudah sangat tua, iaitu Hj. Abd Rahman, walaupun pengganti yang paling hampir dan layak sebelum itu ialah Hj. Shamsuri. Kepimpinan Hj. Mihad sebagai imam di kampung tersebut menimbulkan fenomena baru kepada kampung Anggerik Desa yang mana sebelum ini, masjid yang dinamakan Masjid Hj. Salleh itu lumpuh dan lesu tanpa perhatian. Banyak perubahan telah dilakukan dengan tujuan menjadikan masjid berfungsi sebagai satu pusat sehenti kepada pelbagai kegiatan selain dari kegiatan agama.  Banyak tindakan Hj. Mihad yang menyebabkan akhirnya penduduk kampung kelihatannya telah terpecah kepada dua golongan. Golongan yang menyukai apa telah dan sedang dilakukannya terutamanya terdiri daripada sahabat rapatnya yang selesa dengan perjuangan dan perubahannya serta golongan muda. Golongan yang menentang pula diterajui oleh Hj. Shamsuri yang sudah lama menyimpan dendam dari kisah lama hingga kini.

 

Pelbagai perubahan dan sumbangan yang dilakukannya mengundang sokongan dan tentangan. Ianya termasuklah membina irigasi, menyediakan ruang olahraga di masjid (membenarkan pula orang bukan islam bermain disana), cuba menubuhkan pancaragam dikampung, tidak menggemari perjuangan ahli tabligh dan mengubah bacaan khutbah yang dibekalkan oleh Majlis setiap kali sembahyang Jumaat. Perbuatan Hj. Mihad yang melakukan perubahan terlalu drastik dalam pentadbiran kariah Kampung Anggerik Desa, telah menarik perhatian Majlis Agama. Seorang pegawai telah diarahkan menyiasat kes ini dan satu perdebatan yang hebat telah berlaku diantara ahli pembesar Majlis tentang perubahan dan pendirian Hj. Mihad yang sangat bertentangan dengan arahan dan pegangan Majlis. Pelbagai dugaan berterusan dihadapi oleh Hj. Mihad dalam pergolakan menentangnya dan berlaku pula satu kejadian yang akhirnya menggemparkan seluruh kampung melengkapkan dugaan yang maha hebat yang harus ditempuhinya.

 

Aku mendapat banyak jawapan bagi persoalan tentang isu ‘atas pagar’  dalam Islam yang selama ini ada dalam fikiran aku. Penulis seakan-akan ahli agama yang berjiwa padat. Persoalan yang semudah cara-cara sembahyang sehinggaah kepada perbezaan mazhab serta perjuangan wahabi dibincangkan dengan penuh ilmiah dan beremosi secara bersistematik sekali. Bahasa dan susunan ayat yang mudah difahami dan tenang dihayati. Membaca tulisan Abdullah Hussain setelah membaca tulisan Faisal Tehrani memberikan aku gambaran yang jelas kepada perbezaan diantara penulisan darah muda dengan yang lebih petang pengalamannya. Faisal lebih kuat geloranya dan Abdullah Hussain lebih bergolak dengan tenang. 

 

Di akhir bacaan, aku bisu. Merenung buku itu dengan sangat lama.


2 thoughts on “IMAM pilihanku

  1. Saya pon dah beli buku ni 3 thn yg lepas. tp msh x habis membacanya.. buku ini terlalu pdt dgn ilmu hinga mengambil ms yg lama untuk menghadamnya.. B-)

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s